Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 6 Feb 1933, p.6

General Article.

Perempuan Melayu di Kelang.

Dengan wasitah suratkhabar Majlis bilangan 109 tahun yang kedua tarikh 9 January pada muka 2. Saya telah dapat membaca perkhabaran perempuan Melayu di Kelang telah mengadakan Jamuan Teh memberi selamat bersara kepada Miss Ferdon Pillai, sekolah-sekolah perempuan NS dan NMB serta mengadakan ucapan-ucapan yang bagus-bagus.

Saya berasa girang membaca perkhabaran itu kerana sekarang telah sampailah zaman yang kaum kita perempuan Melayu mesti menunjukkan kesedaran dan bangun berganding tangan bersama-sama kaum laki-laki melangkah menuju ke kemuncak gunung kemajuan. Di mana bangsa asing yang berdagang di negeri kita telah sampai dan berdendang sayang di mahligai kemegahan di atas gunung itu.

Kita jangan berputus asa oleh sebab kita telah tercicir jauh benar daripada mereka mudah-mudahan dengan sebab Kaum Ibu. Kita telah lekas sedar itu dapatlah kelak kita merentang untuk merentas jalan yang sehabis-habis dekat.

Saya amat sangat bertokok keriangan lagi kerana dapat pula mendengar perkhabaran yang di Kelang pun telah didirikan Kelab Perempuan Melayu sungguh bagus perempuan Melayu Kelang dengan diam-diam telah mengadakan pergerakan yang tersangat dihajati bangsanya itu siapa boleh teka di dalam tahun 1932 persekutuannya terdiri dan di dalam tahun 1933 barangkali persekutuannya akan dikeluarkan?

Bintang Melayu, Suara Perempuan, Lidah Isteri?

Bahkan dengan besar kita menunggu! Perempuan Melayu Kelang rupanya dengan diam menjalankan pergerakannya, sedikit bercakap banyak bekerja. Saya hanya boleh berdoa sahaja .... Biar lambat asalkan maju!

Saya hendaklah meminta maaf menumpang bertanya pada dan bagi tahun 1933 ini siapa-siapakah pegawai-pegawai persekutuan yang tersebut? Apakah tujuan atau dasar persekutuan itu? Apakah dengan amal yang akan dikerjakan? Kerana di dalam suratkhabar belum lagi tampaknya diberitakan haraplah setiausahanya bentangkan apalah yang dimalukan perempuan kampung dapatkah bersekutu di dalam persekutuan itu? Kalau boleh saya seorang akan bersekutu.

Ainon.