malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 28 Sep 1933, p.1
Leader Article.
Perusahaan Anak-anak Melayu dengan Kemajuannya.
Menyambung kata Encik Abhi ((Hak Bersyarikat Wajib Bagi Anak-anak Melayu)).
Ketinggian mutu tiap-tiap perusahaan atau darjah kemajuan sesuatu perusahaan yang ditenagai oleh rakyat Melayu itu tidak akan mencapai nama kemajuan di sisi perusahaan bangsa asing, selagi kaum Melayu tidak mampu mengadakan syarikat bersatu hati yang dinamakan Company Melayu. Teruna.
Kita boleh memandang keluar negeri bagaimana kejayaan persyarikatan itu boleh menatang nama kemajuan tiap-tiap perusahaan bangsa asing. Susu yang ada pada kira hari ini, iaitu satu daripada buah perusahaan yang dijalankan dengan syarikat oleh anak negeri Switzerland. Begitu jua gandum syarikat anak negeri Australia. Pendeknya, serba-serbi dagangan yang ada pada kita hari ini semuanya itu dijalankan dengan persyarikatan atau company.
Pekerjaan mencari ikan di laut sekeliling Semenanjung ini selama-lamanya dijalankan oleh kaum Melayu yang di tepi laut perjalanan jadi nelayan, itulah sahaja yang dipegangkan dari mula-mulanya hingga sampai sekarang. Tidakkah ingin yang daripada pekerjaan nelayan asalnya itu berkemajuan kepada menjadikan saudagar ikan atau membukakan satu-satu cawangan perusahaan yang dijalankan daripada ikan buat dagangan keluaran negeri.
Jika kelapa ditanam oleh kaum Melayu, kenapa kesudahannya Orang Melayu tak boleh mengeluarkan minyak kelapa, tali sabut, tilam dan lain-lain. Ini biasanya daripada perusahaan sendiri itu balik menyempitkan kehidupan di dalam pergaulan hari-hari, tidak ada lain daripada sebabnya melainkan tanahair bermodal, modal tidak akan jadi banyak. Selagi syarikat tidak dibina dari hari ini ketinggian nama satu-satu perusahaan itu sehingga melawat-lawat oleh dijalankan dengan bersyarikat atau mengadakan company yang besar.
Sekarang penulis bukan tidak mahu mengatakan yang Melayu itu tidak berusaha, ya!
Ada pun perusahaannya sehari-hari hidup bekerja sepanjang masa kita sebagai berkata jika tiap-tiap perusahaan itu tidak mengadakan syarikat tentu sekali yang hasilnya tidak mencapai nama atau title yang tinggi, melainkan selamanya perusahaan itu, begitulah adanya.
Sebaliknya, dengan dipersyarikatkan tentu sekali hasil-hasil perusahaan itu boleh diangkat-angkat ke mana-mana walaupun ke England atau ke Canada, iaitu kerana kemampuan company sendiri berjalan terus dengan tak payah sambut-menyambut dari satu tangan ke satu tangan bangsa lain.
Segala perusahaan yang disyarikatkan oleh kaum Melayu sekarang ((atau yang lagi akan datang)) kita ada harapan kepada masa yang ke hadapan akan mencapai nama kemajuan iaitu tentang kebolehannya memajukan satu perusahaan sehingga menghantarkan hasil-hasilnya buat jualan ke negeri lain. Jangan indah khabar dari rupa, telah diberitakan beberapa syarikat kaum Melayu mulai berdiri di merata-rata negeri Semenanjung seperti syarikat teh-kopi, syarikat kambing, syarikat berkedai dan lain-lain lagi.
Jika besok Pahang mengeluarkan kain bulu, susu dan daging kambing, begitulah NS mengeluarkan teh dan kopi juga, Perak berhasil tembakau pipe, sedang Selangor megah dengan minyak kelapa. Syarikat kedai-kedai akan berjalan menuju halanya ke dalam bandar-bandar atau pekan-pekan di mana cucu atau piut kita akan termimpi-mimpi atau ia betul merasa bersombong hati melihatkan gudang-gudang Melayu penuh dengan dagangan yang diperusahakan dengan nama Syarikat Melayu.
Ketika itu barang-barang bertanda Made in Malaya, begitulah seterusnya daripada kebesaran syarikat itu, sehingga jaya mempunyai beberapa kenaikan memungut segala dagangan ke sana ke mari, kapal company Melayu akan belayar ke Hong Kong atau ke Colombo, ketika mana anak-anak Melayu menjadi Kapitan Kapal dan biasa belayar di dalam laut dan lautan.
Kita percaya makin banyak syarikat Melayu terdiri, semakinlah pula berkurangan anak-anak Melayu yang menjadi kutu-kutu pekan atau duduk Melayu di kedai-kedai kopi, kerana dengan syarikat itu anak-anak Melayu akan bekerja di dalam kepulauannya hari-hari.
Kaum bekerja bersyarikat dengan tulang urat kerana membanyakkan keluaran barang-barang. Hartawan, orang kaya, milyuner, bersyarikat kerana membanyakkan modal. Buat pembeli, barang-barang perusahaan bangsanya, ahli-ahli perniagaan bersetuju kerana membesarkan companynya, menghantar buah perusahaan bangsanya ke negeri lain. Iaitu manakala sudah tetap hasil itu diperbaiki dengan menjadikan dia suatu dagangan yang tak malu ditandingkan dengan perusahaan bangsa lain.
Buat menguji apa-apa perkataan saya, dikemukakan satu perusahaan yang kecil lagi tidak ada bercawangan lain, perempuan-perempuan Melayu di Port Dickson yang bersyarikat membuat berbagai-bagai bakul daripada pandan mengkuang yang boleh menyudahkan beratus-ratus atau beribu-ribu di dalam sehari; bakul-bakul itu ditanggung oleh satu company Melayu, menghantarkan ia ke hotel European di Semenanjung buat jualan, selainnya akan dihantarkan ke Singapura atau Penang menuju satu wakil Melayu lagi. Dari mana bakul anyaman itu akan dilayarkan ke England menerusi satu wakil di sana ((Melayu)) yang kemudiannya bakul-bakul itu akan terjual di merata-rata pasar di sana. Ketika itu, jika perbuatan itu bagus, tidakkah menimbulkan nama mulia kerana telah kita ketahui yang bangsa Eropah itu berkenan ia akan anyaman Melayu.
Penyudahan kata, adakah buah fikiran saya ini mimpi atau igau-igauan sahaja?
Barangkali ada orang yang memikirkan tersangat tinggi daripada keadaan sekarang. Di dalam pada itu, terpulang kepada pembaca. Was-salam dari saya.
Negeri Sembilan kepada 25 September 1933.
top |