![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 21 Aug 1933, p.7
General Article.
Penyakit Kedai Bangsa Kita.
Yang Selalu Menyebabkan Gulung Tikar Merata-rata Kampung Itu.
Dari semenjak beberapa tahun dahulu hingga sekarang tidaklah putus-putus pemuda-pemuda dan penganjur-penganjur kita Melayu menulis ke dalam akhbar menyeru bangsanya kepada jalan kemajuan, menyuruh berusaha, bercucuk tanam, berhidup-hidupan, berniaga barang-barang makanan, pakaian dan sebagainya.
Bahkan seruan-seruan itu tampaknya pada masa ini ada berjasa dan boleh kita jumpai beberapa kedai bangsa-bangsa kita menjual barang-barang makanan dan sebagainya pada beberapa pekan di dalam Semenanjung ini.
Tetapi sayang beribu kali sayang kebanyakan kedai bangsa-bangsa kita tidak panjang umurnya disebabkan beberapa perkara:
1. Sebab tiada cukup barang-barang di dalamnya.
2. Jika cukup barang-barangnya serba-serbi seperti barang-barang di kedai Cina, mahal kata Si Pembeli: walhasil harga barang-barang kebanyakan sama dengan harga barang-barang di kedai Cina. Ya! Ada juga kadang kala harga barang ada lebih murah sedikit daripada kedai bangsa kita, tetapi tersebab bangsa-bangsa asing Malayan menurunkan harga barang dengan tujuan supaya kedai-kedai bangsa kita tumbang dengan segera.
3. Orang-orang kita Melayu dari kampung tak usahkan membeli, menoleh pun jarang-jarang sangat ke kedai bangsanya itu.
4. Orang-orang kita jadi pegawai-pegawai kerajaan, officer-officer, Datuk-Datuk Penghulu, guru-guru, polis dan sebagainya, semuanya pula mengatakan Elok! Elok! Elok! Tetapi membeli tidak. Bahkan di antara mereka-mereka ini ada yang berkata macam mana hendak mengambil atau membeli barang di kedai bangsa kita sebab sudah lama mengambil barang di kedai tauke itu, sayang rasa hati hendak meninggalkan. Lagipun, sudah lama berkawan-kawan dengan dia ((dengan bangsa asing itu)).
5. Setengah ada pula berkata sebab tiada suka membeli di kedai bangsanya itu disebabkan tiada cukup puas hati kerana kekurangan daripada segala peraturan-peraturan berniaga seperti yang dilakukan oleh bangsa-bangsa asing itu.
6. Setengah-setengah daripadanya pula masuk ia ke kedai bangsanya, bertanya harga barang kemudian pergi pula ia ke kedai Cina langsung membeli di sana. Kemudian balik ke kedai Melayu, begitulah halnya berbalik-balik akhirnya membeli barang di kedai Cina berolok-olok di kedai Melayu.
7. Setengah yang lain pula kalau tidak diberi berhutang, kedai itu akan ditalaknya, kalau diberi berhutang dan apabila hutang dah banyak kedai itu tidak ditempohnya lagi, kalau diminta ingin akan memerahkan mukanya marah serta menyuruh saman dengan katanya, itu jalan ke Court! Akhirnya, ia bukan sahaja akan memboycott kedai itu, tetapi ia akan bekerja menarik dan mengasut kawannya memboycott kedai itu supaya lekas mampus, oleh kerana sakit hatinya.
Sekianlah lebih kurang yang Penulis ketahui sebab-sebabnya tiada banyak bangsa-bangsa kita Melayu jadi Pembeli di kedai-kedai bangsanya itu. Yang dengan kerananya tiada berapa lama terpaksalah pintu kedai tertutup. Walhal, tujuan yang pertama sekali dibuka tiap-tiap kedai itu tentulah yang diharap jadi pembelinya daripada bangsanya belaka.
Jika berkekalan jua bangsa-bangsa kita tiada mengutamakan perusahaan bangsanya, tidak dapat tiada di dalam sedikit masa yang lagi akan datang kedai-kedai Melayu yang ada kelihatan sedikit-sedikit pada masa ini akan lenyap daripada pemandangan mata kita sama sekali.
Penyudah, saya berkata dalam hal ini saya serulah dengan sekuat-kuatnya ke telinga bangsa saya, sokonglah perniagaan bangsa Tuan, biar pun pada permulaannya ini banyak yang tiada bersetuju dengan kemauan Tuan hal keadaan peraturan bangsa-bangsa Tuan itu berniaga. Tetapi, tentulah tiada berapa lama kelak akan Tuan jumpai bangsa-bangsa Tuan itu pandai berniaga sebagaimana yang Tuan telah bersetuju pada peraturan bangsa-bangsa asing itu.
Dan lagi, kita semua patut berfikir bahwa bangsa kita masih baru benar lagi mencuba-cuba berniaga seperti bangsa asing yang telah pandai itu, barang sudah tentu sahajalah banyak yang kekurangan pada serba-serbi peraturan cara-cara mana berniaga.
Terima kasih Tuan Pengarang kerana ruangannya.
17.3.1933.
top |