Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 6 Mar 1933, p.8

General Article.

Jikalau Melayu Mau Maju Janganlah Bencikan Bangsa Asing.

Di dalam ucapan Tuan J. S. Makepeace, Yang diPertua Muhammad Club, di mesyuarat agung persekutuan yang tersebut pada 18 Februari 1933 itu, tersebut kisah kemajuan anak-anak Melayu Kuala Pilah di dalam percampuran yang didapatinya dari sehari ke sehari.

Pada awalnya, Tuan itu berkata, macam mana mulanya bangsa asing, iaitu Cina, Keling dan lain-lainnya itu datang ke Tanah Melayu ini mencari kehidupan mereka berniaga, berlombong bijih, bercucuk tanam, dan lain-lainnya; dewasa itu Melayu belum berapa banyak lagi yang berpelajaran, boleh kata tidak ada sepuluh percent pun yang berpengetahuan betul dan ada pandangan kepada kemajuan Semenanjung yang akan datang.

Mereka duduk bersenang hati tidak menghiraukan apa-apa asalkan sudah cukup nafkah mereka barang, siapa mahu datang buat berniaga atau apa-apa pun, buatlah sekehendak hati sendiri. Dewasa inilah tertipunya bangsa kita itu.

Semenjak anak-anak Melayu kita itu telah celik mata ada sedikit pandangan dan perasaan sayang akan tanahair sendiri serta berlumba-lumba hendak maju, dewasa itulah kata Tuan itu lagi meneruskan cakapnya datangnya kepada anak-anak Melayu perasaan bencikan akan bangsa asing itu.

Kata Tuan itu lagi, jikalau anak-anak Melayu mahu maju, janganlah bencikan bangsa asing. Cubalah hai bangsaku! Menungkan ucapan Tuan itu. Penulis yang rendah fikiran mengaku benarnya kata-kata Tuan itu. Penulis harap pula janganlah bangsaku salah fikiran. Penulis tidak sekali ingin hendak menyebelah kepada bangsa yang hendak mengisap darah kemajuan Melayu itu. Penulis cuma untuk mencari suatu jalan macam mana bangsa kita boleh maju seperti bangsa asing itu.

Jikalau diperhatikan lebih dalam lagi sudah tentu tampaknya belum berapa banyak lagi bangsa kita yang telah hidup maju dengan menjadi tukang jahit, tukang gigi, tukang gambar, tukang emas dan lain-lainnya seperti bangsa asing itu.

Bukannya Melayu tidak layak, bukannya Melayu tidak boleh membuat pekerjaan yang tersebut, tetapi yang musykil pada fikiran kita ialah anak-anak Melayu kita belum ada lagi yang mendapat pelajaran bagi membuat pekerjaan itu. Bagi mempelajari itu mestilah dengan guru, siapakah yang akan jadi guru?

Jikalau tidak orang yang telah pandai dan maju di dalam perkara itu, siapakah yang telah pandai dan maju di dalam pekerjaan yang tersebut di atas?

Jikalau tidak bangsa asing itu.

Oleh itu, sebelum kita maju betul-betul, terlebih elok jangan kita bencikan bangsa asing itu.

Bagi pandangan luar, buatlah mereka seperti seorang sahabat, bertolong-tolongan. Di dalam pada itulah kita mencungkil kepandaiannya mempelajari segala perkara-perkara yang diketahuinya buat kebajikan kita di masa yang ke hadapan.

Apabila kita telah maju betul-betul, yakni telah ada empat lima pintu kedai tukang menjahit baju kepunyaan Melayu ada tukang emas, ada tukang besi, dan sebagainya di serata-rata bandar di Semenanjung ini, maka itulah masanya Melayu boleh sedikit bermuka tinggi, jikalau tak bencikan bangsa asing pun, bolehlah halau ia ke Tongsan, kerana apa lagi? Tak bergambar sudah ada tukang gambar kepunyaan sendiri, hendak membeli ((sepatu kasut)) sudah ada tukang kasut kepunyaan Melayu dan lainnya.

Tetapi dewasa ini ke kedai siapa juga yang ditujui?

Tentu sekali jikalau dengan membencikan mereka kita tidak akan mendapat berapat, mencungkil rahsia kepandaian mereka buat kebajikan kita sendiri.

Penulis tidak pandai berkata-kata dengan panjang lebar tentang hal ini melainkan penulis meminta pula fikiran pembaca-pembaca yang budiman bersama mengeluarkan fikiran, tak banyak sedikit buat pengetahuan am.

Demikianlah harapan penulis kepada bangsaku Melayu yang berperasaan mahu bersama-sama memajukan bangsa adanya.

Fikiran*.