![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 13 Dec 1934, p.7
General Article.
Ucapan Daripada Askar Melayu.
Darihal perlawanan askar Melayu dan caranya bersikap di tempat-tempat yang disinggahinya telah banyak dibincangkan oleh suratkhabar-suratkhabar.
Maka di sini tak payah lagi saya menyebutnya.
Adalah bagi pihak askar-askar Melayu yang mengambil bahagian di Perak tempoh hari tersangatlah terhutang budi kepada Yang Mulia Tengku Shariman Raja Maha Kurnia, serta ahli-ahli Iskandar Polo Club Kuala Kangsar dan penolong-penolongnya.
Demikian jua kepada Encik Abdul Aziz Head Quartermaster Sargeant dan ahli-ahli Lower Perak Melayu Club Teluk Anson kerana atas tilikan dan mengambil berat serta budi bahasa manusia yang telah dihamburkan kepada kami-kami sekalian.
Serta juga tak lupa atas usaha murid-murid Clifford yang telah meraikan kami sekalian di mana sahaja dipertunjukkan concernnya kepada kami.
Sungguh pun kami askar Melayu telah menjajah merata-rata di dalam negeri persekutuan ini, tetapi jika tak salah pengingat belumlah kami merasa seperti keadaan tempat yang berbahagia di Kuala Kangsar dan di Teluk Anson itu.
Maka apa-apa yang kami lihat, dengar, rasa, makan dan minum, belumlah hendak hilang-hilang daripada hati sanubari kami seolah-olahnya telah terpaku Belanda betul-betul.
Kemudian daripada itu, kami sekalian berbanyak-banyak pula mengirimi maaf ampun dan terima kasih, maklumlah, kami ini datang beramai seumpama kata pepatah, banyak udang banyak garamnya, banyak orang banyak ragamnya, di dalam segala ragam itu ada ragam yang kurang sopan yang tiada digemari oleh Encik-Encik dan Saudara-saudara sekalian.
Oleh begitu, pandanglah kami saudara setanahair. Jika ada budi bahasa yang terlanjur yang tak senonoh itu, fikirkan sahajalah yang manusia itu tak sunyi daripada salah dan kesalahan itu bukan dengan speech.
Semasa kami di Kuala Kangsar, setelah habis berkawal*, maka bertitahlah ((berkhutbah)) Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Iskandar Shah KCMG, KCVO, GCMG, kepada kami askar-askar Melayu adalah titahnya itu memberi berangsang dan menaikkan darah gembira kepada anak-anak Melayu supaya memasuki jawatan askar dan menyuruh taat kepada Raja dan Kerajaan serta Tanahair.
Di Teluk Anson, diucapkan oleh Yang Teramat Mulia Raja Muda dan di Ipoh oleh Yang Amat Mulia Raja Bendahara yang tujuannya pun tak kurang memberi manfaat dan bahagia kepada anak Melayu hamba rakyatnya oleh titah yang terbitnya daripada lidah Tuanku-Tuanku yang menjadi batu gemala anak-anak Melayu itu sebenarnya sepatah pun tak ketinggalah hilang percuma melainkan termasuk ke dalam jisim dan roh patik-patik pacal yang hina, sehingga menjadi darah dagingnya.
Titah-titah yang demikianlah yang sangat disetujui oleh hamba-hamba Melayu yang telah mundur jauh ke belakang ini. Bahwasanya berbahagia benar patik-patik mendapati Raja-Raja Yang diPertuan seperti Tuanku-Tuanku itu.
Zahirnya askar Melayu ke alam Malaya ini diibaratkan kanak-kanak yang baru berumur setahun jagung dan darah setampuk pinang, tetapi melihat dan mendengarkan apa-apa buah butir di segenap ceruk menjadi saksi bahwa anak-anak Melayu tak mencuai-cuai tak mensia-siakan anugerah daripada Yang diPertuan.
Askar Melayu telah mengharungi beberapa semak belukar yang teruk-teruk, rimba ranah* yang sukar-sukar, yang tiada tulisan hendak dilukiskan tidak ada siapa-siapa yang mengetahuinya melainkan orang yang menderitanya sahaja ialah kerana hendak mengenal nama Bangsa, Raja dan Tanahairnya ke mana alam ini.
top |