![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 10 Dec 1934, p.12
General Article.
Adakah Menggunakan Pelajaran?
Terhadap Kepada Pemuda-pemuda Bangsa Melayu.
Cuba lihat, beratus-ratus kanak-kanak tiap-tiap tahun yang telah tamat dan keluar dari sekolah Melayu dan berhenti dari sekolah Inggeris yang tiada harapan makan gaji di serata negeri Melayu ini.
Adakah mereka itu menggunakan pelajarannya buat keselamatan hidup di kampung ....?
Maka inilah satu soal yang saya hadapkan ke muka pemuda-pemuda bangsa saya. Sekarang saya tidak berkehendakan jawabnya di sini, tetapi memadailah Tuan-Tuan jawab di dalam hati masing-masing.
Mereka itu telah diasuh oleh gurunya semasa ialah duduk di bangku sekolah dahulu dengan bersusah payah. Bukannya sahaja diajar kepada haluan makan gaji, tetapi yang terutama sekali ialah dikehendaki supaya budak-budak itu jadi seorang orang kampung yang lebih sedar dan hidup serta bergaya di masa yang akan datang.
Wal-halnya, bila ia telah berhenti dari sekolah, bak kata Encik Abhi Pahang, baliklah ia jadi seperti orang kampung ataupun budak-budak dua tiga kurun dahulu, duduk melengung di kedai Cina, jadi steam roll dan berpunggkuk sana berduyun ke mari dengan beberapa kesenangan.
Nasihat guru-gurunya dahulu salap dipalit, coat dipakai. Pengajaran mak itu apa lagi? masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
Gerak-gerai secara pelajaran dan kemahuan bekerja yang ditanamkan oleh guru-guru masa di sekolah dahulu, semuanya telah luput, melainkan tinggallah dengan beberapa kesombongan mengaku diri sendiri. Aku telah bujang apa guna pegang cangkul? Oh wah! Perasaan yang begini lebih baik cepat dibawa ke sungai dan dihanyut biar dia dibawa oleh air dilambung ombak, hingga sampai ke Laut Merah bersama dengan burung garuda zaman Nabi Allah Sulaiman dahulu.
Saya tidak mahu bawa Tuan-Tuan memandang pada bangsa-bangsa yang telah maju di negeri-negeri atas angin. Memadailah kita tilik dan siasat akan bangsa-bangsa yang ada di keliling pinggang kita seperti Cina, Jepun. Mengapa mereka boleh kaya raya dan bersenang lenang, baik di negerinya atau di Tanah Melayu ini?
Budak-budak Cina yang lepas dari sekolah, dia akan bekerja bersungguh-sungguh menurut bagaimana kemahuan dan kemampuannya seperti bertukang-tukang, berniaga, berkebun sayur, jual-jual kacang goreng, dan ... dan ... dan ... daripada sekecil-kecil barang hingga ke sebesar-besar barang, beratus-ratus macam dijumpai merata-rata kedai Jepun di Tanah Melayu ini; ialah jadi satu contoh dan tauladan yang menunjukkan orang-orang Jepun di sana menggunakan pelajarannya gak-gak dari tempurung kelentung-kelentung mainan kanak-kanak. Jika difikrikan tentulah perbuatan budak-budak sekolah ataupun budak-budak kampungnya yang baru meninggalkan bangku sekolah untuk pencarian baginya di kampung-kampung.
Sebaliknya, cubalah pandang dan fikir adakah kaum dan bangsa kita maklumkan pelajaran bila lepas dari sekolah? Gasak sahajalah; bersungut susah, susah, bekerja tak ada nak belanja pun tak dapat apa guna membilang buah ratap?
Kalau disimpul tulang yang lapan kerat itu ianya tak dapat makan. Padahal di sekolah ada diajar berkebun sayur, menganyam-anyam bakul, bertukang-tukang, sedikit-sedikit, berniaga, tabiat gemar pada bekerja sendiri semuanya itu ada belaka ditanamkan serba sedikit pada otak masing-masing, rela buatlah, peganglah cangkul! Tanamlah sayur, anyamlah bakul, juallah sendiri makan sendiri, bila lagi?
Kalau tidak, dimulai dari sekarang, jangan malu jangan segan. Gulung lengan baju!
Buat penutup rencana saya, dua tiga soal dikeluarkan buat permenungan kaumku, bilakan masanya kita dapat memakai bakul buluh ((bakul sayur)) perbuatan Melayu betul?
Bila masanya kita akan dapat membeli sayur-sayur tanaman bangsa kita sebagaimana sayur Cina sekarang? Bila masanya kita akan tampak dan berjumpa orang-orang Melayu satu bakul besar di belakang basikalnya yang berisi, dengan daging, ikan dan sayur-sayur berjalan ke merata kampung dengan berteriak ikan-ikan! Daging-daging! Sayur-sayur! Seperti yang dilakukan oleh Cina-Cina sekarang? Segala jawab-jawab ini akan dihabiskan di dalam dada masing-masing Tuan Pembaca adanya.
Sambutlah salam dan hormat dari sahaya. Dari Kuala Pilah.
top |