Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 25 Sep 1933, p.9

Leader Article.

Perusahaan Anak-anak Melayu dengan Kemajuannya.

Oleh Teruna.

Bahagian Pertama.

Hak bersyarikat wajib anak-anak Melayu ((menyambung kata Abhi)) penganjur-penganjur yang berhati kebangsaan, biasa mengucapkan "kasihkah bangsa sayangkan tanahair".

Ahli-ahli penulis dan ahli-ahli fikiran bertambah-tambah ria menunjukkan jalan kesopanan hidup. Sedang penyeru-penyeru tidak berhenti-henti melafazkan; bangunlah! Majulah! Sokonglah! Di atas apa-apa jua pekerjaan dan perusahaan bangsanya.

Ya! Bergeraklah daripada keadaan yang dahulu, dengan bertambah menuju kepada apa-apa yang dimaksudkan: kok berniaga sudah dicuba, kok mencangkul dah dilambuk, kok bertanam dah ditukal! Pendeknya, mendengar apa yang dikatakan dan membuat apa yang disuruhkan. Akan tetapi tenaga perusahaannya itu tidak akan melambung tinggi kalau dibandingkan dengan keadaan hidup yang tiada mempunyai bersekutu dan syarikat.

Berdukacita kerana bangsa dari beberapa masa yang sudah melihatkan apa-apa perusahaannya amat sukar memperolehi nama kemajuan, baik perniagaan mau pun perusahaan. Hanyalah kita memandang di hari ini dengan perjalanan yang sangat lembab ((slow)).

Perusahaan getah biasa diusahakan oleh bangsa Melayu, dari pun beberapa tahun yang sudah-sudah, adakah perusahaan itu mencari kemajuan seperti mana getah perbuatan bangsa-bangsa asing?

Padi: turun temurun biasa, adakah sekarang perusahaan itu jaya, dapat menghantar beras ke negeri-negeri lain? Semuanya itu jauh panggang dari api.

Kaum bekerja sendiri perusahaannya boleh dikatakan serba alang-alang sambil lewa: tukal itu terjatuh daripada mencapai nama kemajuan tak terkenal di sisi bangsa asing. Sungguh pun tenaga perusahaannya telah dicuba kepada beberapa jalan, tetapi pengertian yang tinggi daripada satu-satu perusahaannya itu tidak difahamkan.

Seperti berternak, katalah membela ayam; kalau memelihara ayam seekor dua itu memanglah tak kan jadi apa-apa perubahan dari zaman datuk nenek dahulu. Cuba kalau membela ayam yang lebih banyak-banyak, kambing biak, bertempat yang luas, bereban yang besar, penjagaan yang diperaturkan, mengambil pengetahuan yang baru daripada penasihat-penasihatnya. Dan berniat akan menjadikan satu perusahaan yang besar. Maka tidak dapat tiada akan memperolehi hasil yang tetap daripada telur-telurnya sehinggakan tahinya akan mendatangkan hasil.

Daripada banyaknya itu akan menjadikan terkenal kepada bangsa-bangsa asing yang Orang Melayu itu boleh juga jadi saudagar ayam.

Hospital-hospital, rumah-rumah Tuan-Tuan Putih tertentu berkehendakan langganan telurnya. Kedai-kedai nasi begitu jua berkehendakan tiap-tiap hari memasak ayam.

Berniaga kalau bersekolah dahulu kemudian barulah hendak membuka kedai perniagaan; itulah yang lebih lambat lagi pergerakkannya. Perniagaan Melayu itu boleh dimajukan dengan Bahasa Melayu sendiri mengutamakan perniagaan bangsanya. Sekarang telah dicuba pada lorong berniaga itu tinggal lagi kemajuannya sahaja yang kita harapkan kepada kaum tauke-tauke kedai yang besar-besar di Semenanjung ini. Kita tahu ia bukan murid daripada sekolah perniagaan, book-keeping, cash-book, semuanya itu diketahuinya semasa ia menjadi singkek dahulu.

Kita mengerti bukan pelajaran itu yang memajukan dan membesarkan kedai-kedai itu, melainkan ialah lakunya. Sebuah kedai itu lekas ia menjadi besar jika lakunya bertambah-tambah.

Berlainan jika kedai di dalam pekan-pekan dari permulaannya berkehendakan perdiriannya segak dan berperaturan dengan sebaik-baiknya; serta penuh dengan kealatan dan barang-barangnya, iaitu berkehendakan bermodal besar, dari peraturan yang bagus dan secara yang modern itu menarik hati ahli-ahli pembeli yang gentlemen itu. Kalau Orang Melayu berhajat keluar bertandang di kedai-kedai sama-sama bangsa asing itu, jalannya hendaklah dengan syarikat pada mengeluarkan modal yang besar yang diagakkan kedai itu melawan kedai bangsa-bangsa asing yang bersaing dengannya itu.

Daripada kedai kompeni Melayu yang di dalam pekan, itulah kedai-kedai kecil kampung mengambil barang-barang. Begitu jua Melayu yang ada di dalam bandar itu, dipelawa mudah-mudahan terbelenggu hatinya kepada kedai kompeni Melayu itu. Kaum yang biasa mengambil barang perkiraan berlawanan seperti mana yang biasa pada pegawai-pegawai kecil, dipersilakanlah ke kedai kebangsaan. Lebih munasabah jika kedai kompeni Melayu itu sanggup menghantar sampai ke rumah ((Government Quarters)).

Jalan yang boleh melekaskan mencapai kemajuan tiap-tiap perusahaan bangsa Melayu itu, tak lain daripada syarikat, berkongsi, bersyarikat, bersatu hati itu. Satu perkara yang amat penting jelasnya di sini, kaum Melayu jika selama-lamanya kaum Melayu bertelingkahan faham, tidak seperundingan, penganjur-penganjur kaum takutlah hendak menyebut yang kaumnya itu berjalan kepada kemajuan. Dari itu, berdukacita kerana bangsa oleh tidak mendapat persatuan hati.

Segala perusahaan Melayu zaman dahulu kala akan hidup balik dengan peraturan yang dijalankan oleh undang-undang bersyarikat-syarikat dengan lekasnya mencapai kemajuan di sisi kaum perusahaan bangsa asing.

Kalau dengan disyarikatkan ternak ayam, itik, kerbau, kambing akan jadi satu daripada jalan kehidupan yang cepat kepada keselamatan. Perusahaan bergetah akan sampai ke London dengan tak payah lagi disambung dengan tangan bangsa-bangsa lain-lain. Begitu jua padi, kita tak payah lagi menghulurkan tangan meminta kasihan dari India atau Burma.

Akan diiring dengan bahagian yang kedua.

Maafkan saya!

Negeri Sembilan, September 1933.