Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 14 Jan 1935, p.9

General Article.

Semangat Suratkhabar-Suratkhabar Melayu?

Suntingan Mualif.

Masa ini, sudah nyata orang Melayu dipandang oleh bangsa asing satu kaum yang maju ke hadapan dan sedia meniru dengan segeranya apa-apa jua percaturan yang membawa ke jalan kebajikan, baik kepada permainan, pakaian, perhiasan, mau pun peraturan serba aneka.

Begitu juga tampaknya Orang Melayu satu bangsa yang dikurniakan oleh Tuhan dengan akal dan fikiran yang tajam, hingga dapat mengelolakan apa jua perbuatan yang disangkakan dahulunya tidak berupaya dilakukan dengan sempurnanya.

Diambil salah satu tauladan yang patut dikemukakan ialah Orang Melayu dengan suratkhabar-suratkhabar bangsanya. Lebih dahulu biarlah kita ambil ramuan-ramuan yang agak kurang kemas sedikit sebab kita mengerti walaupun bagaimana tinggi pujian kita kepada bangsa sendiri, tetapi jika belum layak disebutkan darjatnya, tentulah akan jadi suatu buah kata mengangkat bakul sendiri, yang dibiasanya perkara yang demikian jarang-jarang boleh diharapkan apa-apa keuntungannya.

Jika ditilik banding akan pergerakan perniagaan Orang Melayu dengan suratkhabar-suratkhabarnya, bolehlah dikatakan separuh bahagian sahaja yang patut disebutkan di dalam aturan kemajuan zaman, dan yang lain itu semata-mata mencuba dengan tidak teguh dan tegak ((alasan perdiriannya hingga kadang-kadang belum cukup umurnya telah digelarkan arwah ((almarhum)) kesilapan yang seperti itu pada zahirnya disebabkan kurang jaya bagi pihak yang mengeluarkannya dan kurang ramai dari pihak yang membantunya.

Kita tidak mengatur rencana ini untuk mencerca atau mengumpat keji atas perusahaan bangsa kita yang diharapi. Sebab kalau bangsa kita sakit dengan tak payah disebutkan. Tentulah kita sama tanggung dan ada kalanya tanggungannya lebih-lebih berat daripada yang terkena azab. Pertama, nama Melayu terkebawah. Kedua, kita sama miskin dan papa, tidak mampu menyokong. Kita tidak mahu sepucuk kalimah yang sedih, "kasihan"!!! bunyinya berganda-ganda atau menarik panas sahaja yang tiada berfaedah sedikit pun sebab kata pepatah, "pertolongan", yang sedikit lebih baik daripada mengeluh berkepanjangan.

Diulang semula apa yang kita akan sebutkan supaya jangan melarat bahtera kalam kita ke tanjung, tak tentu arah semangat suratkhabar-suratkhabar Melayu tidak boleh dan belum boleh di bawah bandingan dengan suratkhabar-suratkhabar bangsa asing, terutama sekali bangsa Inggeris. Sebab suratkhabar bangsa Melayu dibaca oleh Orang Melayu sahaja di Semenanjung dan Pulau Perca. Atau sedikit-sedikit di negeri lain; itu pun peratusnya amat miskin yang suka. Maka inilah satu daripada fasal yang menjadi suatu penyakit kepada kehidupan suratkhabar-suratkhabar Melayu di Semenanjung ini.

Walaupun tiap-tiap pekan atau negeri sedia mengeluarkan akhbar-akhbar untuk menggalakkan kaum bangsanya; kita percaya tidak boleh menarik perasaan mereka seperti bangsa asing; entahlah kalau lagi sepuluh tahun masih juga kedengaran, walau banyak yang sudah pintar-pintar bersekolah, sungutan Orang Melayu mengatakan suratkhabar mahal, lebarnya sedikit dan isinya tak ada yang penting-penting. Adakah Orang Melayu berkehendakan membeli suratkhabar dengan harga yang murah. Banyak lembarannya dengan dihiasi oleh perkhabaran yang ajaib atau artikel yang penting-penting, tetapi mereka tidak mau mencari jalan kemurahan sendirinya.

Hendaklah diingatkan suratkhabar-suratkhabar Melayu menjadi mahal kerana sedikit bilangan ahli langganannya sedikit amat ruangannya digunakan untuk iklan-iklan apa-apa perniagaan dan sedikit sahaja yang tau dan yang mau menulis ke dada akhbar. Apatah lagi kerap kali wakil-wakilnya tidak menyempurnakan amanah dan menunaikan kefardhuannya. Apabila dibandingkan dengan suratkhabar-suratkhabar bangsa Inggeris yang dibaca oleh sekalian bangsa serta disokong oleh berbagai-bagai ahli perniagaan tentulah sekali jauh bezanya.

