Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 13 Dec 1934, p.5

Editorial.

Mata Pencarian Bangsa Kita Semakin Kuno Jalan Belanja Semakin Moden.

Jika ditilik kepada keadaan mata pencarian bangsa kita zaman sekarang, nyatalah semakin undur kepada keadaan yang lebih kuno. Tetapi jalan-jalan membelanjakan wang itu semakin moden dari semasa ke semasa sehingga membawa kepada satu nasib yang menyedihkan. Tuah Musang, Celaka Ayam. Padi Masak Makan Ke Rimba.

Kita tak dapat menyalahkan sesiapa, tetapi kita wajib sesalkan diri sendiri. Kita sendiri salah pasang dan kita sendiri salah ukur. Boleh juga kita terhemah sebentar bahwa bangsa kita telah ditipu oleh tamadun Barat. Tetapi tatakala kita contoh cara hidup dari Barat itu, kita sendiri telah lupa mencontoh jalan kehidupan mereka itu. Dan sebab itulah maka hidupnya bangsa kita kekok pada serba-serbinya sebagaimana keadaan yang tak dapat didustakan pada masa ini.

Pepatah Melayu berkata di masa yang telah lalu itu tak dapat dikejar dengan kuda semberani.

Bangsa kita telah pernah dipuji orang sebagai satu bangsa yang lekas dan pandai meniru malah terpuji juga tentang kepetahan lidahnya boleh dilentur dengan senang melafazkan harap-harap dagang yang ditiru-tirunya, apa lagi jika diajarkan kepadanya.

Jika kita selidiki di mana terletaknya kepujian itu nescaya kita dapati hanya tentang mencontoh style pada pakaian dan gaya-gaya memakai termasuk berbagai-bagai permainan sport dan nyanyi-nyanyian tetapi tidak didapati pada jalan mencari harta atau jalan membelanjakan harta itu.

Sebab itulah kedapatan banyak di antara anak-anak bangsa kita salah duduk. Setengahnya umpama beruk menjala dan setengahnya umpama pipit menelan jagung, motorsikal dan sepatu Barat yang dipakai orang-orang daripada wang yang lebih-lebih daripada simpanannya dicontoh juga memakainya oleh bangsa kita. Tetapi daripada wang terus itu atau daripada wang yang didapati daripada gadaian kampungnya, pada zahirnya sama kuat hentaknya dan sama berdegar-degar bunyinya. Tetapi alangkah jauh beza hakikatnya.

Pada pendapat kita yang demikian ini satu penyakit Barat yang mesti diubat dengan seberapa segera; moga-moga terlepas bangsa kita daripada bahaya tempang.

Dengan rencana ini kita tidak bermaksud menegah anak-anak bangsa kita memakai motorsikal atau sepatu Barat, kerana hendak mengubat penyakit Barat itu. Apa yang kita fikirkan ubatnya sekarang ialah berjimat lebih dahulu daripada habis. Dan hendaklah kita sendiri sama-sama berikhtiar membanyakkan mata pencarian kaum kita serta membesarkan pencarian bangsa sendiri supaya kita contoh pula jalan mencari wang bangsa-bangsa yang telah kita contoh cara hidupnya itu supaya pencarian bangsa kita tidak kekok dengan perbelanjaannya.

Kita ulang lagi menyebut bahwa hendaklah sekurang-kurangnya kita utamakan perusahaan bangsa kita, jika kita enggan menolong perusahaan itu dengan modal kita sekalipun supaya tiap-tiap rumah perusahaan kaum kita itu subur hidupnya.

Kita mesti gembira dan merasa megah membeli di kedai kaum kita daripada membeli di kedai bangsa asing berpangkis pada tukang gunting bangsa sendiri serta memakai pakaian yang ditempah pada tukang jahit kaum.