Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 4 Jan 1935, p.18

General Article.

Perasaan Belum Lemah Semangat.

Cukup tahun bilangan masa Keluaran khas Majlis yang esa , Menziarahi Pembaca di watan dan bangsa , Maksud tertentu mengembangkan jasa. |

Berhubung dengan tulisan yang dikepalakan di atas buat mengucapkan selamat keluaran khas Majlis hari ini, sebagai ia menghormatkan daging darah yang sejenis, di mana ikhlas Tuan-Tuan itu telah naik setinggi-tinggi peratus atas pandangan apa yang dihidangkan oleh bauan Majlis dari pun mulai zahir di dunia bacaan kaum seMalaya dan di tempat-tempat lain seumpama di Mesir ... perkhabaran yang dari maksud kerap didapati di Majlis tulisan yang mana dikirimi oleh penulis putera Semenanjung yang masih menuntut di Kaherah sana, dengan beginilah yang dikatakan perasaan lemah semangat itu belum terterai di hati kaum yang setinggi-tinggi mulia buat dijadikan Tuhan di muka bumi ini sekali pun tanah Mesir itu tidak berhubung dan menempuh sebesar-besar lautan jika hendak ke sana dengan tanah Melayu ini.

Tetapi roh perasaan atas kebajikan itu masih bersatu di tubuh yang satu jua sebagaimana ada kemajuan kaum dan watan di Mesir itu patutlah di Malaya ini turut sama tak jadi setahun dua yakni dengan perlahan-lahan asalkan pedoman kemajuan dari penulis-penulis dipegang tetap dan semangat perasaan itu selalu dijadikan sebagai cermin besar di hadapan kita. Bisa mulut seluruh tubuh sendiri dan umum sekaum sekali. Mana yang cemar dibaiki, sudah baik jadi bandingan.

Demikianlah perasaan yang bererti semangat itu tidak terhenti pada sesuatu tempat malahan berjalan terus.

Dari permulaan zahir sifat majlis di pembaca ramai beserta seperti mana didapati hari ini juga. Tetapi mukanya cuma 6 sahaja, kemudian jadi 8 yang sekarang pulak jadi 10, apa sebab? Apa fasal? Adakah bilangan bertambah kurangnya? Dan beberapa soalan boleh dihadapkan kepada Majlis, tetapi dengan senang hati sahaja menjawabnya ini perkara tidak pelik kerana perasaan yang bersemangat maju itu telah mengalir seluruh tubuh kaum dari kaum yang duduk jauh dengan Majlis; apalagi yang hampir sudi membaca dengan jalan berlanggan atau beli di wakil-wakilnya tidak kira kampung itu cukup kecil dan jauh, tetapi suratkhabar-suratkhabar atau majalah-majalah telah berpuak yang gemar dengan perkara membaca-membaca itu, bahwa itulah menunjukkan perasaan di kampung itu tidak berputus harap walau sebuah majalah atau senaskah suratkhabar dibaca oleh sebuah kampung tidak apa.

Itulah natijahnya kaum kita telah faham kehendak tawarikh, saya tidak bermegah-megah tulisan ini dengan kebanyakan perkhabaran. Rencana-rencana yang dikemukakan diruangan Majlis ini pujian itu belum sampai masanya terkeluar dari mulut kerana tak dapat bandingan; melainkan semacam mana saya suka kepada Majlis, lantas sekalilah saya gemarkan Warta Malaya, Saudara, Bumiputera, Pengasuh, Majalah Guru, al-Hikmat, Lembaga Malaya, dan lain-lain. Tambahan pula setiap hari perkeluarannya makin banyak suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah zahir di muka dunia semakin bersemangat saudara-saudara pengarang dan penulis-penulis menggambarkan tulisan-tulisannya di muka pembaca-pembaca, menyusun tulisannya itu menyeru memimpin bersatu kata maksud biar bertambah di barisan, maju di dalam sebarang perkara. Saya boleh kata kesusahan perkhabaran zaman tidak bersurat khabar dengan masa yang lengkap suratkhabar-suratkhabar adalah jauh bezanya waktu sekarang seperti si buta beroleh tongkat.

Sungguh pun Melbourne itu jauh dari pandangan, tetapi akan perkhabaran-perkhabarannya dengan serta merta diketahui oleh dunia. Tuan Scott yang mengambil record kemenangan dunia kerana perlumbaan kapal udara tempoh yang lalu ialah disebabkan perasaan lemah hati itu belum dimimpikan fikiran balik mimpi-mimpi kosong itu tidak berkehendak.

Dalam keluaran Majlis 4 haribulan January 35, bersamaan 28 Ramadhan, tidak lain maksudnya ialah mengkhidmatkan dan mengucapkan selamat kaum pembacanya berHari Raya segenap daerah Malaya dan lain-lain tempat mudah-mudahan dengan asuhan rencana yang di Majlis ini, Melayu diharapi kenal mata tangga kemajuan yang masih sibuk sekarang sama ditenggala.

Sedikit tahun yang lepas, suara pengarang dan penulis-penulis Majlis di mana-mana ceruk Semenanjung telah keluar mengaturkan tulisannya di dada Majlis, seperti mana tulisan itu membangunkan sebuah kubu Melayu buat mempertahankan hak-hak Melayu dirempuh oleh Malayan.

Suara penulis gemuk dan tetap semangat tidak gentar hati Tuan-Tuan itu seperti mana letupan bedil. A.N. Encik Teruna, Negerian, Daulat, Terima, Amas, dan lain-lain nisbah Malayan, ketahuilah yang Majlis masih mempunyai suara yang bernyawa mengadap kepadanya. Dan itu suara dipandang baik oleh pemerintah. Peperangan pena yang sebegitu hebat yakni Malayan di suratkhabar Inggeris dan Melayu di suratkhabar Melayu, maka kepintasannya itu telah didapati di majalah dan akhbar-akhbar Semenanjung, bermaknalah Majlis mengambil bahagian fikiran Malaya dan perkhabaran Malaya.

Kita sudahi dengan serangkap pantun:

Anak Boyan memotong jerami Beri makan kuda Benggala ; Setitik embun di atas bumi , Diharapi Majlis jadi jendela. |

Salam yang disertai dengan nyanyi hormat dari,

Daud Manap.