![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 21 Sep 1933, p.12
Feature Article.
Buah Fikiran: Semangat Bagi Kemajuan Anak Melayu.
Melayu maulah berhati pun Melayu -- bahwa mutu kehidupan dan kemajuan suatu bangsa itu ialah kerana bangsanya sendiri menghargakan bangsanya Anak Negeri Kelantan.
Bercolumn-column suratkhabar dan bergulung-gulung majalah-majalah serta berpalut-palut buku Melayu meninggikan suara keMelayuan daripada buah-buah fikiran yang berharga yang keluar daripada fikiran anak-anak Melayu yang berperasaan tinggi kepada bangsa, bahasa, ugama, negeri dan tanahairnya sendiri.
Lain daripada itu, beratus-ratus karangan pujangga-pujangga dan pengarang-pengarang suratkhabar hingga boleh dikatakan penuhlah adanya tiap-tiap kali kezahiran suratkhabar-suratkhabarnya sendiri itu daripada fikiran kebangsaan dan keMelayuan itu.
Setengah daripadanya berhati pada menghidupkan bahasa, dan setengahnya berhati pada jalan menyatukan daripada serba serbi perusahaan Melayu dan sebagainya. Demikianlah ada-ada sahaja buah-buah fikiran itu yang patut kita jalankan dan harapannya bahwa banyak memikul daripada menyuluh atau banyak minum daripada terjatuh.
Dalam itu pun kita percaya dengan fikiran-fikiran yang berharga itu telah banyak sudah dijalankan bagaimana dalilnya banyak sudah peratus anak-anak Melayu yang telah hidup berperasaan tinggi kepada mutu ketinggian bangsa sebagai anak-anak manusia yang hidup.
Demi masa, kita hendak berkata dengan nama bangsa dan tanahair pada pintu kemajuan bangsa sendiri bahwa tidak boleh maju sesuatu bangsa jika bangsanya tidak berhatikan bangsa. Katakanlah seperti kita bangsa Melayu maulah berhati pun Melayu, artinya berkehendaklah hatinya dan perbuatannya pada bersatu, bermuafakat, bersetia, berikat dan berkawal, bersekutu dan sebagainya daripada apa-apa benda yang boleh membawa kepada bersatu perasaan dan bersatu tujuan.
Acapkali kita telah berbahas dengan orang-orang yang berpengetahuan berkenaan dengan kemajuan bangsa, kebanyakan adanya suara-suara mereka itu menuju kepada kata "bersatu itulah tangga kemajuan bangsa", demikian juga bagaimana adanya di dalam wartawan-wartawan Melayu.
Ya! Kita pun bersetuju sama pada membenarkan kata-kata bersatu itulah tangga kemajuan. Tetapi dukacita kita bahwa peratus anak-anak Melayu menyertai kata bersatu dengan perbuatan sekali itu tersangatlah sedikit.
Kita tidak menyalah bahwa sudah terdiri beratus-ratus persekutuan dan beratus-ratus syarikat perniagaan serta beribu-ribu kedai Melayu yang telah didirikan oleh anak negeri di dalam Semenanjung Tanah Melayu dan pulau-pulaunya dengan jalan bersatu dan lainnya. Tetapi kita sangat hairan tidak sempat satu penggal pertahunan bagi kehidupannya telah berkubur begitulah adanya kebanyakan kedai-kedai kita, dalilnya kita hendak berkata dengan berterus terang ialah kerana tidak bersatu dan hati bangsa kita tidak suka menolong bangsa sendiri; menunjuklah kita anak-anak Melayu tidak menghargakan bangsa sendiri lagi.
top |