![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 13 Dec 1934, p.4
General Article.
Pemandangan Pada Pekan-Pekan Mingguan.
Adalah Pekan Mingguan itu maka diadakan ialah buat melatihi kaum Melayu pada jalan perniagaan. Seratus peratus daripada semua Pekan Mingguan di serata Tanah Melayu dikehendaki berlebih orang-orang Melayu sahaja yang berjual di sana dan dilarang keras oleh ketua-ketuanya bangsa lain masuk berniaga ke situ. Maka dengan jalan itu mudah-mudahan bangsa Melayu yang akan datang gemar dan suka menggalakkan berniaga sebagai yang dilakukan oleh lain-lain bangsa di sini.
Saya tidak tahu bagaimana perjalanan Pekan-Pekan Mingguan dan lain-lain negeri seperti Perak, Selangor, Pahang, Kedah, Melaka dan ... tetapi yang saya lihat pada enam buah pekan dalam Kuala Pilah semuanya telah dibolot oleh bangsa dagang hanya satu dua orang sahaja Melayu, itu pun Melayu Sumatera.
Kalau tidak salah, pada fikiran pekan ini telah diadakan hampir sepuluh tahun benih yang ditanam berkehendakan tumbuh pada kaum Melayu kita itu telah kembang; kalau ada pun sebiji dua yang tumbuh itu pun telah mati semula sebab-sebabnya ialah kekurangan baja daripada ketua-ketua kita.
Saya ingin hendak mendengar satu suara daripada ketua-ketua kita di sini supaya jadi pindah pada anak buahnya. Maka oleh yang demikiannya Pekan Mingguan sekarang tidak jadi faedah lagi tetapi telah bertukar sebaliknya.
Pada hari yang ditetapkan itu semua orang laki-laki dan perempuan keluar ke pekan. Kalau dua pekan yang hampir dengan sudah tetap sahaja keluar dua hari dalam seminggu.
Kalau dinilai dua ratus orang sahaja tiap-tiap hari itu sudah tentu dua ratus kekuatan pekerjaan telah hilang di hari itu.
Wang yang dikatakan sepuluh sen mahu jadikan seringgit dan seringgit mahu dijadikan lima ringgit; itu tidakkan terjumpa lagi melainkan bila tiba di hari Pekan Mingguan mestilah dihantarkan ke dalam saku orang-orang Cina pihak mereka yang berladang kecil kelimpunan* kok merasa menjual getahnya tiap-tiap kali jual lima puluh kati jangankan dikata sepikul, melainkan terpaksa di jual dua tiga kati di tiap-tiap hari Pekan Mingguan.
Bukankah ini sudah jadi kaum kita boros?
Kedai-kedai kecil di kampung kepunyaan Melayu tidak maju kerana telah dikalahkan oleh jualan Cina di Pekan-Pekan Mingguan itu.
Pihak laki-laki dan perempuan-perempuan muda yang pergi ke sana bukan tujuan kerana membeli barang-barang tetapi melopong-lopong sahaja memperagakan lawa masing-masing buat supaya menunjukkan makan pemandangan dan perasaan di antara satu dengan lainnya.
Pergaduhan selalu berlaku di sana iaitu pergaduhan yang berlaku dalam kampung yang tidak memberi puas hati pada masing-masing pihak; nantilah di Pekan Mingguan. Maka oleh itu haraplah akan dapat timbangan daripada yang berkuasa seperti penghulu-penghulu lembaga-lembaga supaya menyusun dan membaiki peraturannya mudah-mudahan akan berfaedah.
Kalau semacam yang sudah-sudah ini juga, baiklah Pekan-Pekan Mingguan itu ditutup langsung tak usahlah diangan-angan atau disebut-sebut lagi, apa guna kalau tidak ada dengan pengertiannya?
Haluan dan tujuan yang dahulu itu telah terpesong langsung hingga akan jadi bahaya pula pada sisi kaum dan bangsa kita.
Had inilah dahulu direbahkan qalam buat menantikan buah fikiran dan sokongan daripada rakan-rakan yang lain.
Salam dan hormat serta selamat berbuka puasa dari saya.
December 1934.
top |