![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 21 Jan 1935, p.5
General Article.
Apa Dia Maju?
Sanya perkataan maju itu suatu kalimah yang mana tak boleh dikatakan mudah kepada tiap-tiap sesuatu manusia yang berakal hendak menjalankannya. Tetapi ialah yang sangat-sangat dipandang berharga dan mulia kepada sekalian bangsa kaum manusia yang bertenaga seumumnya yang mana sementara hidup di dunia ini berkehendaklah ianya kepada aman jalan yang bernama maju itu.
Terkecuali sangat sedikit yang mana tidak berperasaan kepada dirinya itu seorang manusia juga, lantaran kepada sesuatu jalan yang mana boleh dinamakan maju.
Sedang kaum-kaum yang tau pada menggunakan jalan yang bernama maju itu, masih boleh dilihat dengan mata kepala sendiri, masih berlumba-lumba melangkahkan kakinya yang berperasaan ke mana juga jalan yang boleh bernama maju dengan pantasnya walaupun di mana juga adanya, tidak dipilih apa-apa juga. Tetapi asalkan boleh dinamakan maju.
Amboi! Dahsyat! Manakala mendengarkan kaum-kaum manusia yang di sebelah-sebelah Barat sanya manakala hendak memajukan sesuatu tenaganya itu kadang kala sampai-sampai menumpahkan darah dan juga menghilangkan jiwa dari kerana hendak memajukan sesuatu tenaganya sama ada untuk kaum bangsanya ataupun untuk dirinya sahaja, camkanlah!
Dunia bumi Malaya anak negerinya bangsa Melayu tidak juga mau ketinggalan yang mana tumpang menjengahkan mukanya ke mana medan yang bernama maju itu. Tetapi sayang! Sangat sedikit! Itu pun boleh dikatakan hidup segan mati tak mau. Walau apa pun tenaganya yang telah dicuba-cuba, belumlah ada kenampakan yang mana boleh dinamakan maju lain tidak selain daripada terhindar ke belakang. Apakah sebabnya maka boleh percaya demikian?
Oh! Tuan-Tuan Pembaca-pembaca yang budiman lagi bijaksana, telah termaklum penyakitnya di bumi Malaya ini bermacam-macam yang tak patut jadi tanggungannya, yang mana masih terjunam di sanubari anak negerinya dari sekecil-kecil pangkat hingga sebesar-besarnya, kebanyakan telah dihinggapi oleh penyakit yang bernama hasad dengki, khianat, takabur dan riak, menurut sebagaimana taufannya masing-masing; dikecualikan sangat sedikit yang tak mampu mengubatinya penyakit-penyakit yang tersebut itu, percayalah!!
Selagi belum anak negerinya dapat bersama-sama melontarkan penyakit-penyakit yang tersebut itu ke mana di laut kalzum sanya sampai bila pun bumi Malaya anak negerinya tidak merasai kepada sesuatu apa pun yang boleh dinamakan maju, perhatikanlah!
Begitilah juga selagi belum anak negeri bumi Malaya seumumnya bangsa Melayu mengambil insaf kepada apa kaum-kaum yang mengaku dirinya Malayan itu, Cina dan Hindu, yang mana masih dapat dilihat dengan mata kepala sendiri apa yang sudah dimajukan di tempat kita ini?
Pada halnya kaum-kaum yang tersebut itu kedatangannya ke tanahair kita ini kerana menumpangkan nyawanya daripada terdesak hidupnya di negerinya dengan kelaparan manakala sampai ke tempat kita dengan penatnya itu yang ternama bersenang lenang. Pada halnya kita masih sampai kini bersimpang perenang.
Lihat! Kaum-kaum bangsa Malayan, Cina dan Hindu, masih sampai sekarang dengan tidak bersenang hati yang mana tidak lagi mencukupi maju itu sangkakan bermacam-macam hujah dan jumlah yang dikemukakan dengan teriak riuhnya yang mana sangat-sangat membisingkan kepada pemerintah.
Dengan berperisikan ia pun jumlah daripada anaknya juga kepada pemerintah, ataupun tidakkah patut yang ia pun boleh mewarisi hak-hak di bumi Malaya?
Amboi! Begitulah sekali berani penganjur-penganjur itu hendak memajukan kaum bangsa pulak di bumi Malaya ini. Anak negeri bumi Malaya sahaja dipandang umpama sampah, demikianlah adanya. Jika tak salah, sekarang tidakkah lagi kita mengambil insaf?
Wahai kaum bangsaku! Patutlah rasanya dari hari ini kita mulai mengambil sedar bersama-sama janganlah lagi kita suka memimpin fikiran yang lapuk, lantaran dengan fikiran yang kekolotan itulah membawakan bangsa kita kepada air pecah belah, malahan dengan berpecah belah itulah apa-apa tenaga kaum bangsa kita tidak mencapai kepada maju, fikirkanlah!
Begitu juga lebih-lebih tempat kita berharap kepada pembesar-pembesar dan penganjur-penganjur bangsa kita Melayu menyelesaikan untuk kaum bangsanya dengan jalan yang halal pada ugama, baik pun adat. Jauhkanlah daripada memukul cap mohor kepada kaum bangsanya dengan dinamakan kaum itu, kaum ini. Pada hal belum disiasat lagi dengan sehalus-halusnya terlebih dahulu pakai percaya kepada ... yang tidak berdasar kepada kebenaran sekali-kali, akhirnya apa jadi kepada hamba Allah yang berkehendak kepada maju itu?
Tak lain daripada menerima porak peranda dengan meronta hidupnya, perhatikanlah!
Setakat ini fikiran penulis di dalam hal perkataan yang tersalah dan terkasar dipohonlah berbanyak-banyak menuntut maaf daripada pembaca-pembaca yang budiman serta terima kasih kepada Tuan Pengarang kerana ruangannya yang sangat-sangat berharga.
top |