Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 14 Jan 1935, p.12

General Article.

Kebanyakan Orang Kita Melayu Suka Ikut-Ikutan, Tetapi Tidak Menyampai.

Oleh Maba.

Mengikut sebagaimana kepala yang di atas itu, nyatalah kebanyakan orang kita Melayu suka ikut-ikutan. Tetapi ikutannya itu tidak menyampai. Yakni tidak cukup sempurna sebagaimana tauladan yang diikutan itu. Di sini bukannya pula kita hendak mencaci atau menegahkan kepada orang-orang kita Melayu kepada perkara ikut-ikutan, tiru-meniru dan turut-turutan dan sebagainya.

Kita lebih suka jika orang-orang Melayu semuanya pandai pada perkara itu!

Tetapi yang kita suka hendak mengingatkan di sini jika orang-orang kita Melayu mengikut kepada sesuatu tauladan atau sesuatu perbuatan itu biarlah sampai cukup sempurnanya dan dengan syarat-syarat sungguh sekerat-kerat jalan sahaja, lebih baik tak usah. Bagaimana kita tak katakan serta tenungkan seperti dua tiga keterangan yang kita tunjukkan di bawah ini. Adakah ikut-ikutan orang kita Melayu itu dia sempurnakan atau tidak? Atau ikut-ikutan yang tidak menyampai???

Tentang Perniagaan.

Baik. Bangsa yang mula sekali berniaga di alam Melayu kita ini apa bangsanya? Jika kita pandang dengan sekali imbas sahaja nyatalah bangsa-bangsa itu Inggeris, Cina dan Jepun. Kemudian hingga zaman berzaman barulah diikut pula oleh orang-orang kita Melayu.

Sungguh pun hingga beberapa lama masanya, tetapi bukankah ada orang-orang Melayu kita suka ikut, tetapi sungguh pun ia mengikut, cuba kita tilik ikutan mereka itu, adakah menyampai atau sempurna? Jawabnya nyatalah, tidak.

Kenapa sebabnya maka boleh jadi tidak ((sempurna)) kita telah fikirkan adalah tiga empat perkara ini, ilmu perniagaan tak ada padanya ((kut ada pun sedikit benar)).

Kedua, kebanyakan orang-orang pemanas jika ditawar si pembeli dengan harga tak berpatutan dimaki serapahnya jadi si pembeli tak suka membeli di kedainya.

Ketiga, modal yang dibuatkan perniagaan itu tidak mencukupi.

Keempat, sekali tak untung terlampau banyak lipat ganda dari modal; lama-kelamaan jatuh bankrupt!

Tentang Pakaian.

Boleh dikatakan kesemuanya orang-orang kita Melayu pandai mengikut atau meniru bermacam-macam jenis fashion pakaian seperti pakaian cara Barat dan lain-lainnya. Tetapi ikutan memakainya itu tidak menyampai ((tak betul)) jika tak percaya boleh panang dan tiliklah sendiri dan carilah tentu berjumpa seperti yang kita terangkan di sini, mana betulnya.

Jika seorang laki-laki memakai cara Barat, dipakailah seluar dan baju putih sepasang ((potongan Eropah)), berkemeja serta bertali leher, bersongkok Melayu. Tetapi dibawahnya memakai kasut tidak bersarung kaki, ada yang cukup dengan sarung kakinya pula, tidak memakai songkok Melayu. Tetapi tengah-tengah malam buta bertopi pula ianya!

Dan ada yang lebih ganjilnya lagi berseluar panjang cara Barat, tetapi berbaju Melayu ((Teluk Belanga, bersongkok Melayu serta berkasut kayu, ikut cara pakaian mana ini???)).

Pihak perempuannya pula, hendak memakai pakaian cara baratlah konon. Berbaju gown separas lutut, bersarung kaki panjang, berkasut tinggi tumit, tetapi bergelang kaki dan tangan serta berkain selendang. Dan banyaklah lagi yang ganjil-ganjilnya yang kita telah berjumpa. Dan kita tidak hendak nyataka di sini.

Tentang Bahasa.

Demikian juga tentang bahasa, kita ketahui di zaman ini zaman berkemajuan. Satu daripadanya bahasa. Jadinya banyaklah orang-orang kita Melayu pandai berbahasa bangsa asing ((yang terutama bahasa bangsa kulit putih)). Oleh itu, digunakanlah bahasa itu di mana-mana tempat ketika ia hendak bertuturkannya ((berbahasakan)). Tetapi oleh yang si ikut-ikutan tadi walaupun ia tak tahu ((kok tahu pun tak menyampai, tak sempurna!)) apa lagi dia pakai bubuh-bubuh sahajalah ikut terkeluar di mulutnya. Hingga, misalnya hendak memberi selamat malam dibantainya beri selamat pagi! Dan tatakala hendak mengatakan tidak dikatakannya ya! Demikian jua sebaliknya.

Akhirnya apa telah jadi ... ?

Adalah secara cerita seorang kerani Melayu mencuri sebuah jam orang putih!

Ketika keterangan yang kita huraikan inilah yang dikatakan ikut-ikutan yang tidak menyampai. Oleh itu, beringatlah kita orang-orang Melayu jika nak ikut sesuatu perkara itu, ikutlah hingga cukup sampainya. Kita mengikut seorang, yang terbang ke udara separas awan, kita pun mahulah separas itu juga seelok-eloknya. Biar lebihkan lagi, biar separas bulan, biar boleh! Jangan berkurang! Tidak mengapa kalau tidak, tak usah langsung!!!

Tetapi ingat, wahai saudaraku orang-orang Melayu; zaman ini zaman berkemajuan. Oleh itu mahulah kita ikut turut dan kejar kepada medan kemajuan seperti mana kaum-kaum yang telah maju yang terdahulu dari kita ini.

Was-salam.

Maba, Selangor,

kepada 5 Januari 1935.