Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 8 Jan 1935, p.2

General Article.

Hidup Nak Apa?

Hidup nak makankah atau makan nak hidup?

Sekianlah bunyi cakap-cakap pergurauan kaum sama sendirinya apakala berkumpul ramai-ramai, seolah-olah itulah dia cakap-cakap perolok-olokkan yang diperbincangkan. Dari bunyi suara ini, termatan di hati saya iaitu sudah diperhatikan perjalanan kaum-kaum kita pangkat yang tua-tua dahulu hampir-hampir separuh yang hidup, tujuannya yang mula nak makan sahaja. Sebab kebanyakan cakap-cakap mereka keluar tatakala memburukkan hal-hal mencari nafkah bunyinya rampaian macam tidak tersemangat mereka tidak sedar dan tidak memikir apa yang akan jadi di atas dirinya pada masa yang akan datang -- bagaimana?

Saya bekerja dapat sepuluh lima belas sen sehari, jadilah cukup makan. Pendeknya mereka bekerja itu tiadalah lain panduannya daripada bekal makan. Sebenarnya bekerja kerana hendak mencari makan tetapi alang-alang mencari, biarlah berkat sama ada masa muda ini, apa lagi tua kelak.

Fikiran tua seperti itu betul juga cukup makan. Akan tetapi apatah apa makanan yang cukup itu, wallahualam! Hanya dari semenjak lidah pena bangsa kita yang cintakan bangsa dan tanahair yang baru sahaja pula sedar ini, bercekik meriah seorang di dalam akhbar-akhbar majalah-majalah mengajak, memimpin, menauladan, dan menunjuk. Pada hal kebajikan tak sempat dari dekat, menyeru dari jauh, bermaksudkan supaya mudah-mudahan terdirilah bendera kebangsaan Melayu di sekotah Tanah Malaya ini.

Semenjak itu tampaknya ada beransur-ansur mengikut dan bertukar-tukar, andainya tak adalah saudara itu sia-sia seperti sebuah peti menyanyi di atas meja, seperti kata Che Hassan, seperti burung tiung sahaja.

Malahan beransur-ansur mengikut, bukan semua separuh sabar Che Hassan! Jangan marah!!

Wahai saudaraku sekalian! Sekarang janganlah simpan lagi fikiran begitu! Tanamkan di otak fikiran makan itu kerana hendak hidup sebab bila hidup bolehlah kita buat, kita rasa, kita cium, tengok buruk baiknya hal-hal yang berlaku di sekeliling pinggang kita. Misal dalam masa hidup itu, hati lebih berat hendak menuntut ilmu. Ha! Belajar betul-betul, layarkan fikiran pada pelajaran taat asyik, jangan suruh benci atau hendak tak hendak sahaja, kelak tidak semegah; jangan pula terlampau asyik waktu makan tidak makan, merosakkan kesihatan-kesihatan fikiran.

Pada hal makan berkehendakan supaya hidup kerana dengannya boleh menyukat hak-hak kehendak dunia, demikian jugalah pada waktu yang lain! Hendaklah dengan masanya!

Hodoh! Cukup tempoh belajar, keluar dari sekolah, janganlah diharap-harap benar makan gaji kerajaan sahaja. Gunakan ilmu yang dituntut itu pada lain-lain cawangan pekerjaan seperti berniaga, bercucuk tanam, berternak.

Dan lamun perasaan malu seperti membanding-bandingkan hemah dengan pekerjaan kampung itu tidak dapat tiada hapuskan fikiran terhadap pada jawatan itu pun salah juga sebab itu pun namanya hidup nak makan sahaja makan gaji pada kerajaan. Balik-baliknya siapa yang tidak hendak kerja senang.

Akan tetapi dah tidak dapat tak usahlah terdorong-dorong sahaja lagi macam orang tidak diakui buat kerja sendiri, lepaskan habis hidup hendak makan itu. Moga-moga berkukuh pekerjaan itu alangkah boleh jadi kalau betul gayanya?!

Malu yang tidak bertentang, segan yang tidak bertempat, pun menarik pada bahasa tadi juga, kerana buat itu malu, usik ini segan, akhirnya satu kerja tidak tahu. Adakalanya benda kebajikan disangka sampah dek tidak tahu!!!

Balik-balik mengutu di atas kepala ibu bapa. Sudahnya hingga akhir jabat makan dalam tanggungan harus mati pun tidak berkafan.

Janggah. Melaka.

20 December.