![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 8 Jan 1935, p.6
Surat Kiriman.
Berita Dari Beranang.
Pada masa sekarang, padi di dalam mukim ini tengah masak belaka. Ahli-ahli bendang semuanya tengah sibuk menuai padinya. Sedikit hari lagi kedengaranlah lentung lentang ke hulu ke hilir bunyi orang mengemping dan mana-mana yang ada anak-anaknya bekerja dan lain-lain negeri, hebohlah ia menyuruh anak-anaknya balik kerana hendak makan sulung tahun, mudah-mudahan padi tahun ini adalah memberi puas hati.
Kedai-kedai Orang-orang Melayu.
Di pekan ini terdiri dua buah kedai menjual barang makanan, iaitu satu kedai Persatuan Melayu Beranang, dan yang satu lagi dipunyai oleh Encik Muhammad Said, dua buah kedai menjual kain-kain dan dua buah kedai gunting rambut. Tampaknya kedai-kedai ini adalah di dalam sederhana belaka, kedai-kedai Cina menjual kain-kain sudah hampir-hampir hendak menggulung tikar. Tetapi digantikan pula oleh Pak Janggut. Orang-orang Melayu mukim ini hendaklah beringat sedikit sokonglah perniagaan bangsa sendiri, majukanlah bangsa sendiri, ingatkan selalu perumpamaan ini; jika kamu keluarkan wang seharga sesuap nasi kepada bangsa asing, samalah seperti kamu merampas sepinggang nasi daripada kaummu sendiri, yang ada di dalam masa yang sangat lapar dan dahaga.
Masa penulis berjalan-jalan di kampung jalan enam kaki terlihat oleh penulis dengan satu iklan di sebuah kedai kecil lebih kurang maksudnya, begini: Encik-Encik dan Tuan-Tuan yang berkehendak mengupahkan menjahit baju-baju Melayu barang apa potongan pun, sila berkira masa ini. Penulis pun berhenti dengan beberapa riangnya di hati penulis oleh sebab yang empunya kedai itu ialah seorang daripada sahabat penulis juga; bagus majukanlah perusahaan Melayu! Lepas penulis daripada mengucapkan selamat dengannya, penulis pun berjalan semula. Di dalam perjalanan ini penulis berjumpa lagi dengan sebuah kedai menjual barang-barang makanan yang dipunyai oleh Encik Muhammad Nuruddin, bekas Guru Pelatih. Bagus juga maju kedainya, Syabas Encik Nuruddin!!
Sebagaimana biasanya, pekan sehari di dalam mukim ini diadakan pada tiap-tiap hari Arbaah. Perjalanan pekan ini adalah bertambah maju, sama ada dagangannya mau pun pelawat-pelawatnya. Tetapi sayang 1935 kali sayang, penjual-penjual kain bajunya habis diborong oleh Pak Janggut belaka, kecuali lima enam orang sahaja Melayu. Nampaknya orang-orang Melayu mukim ini sangatlah suka membeli kepada Pak Janggut itu. Dan berhadapan dengan jalan hendak masuk ke pekan itu, ada pula orang Cina berjaja pinggan mangkuk, sememang ditetapkannya pada tiap-tiap pekan Arbaah itu sahaja ia datang berjaja di situ.
Nampaknya sentiasalah berkerumun orang-orang Melayu, padahal di sebelah tempat Cina berjaja itu, ada juga kedai Orang Melayu yang menjual pinggan mangkuk, serupa juga dengan pinggan mangkuk yang dijual oleh orang-orang Cina itu. Dan harganya pun lebih kurang juga. Betapakah suka juga orang-orang Melayu membeli kepada bangsa yang meracun kemajuan bangsa Melayu itu? Agaknya darah kebangsaan itu belum ada tertanam di hati orang-orang Melayu hingga ini.
Penulis-Penulis Suratkhabar-suratkhabar.
Sudah lama penulis tiada membaca apa-apa perkhabaran di dalam mukim ini. Ke manakah perginya penulis-penulisnya? Di dalam dua tiga bulan dahulu ada juga hendaklah apa-apa kendurinya, penulis-penulis dengan kerana ini dijemput kembali memberi apa-apa perkhabaran ke halaman Majlis yang permai ini.
Sekadar inilah sahaja yang dapat penulis beritakan di halaman Majlis yang cemerlang ini. Melainkan penulis minta maaf banyak-banyak kepada sekalian ahli-ahli pembaca yang bijaksana, istimewa lagi Tuan Pengarang. Jikalau ada apa-apa perkataan penulis yang tiada betul, ataupun terkhilaf, kerana baru inilah kali penulis mencuba menziarahi halaman Majlis ini. Was-salam.
top |