![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 28 Mar 1932, p.3
Editorial.
Ekonomi Negeri-Negeri Melayu.
Perubahan baru bagi policy Negeri-Negeri Melayu ini didatangkan berbetulan di dalam masa Meleset.
Kerajaan terpaksa membaiki perdiriannya di dalam Ekonomi sekira-kira boleh berdiri menentang kekurangan hasil negeri dengan merombak pangkal belanja dengan jalan yang difikirkan patut dan munasabah. Tak kurang lembaga yang dibangunkan kerana akan memikirkan segala jawatan yang patut dikikis atau ditolak pada masa yang akan datang sedang circular-circular baru disiarkan pula memberi peluang kepada pegawai-pegawai kerajaan supaya bersegera bersara, tetapi kita tidak begitu yakin yang lembaga atau circular itu boleh mengurangkan belanja yang diniat.
Pada masa ini, penghidupan negeri telah berubah. Dari penoreh getah dan penanam sayur hingga kepada penghidupan tauke-tauke dan mereka-mereka yang berkemakmuran telah tersusut begitu jauh dari ukuran biasa. Tidakkah pula patut bagi pegawai-pegawai kerajaan itu turut undur dari ukuran zaman makmur dahulu?
Barangkali boleh mendatangkan kusut ataupun kurang insaf jika gaji-gaji pegawai-pegawai kerajaan itu diturunkan pada masa ini, tetapi tidak ada halangan bagi kerajaan mengurangkan gaji pegawai-pegawainya pada masa yang akan datang dan yang terlebih patut sekali ialah membukakan pintu bagi anak-anak Melayu yang berpelajaran Inggeris separuh jalan yang bersepah merata-rata tempat itu bagi segala jawatan rendah.
Anak-anak Melayu yang berpelajaran rendah itu cukup banyak. Pelajaran mereka itu tidak kurang dari pelajaran Standard VII di dalam tahun 1910. Mereka akan menerima kasih sekiranya diterima menjadi kerani dengan gaji Malay Scheme atau Kerani Melayu yang sedia berjalan itu. Apa gunanya dibukakan sejawatan kerani Pass Senior dan Junior apabila pekerjaan itu boleh dijalankan oleh Orang Melayu yang berpelajaraan rendah, sedang pula pada masa itu kerajaan kelak bernama menolong anak-anak Melayu sementara gajinya kurang dan akan menolong ekonomi negeri pula.
Kelayakan anak-anak Melayu yang berpelajaran rendah itu cukup terang, tetapi janganlah dipulangkan menimbangkan kepada Office-Office Assistant sahaja.
Kita berani berkata jika memandang dengan melalui mata Office-Office Assistant yang bukan Melayu itu, tentulah Melayu itu akan dicap mereka dengan UNFIT, sebagaimana mereka telah mengecap begitu di atas anak-anak Melayu di mana-mana pejabat kerajaan terutama sekali pejabat keretapi pada masa mula-mula anak Melayu diterima masuk dahulu.
Kita boleh mendatangkan keterangan. Sekurang-kurangnya sepuluh orang anak-anak Melayu yang berpelajaran rendah itu pada masa ini cukup layak menjalankan pekerjaan memeriksa kira-kira ((Audit)) yang selamanya dijalankan itulah kerani-kerani Pass Junior dan Senior sahaja. Seorang daripada mereka itu telah Pass di dalam Peperiksaan Kerani dua tahun dahulu pada masa kerani-kerani Pass Senior itu tidak lulus. Begitu pula di Kuala Kubu seorang kerani Melayu yang berpelajaran rendah telah pass juga dan berapa banyak pula di sebelah Perak atau di tempat lain.
Pejabat di Syarikat Forest Office, Kuala Lumpur, Chief Clerknya dijalankan oleh seorang Melayu Pass Lima atau Enam sahaja, dengan seorang keraninya Pass Sekolah Melayu semata-mata. Bagaimana pejabat itu boleh berjalan sama dengan perjalanan kerani-kerani Pass Senior itu pada fikiran kita patutlah diperhatikan oleh kerajaan supaya boleh dicontoh oleh pejabat-pejabat lain.
Apabila orang-orang Melayu boleh didapat dengan gaji murah apa gunanya diterima bangsa asing membuat pekerjaan yang serupa itu dengan gaji mahal?
top |