Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 4 Jan 1935, p.17

General Article.

Kitab Umbi Kemajuan.

Oleh Pelimpah Takdir.

Sukatan Azali.

Aduh, sukatan azali! Apa kita tahu sukatan azali? Allahuma, bukankah umat kita telah sekata beriktiqad bahwa hidup kita di dunia ini dan di akhirat kelak semata-mata bergantung kepada nasibnya yang telah ditakdirkan dia oleh Tuhan wallahu-al-kadir, yang selamanya kita faham sebagai janji azali? Dan apa-apa jua daripada untung rugi dan gerak diam kita semata-mata berjalan menurut landasan yang telah diaturkan dia oleh Tuhan dari azali di Loh Mahfudz.

Keselamatan seseorang Islam itu pada ugamanya bergantung kepada iktiqad dan beribu-ribu kitab telah dikarang oleh ulama-ulama umat Islam pada membicarakan hantaran iktiqad sahaja. Masing-masingnya mengistighfar aduh mengistighfar dari ayat-ayat Quran buat menyokong ketetapan dan pendapatan masing-masing pihaknya yang satu menyalahi yang lainnya hingga jika dihalus-halusi akan kita dapati dua perikatan itu boleh menggugurkan iman salah satunya. Tetapi yakinnya masing-masing mendapat ikutan yang banyak pula maka upahnya sudah tak dapat dielokkan lagi bahwa apa yang kita katakan iktiqad itu. Sekarang telah menjadi umpama telur yang terletak dihujung tanduk.

Iktiqad pada Islam itu semudah-mudahnya bagi orang-orang yang bersih mengadap Tuhan Allah sehingga perempuan-perempuan dan kanak-kanak yang belum masak otaknya diterima imannya, tetapi oleh kerana banyak di antara ulama-ulama ugama kita yang bergila-gila dan berlumba-lumba memuji tuhannya dan mengambil kemegahan pada satu perkara yang disangka jauh sejauh-jauhnya. Maka ayat-ayat firman dan hadis-hadis yang terang itu tidak memadai kepada mereka itu untuk memperdalam-dalam kaji, akhirnya semakin didalami semakin jauh dan kusut dan dengan malangnya telah menyebabkan umat kita hampir-hampir 90 peratus mati hatinya dan lemah perasaannya pada memperbaiki hidupnya kerana iktiqad mereka itu jika rezeki secupak tak akan dapat segantang, kalau nasib tak mati, tak akan dapat diubat lagi.

Penambah matinya mata hati mereka itu, ada pula dalilnya yang terlebih kuat iaitu lagikan ulat dalam batu didatangkan Allah rezekinya, sehingga ada pula dalilnya yang pernah berjumpa ulat di dalam batu yang tebal berguling dengan rumput untuk makanannya. Dikirim oleh Tuhan!

Tak dapat digelarkan lagi bahwa sebahagian besar daripada umat kita menyangka dirinya hidup di dunia ini sebagai sebuah sekoci jam yang bergantung kepada takdir sepiring sahaja, lain tidak. Hingga menyebabkan banyak yang kurang percaya atau tiada percaya sedikit pun kepada tenaga dirinya dan setengahnya pula kekal dalam perakuan hingga akhir hayatnya. Walaupun setiap masa ahli-ahli surau atau madrasah itu membalik-balik berbagai-bagai kitab Usuluddin.

Tak berhenti mengada-adakan masalah untuk diperlawankan kepada teman-teman sejawatannya beradu masalah, masalah siapakah yang tinggi dan yang tak dapat dicuba orang di dalam itu bukan sahaja mereka perbincangkan bagaimana iktiqad Islam kepada takdir Tuhan tetapi mereka tarik pula iktiqad itu kepada makhluk Allah, begini begitu, dan di dalam itulah pula terbit keputusan mengatakan barang siapa mengiktiqadkan api dan pisau itu memberi bekas, maka orang itu sanya kafir.

Adapun Kitab Umbi Kemajuan yang kita tajukkan di atas ini ialah sebuah kitab karangan baru yang kecil, tetapi hantarannya lama dan isinya besar. Sekurang-kurangnya besarnya boleh kita dapati bahwa kitab itu telah berani menyanggah iktiqad Islam yang diajar oleh sebesar-besar ulama Usuluddin yang termashyur lagi al-amin yang bernama Abu al-Hassan al-Syari Rahmatullah.

Kita belum berani memberi ketetapan adakah kitab yang baru terbit ini sesuatu gemala ataupun racun yang bisa kepada kaum kita. Kita hanya boleh meneka bahwa kitab Umbi Kemajuan itu akan merunsing dan mengusar otak banyak daripada ulama kita di sini.

Barangkali juga akan mendatangkan satu heboh yang besar yang belum terjadi di dalam riwayat dunia ulamat di Tanah Melayu ini, melainkan jika mereka menjauhkan diri seribu tahun di jalan daripada menatap karangan itu.

Entahlah, tetapi jika dibaca, kita percaya banyak yang akan menghempas-hempaskan tangan mereka itu dan jika di hadapan murid-murid yang ramai. Rasanya cap mazhab Qadiriyyah atau Mutazillah akan dimeteraikan sepadat-padatnya kerana ajaran-ajaran kitab itu seterusnya, menyanggah iktiqad-iktiqad yang telah beriktiqad dengannya bersua-sua ulama yang kebilangan bermillion-million yang ikutan sekurang-kurangnya dalam masa seribu tahun.

Iktiqad Christian sepanjang pengetahuan kita ialah bahwa ulama ini bergerak mengikut gerakan yang ditentukan dia pada azali dan segala manusia dan jin, dan segala jiwaan yang melata di muka alam ini, hanyalah akan menyempurnakan janji masing-masing atas landasan yang telah ditakdirkan jua.

Daripada kitab Umbi Kemajuan ini dapatlah kita putuskan dua soal yang besar yang berlawan. Pertama, adakah kita beriktiqad bahwa nasib untung kita semata-mata bergantung kepada barang yang kita usahakan sendiri?

Pada fikiran kita, dengan kitab ini murid-murid kitab Usuluddin yang banyak was-was dan masih di dalam keraguan itu akan disinari oleh matahari yakin dan barangkali banyak yang akan berhenti daripada bertengkar sama sendiri.

Umbi Kemajuan itu ialah buah tangan Encik Zainal Abidin bin Ahmad, yang nama qalamnya Zaaba, seorang pegawai di Pejabat Karang Mengarang Sultan Idris Training College Tanjung Malim pada masa ini.

Kita sendiri mengaku ragu-ragu sekarang. Jika kita iktiqadkan bahwa apa yang akan berlaku di dunia ini memang telah tersurat di Loh Mahfudz apa halnya Tuhan Allah telah bertitah kepada segala malaikat sujud kepada Adam. Maka telah sujud segala malaikat melainkan Iblis sahaja yang enggan. Iblis telah takabur, akhirnya jadi kafir. Adakah agaknya titah Tuhan Allah dan keengganan Iblis kepada titah itu telah tersurat juga di Loh Mahfudz?

Dan lagi, kita dapati di dalam Kitab al-Quran yang Tuhan kita yang asa itu akan berkata bagian kepada Nabi-Nabi, bagian kaul kepada hamba-hambanya, daripada malaikat dan manusia. Pada hari kiamat itu pun sudah tersebut juga di Loh Mahfudz?

Apa itu Loh Mahfudz dan Siapa Keraninya?

Cubalah jalani otak dengan huraian kitab Umbi Kemajuan tersebut.