Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 8 Jan 1935, p.10

Feature Article.

Kemajuan Orang Dahulu, Gendalanya Sekarang.

Sanya kalau kita halus-halusi yang anak-anak Melayu Semenanjung ini bukan dia malas sebagaimana yang diserukan suratkhabar-suratkhabar di serata Semenanjung. Saya percaya yang orang kita Melayu ada darah dan perasaan kemajuan itu terkandung di dada mereka masing-masing. Tetapi terkeliru dibuat oleh bangsa-bangsa dagang yang datang menumpu ke Tanah Melayu ini seperti orang Cina, Keling dan lain-lainnya.

Orang kita Melayu pandai berniaga, bertukang, berkebun dan sebagainya. Memang perasaan-perasaan itu sudah sedia terpaku di hati mereka masing-masing. Cuba kita menungkan: sebelumnya lagi negeri-negeri Melayu ini didapati oleh bangsa-bangsa asing siapa yang berniaga, bertukang, dan ... dan ...!

Semuanya Orang Melayu sendiri! Sekarang masih tinggal lagi bekas-bekas itu seperti di Kelantan dan di Terengganu, semuanya anak-anak Melayu negeri, mencampuri daripada setinggi-tinggi pekerjaan hingga serendah-rendahnya, begitulah jua negeri-negeri Melayu yang lain pada masa dahulu.

Tetapi semenjak datang bangsa-bangsa dagang terkecuali bangsa pemerintah. Ke Tanah Melayu habis semuanya itu dirampas oleh mereka dengan jalan pujuk dan diberi beberapa banyak wang. Orang kita Melayu masa itu kurang pengetahuan; dengan jalan itu dapat ditawan oleh bangsa-bangsa yang tersebut, hinggalah masa ini.

Jadinya, sudahlah turun temurun dari masa itu hingga sekarang ini dilihat oleh orang Melayu kita, yang berniaga, berkebun, dan sebagainya, semuanya daripada bangsa-bangsa lain. Bukannya daripada bangsa mereka sendiri. Jadi dari situlah terlebih mereka perasaan tidak mahu berniaga, berkebun dan sebagainya.

Kalau hendak mengetahui Orang Melayu Semenanjung pandai pada serba-serbinya, cubalah baca tawarikh negeri Melayu masa dahulu! Hai Orang Melayu di Tanah Melayu! Arah Melayu! Perasaan Melayu!

Harap dimenungkan kita Orang Melayu tidak malas, tidak tidur, kita memang ada darah dan perasaan itu di hati masing-masing harap dipulihkan seperti sedia kala, sama-sama kita tunggu dan sama-sama kita dengar, yang Orang Melayu Semenanjung sebagaimana yang dikehendaki oleh zaman ini.

Had inilah menuntut saya berbanyak-banyak maaf ke hadapan Tuan-Tuan Pembaca yang budiman, terutama Tuan Pengarang Majlis kerana ruangannya.

Was-salam.

Oleh Sabda.