Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 31 Mar 1932, p.5

Editorial.

Semenanjung Tanah Melayu bagi Orang-orang Melayu.

Di dalam masa yang akhir ini jerit kebangsaan menjeritkan Semenanjung Tanah Melayu bagi orang-orang Melayu, telah kedengaran semakin hebat keluar dari suara orang-orang Melayu dan di antara suratkhabar-suratkhabar Pengasuh di Kelantan, yang menjadikan suara ini tak juanya sebagaimana dapat diperhatikan di atas kepala Pengasuh itu.

Semua orang mengetahui bahwa Semenanjung Tanah Melayu ini selamanya dipunyai oleh orang-orang Melayu sedang perdirian Raja-Raja Melayu itu tidak berubah dari masa sebelum dijemput orang-orang Inggeris datang menolong memerintah negeri dimulai dari masa British Resident diterima sebagai Penasihat bagi Perak pada 20 Januari 1874, Selangor 1 Oktober 1874, Negeri Sembilan 13 Julai 1889 dan Pahang 8 September 1888; hingga hari ini, berjalanlah pemerintahan negeri menurut teraju yang dijalankan oleh pembesar-pembesar Inggeris yang sepah didatangkan ke sini kerana akan membantu Raja-Raja Melayu menjalankan perintah.

Dan kemudian daripada itu, terbukalah negeri-negeri Melayu ini bagi semua bangsa lain yang berhajat hendak berniaga atau hendak bermastautin di sini, hingga hiduplah mereka itu di dalam mana dengan aman dan sentosa pada nyawa dan harta tak berbeza.

Adakah ia bangsa Melayu atau bangsa asing ataupun bangsa pemerintah melainkan sama-sama memperoleh pernaungan yang cukup. Tetapi kira-kira di dalam tahun 1926 mulailah bangsa-bangsa asing itu menjeritkan Semenanjung Tanah Melayu untuk Bangsa Malayan, terus kepada hal yang berhubung dengan tuntutan hendak masuk ke dalam jawatan Malayan Civil Service dan teraku-aku hendak menjadi anak negeri.

Jika disusul bahwa dari masa itulah pula orang-orang Melayu yang lalai dan bisu itu terkejut dari kelalaian serta menghurai simpulan lidahnya yang bisu itu terus menyanyikan lagu kebangsaan, iaitu Semenanjung Tanah Melayu untuk orang-orang Melayu! sambil mempertahankan apa-apa haknya yang masih tertinggal itu dari rebutan bangsa asing. Bolehlah dikatakan dengan sebenarnya bahwa suara-suara bangsa asing itulah yang telah membangunkan orang-orang Melayu daripada tidurnya yang amat lena itu.

Berapa macam ragam lagunya bangsa-bangsa asing itu berkehendakan paha, kemudian daripada telah diberi betis. Begitu pula banyaknya ragam lagu putera bumi Melayu ini bukan sahaja akan mempertahankan pahanya, tetapi ialah juga akan menebus betisnya yang telah dirampas oleh bangsa asing itu. Bolehlah dikatakan perasaan kebangsaan Melayu itu telah tumbuh dan bertunas rata-rata di antara orang-orang Melayu pada masa ini, dan akan bertambah subur bagi masa yang akan datang tidak berbeza di dalam Selat, FMS, atau di dalam negeri-negeri Melayu yang tidak Bersekutu.

Sekiranya bangsa-bangsa asing berjalan terus meminta hak, tentulah orang-orang Melayu akan berjalan terus pula mempertahankan haknya dan yang akan jadi sasaran kedua-dua pihak itu tentulah bangsa pemerintah; artinya, jika kedudukan kedua-dua pihak itu sama berat kepada pemandangan pemerintah, maka bangsa-bangsa asing dan anak negeri itu akan bekerja merebutkan suatu benda yang tergenggam di dalam tangan pemerintah.

Waktu itu, tidaklah kita ketahui apakah yang akan diperbuat oleh kerajaan, supaya kedua-dua pihak itu berpuas hati. Tetapi kita berkeyakinan bahwa bangsa-bangsa asing itu tak akan berpuas hati sekiranya tuntutan mereka itu ditolak walau dengan seribu helah dan kelah sekalipun dengan perkataan yang manis-manis. Apa lagi jika dengan pahit.

Begitu pula di sebelah lagi iaitu di sebelah anak negeri. Sebenarnya jika anak negeri itu tak puas hati, tak akan menjadi kudis kepada pemerintah, tetapi tidaklah patut jika mereka itu dibiarkan berhiba hati.

Kerana kita tak suka sekiranya berlaku perasaan tak puas hati itu iaitu suatu perkara yang tidak akan diredhai oleh kerajaan.

Kita ingatkan hendaklah kerajaan kita bersungguh-sungguh dari hari ini membawa langkah baru sekira-kira boleh difaham oleh semua orang yang anak negeri itu anak kandung kerajaan dan bangsa asing itu anak tiru sahaja.

Kita tidak berkehendakan kerajaan kita beranak tiri dan beranak kandung tentang kebebasan hidup secara rakyat dan pernaungan harta dan jiwa. Tetapi tentang hak hendaklah kerajaan beranak kandung dan beranak tiri.

Bangsa asing pada masa ini tersangat bimbang dan mereka cemburu kalau-kalau orang-orang Melayu lebih manja kepada kerajaan. Kita tidak tampak suatu ubat yang boleh menghilangkan kebimbangan bangsa asing itu melainkan menyatakan kepada mereka itu bahwa mereka itu anak tiri kerajaan. Dan tidak ada halangan bagi kerajaan berkata begitu; kerana menilik kepada penyerahan negeri ini kepada kerajaan Inggeris; yang tidak sekali-kali bermakna yang kerajaan Inggeris itu berkuasa memberi atau memindahkan hak memerintah negeri ini kepada bangsa lain.

Disebelah anak negeri kita percaya akan berdiam diri semula apabila bangsa asing itu berhenti menyanyikan lagu menuntut hak.