Bangsa asing yang sudah mengerti faedah suratkhabar sedia mengorbankan wangnya untuk memajukan perniagaan disambil menyokong bangsanya. Kita boleh perhatikan dengan kasar sahaja benda-benda yang diiklankan di tiap station kereta api ... katalah Pulau Pinang, Taiping, Ipoh, Kuala Lumpur dan Singapura; yang mana jadi semuanya pandangan buat menarik hati ahli pembelinya.

Pada hal, berani kita berkata tidak ada satu daripada papan iklan itu yang dipunyai oleh Orang Melayu. Apa sebabnya? Percaya kita Orang Melayu belum mengerti faedah beriklan; dan kalau ada pun cuma dua puluh lima peratus sahaja hingga peluang yang diberi oleh Majlis dengan ruangan "Sahabat Kedai", tidak gunakannya. Cubalah fikir jika tidak kita tolong sama sendiri, adakah orang lain yang akan datang menolongnya?

Ini kali, untuk menyambut hari yang mulia Majlis mengeluarkan bilangan khas atau Special Number, selama ada hayat Majlis mengedar di alam Melayu dan ahli-ahli pembacanya.

Pada hal, bilangan khas yang seperti ini dikeluarkan oleh akhbar-akhbar Inggeris seperti Malayan Tribune, atau Straits Times, pada tiap-tiap sebulan sekali, atau seminggu sekali, yang mengandungi 30, 50 atau 80 muka. Semua semangat mengeluarkan suratkhabar-suratkhabar yang banyak helainya itu terhutang budi kepada pembaca-pembaca dan ahli langganan serta iklannya akan sedar dan bangkit membantu segala perusahaan suratkhabar-suratkhabarnya dengan balas membalas; iaitu Tuan-Tuan yang berniaga, beriklan, kepada suratkhabar-suratkhabar dan suratkhabar-suratkhabar akan membawa kepada pemandangan dan keuntungan daripada segala ahli-ahli pembaca dan langganannya.

Berkenaan dengan kata kita di atas tadi, sedikit orang Melayu yang mau menulis, kita tidak berhajat menggalang Tuan-Tuan penulis yang dihormati yang sedia mengorbankan masa, fikiran dan hartanya untuk membangkitkan kaum dan bangsanya dengan tidak beroleh-oleh apa-apa suatu keuntungan sekadar melatih diri masing-masing.

Kita ucapkan setinggi-tinggi terima kasih, mudah-mudahan Tuan-Tuan akan jadi pujangga-pujangga yang akan memimpin sekalian umat Melayu ke medan kemajuan. Janganlah dihiraukan amat akan tengking herdik atau ejek-ejekkan kaum yang bodoh. Sebab kita sendiri dengar kebanyakan ahli-ahli penulis dibencikan tidak seumpama pemerintahan Inggeris atau bangsa yang sedia dihormatkan oleh kaum mereka kerana dengan rahim penulis-penulislah dapat kita membaca perkhabaran atau apa-apa jua buah fikiran yang berfaedah.

Dan lagi, ada seperkara yang kita ingin hendak kemukakan. Pernah kita dapati di akhbar-akhbar Melayu separuh daripada penulis-penulis yang diharapi menggunakan ruangan akhbar buat bersakit-sakit hati yang patut dipadamkan sama sekali.

Ada juga kalanya disebabkan kekhilafan pengarang-pengarangnya telah tersiar rencana-rencana yang mereka tidak faham tujuannya terus menjadi suatu perbalahan di antara dua pihak, hingga ada pula yang menuntut bila dengan mendatangkan kerugian yang besar kepada penerbit-penerbit. Hatta membawa muat kepada akhbar-akhbar yang diharapkan memimpin kaum bangsanya.

Ingatlah apa yang telah jadi kepada "Bumi Putera" sedikit masa dahulu.

Insaflah Wahai Melayu!!!

Sebelum kita rebahkan kalam, kita ucapkan beribu-ribu syukur dan berbanyak-banyak terima kasih kepada Tuan-Tuan Penerbit dan Pengarang-Pengarang yang bijaksana di sekotah alam Melayu yang telah mengeluarkan suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah baru untuk membantudan mengkhidmatkan kaum bangsanya, yang kita ucapkan selamat menunaikan puasa dan menyambut selamat menyempurnakan Hari Raya Aidil Fitri, kepada sekalian Tuan-Tuan Pembaca dan Tuan-Tuan Penulis.

Serta berbanyak terima kasih kepada Tuan Pengarang akan ruangannya. Sambutlah salam sebangsa dan seugama. Assalamualaikum!

Darul Ehsan. Syawal 1353.