Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 28 Jan 1935, p.7

Editorial.

Perubahan Baru Dengan Tuan Yang Terutama High Commissioner Dan Orang-orang Melayu.

Di dalam ucapannya di Dewan Victoria Institution baru-baru ini, Tuan Yang Terutama Sir Shenton Thomas, Tuan Yang Terutama High Commissioner Negeri-Negeri Melayu telah berkata bahwa kedatangannya ke Tanah Melayu ini berbetulan pada masa perjalanan penulis baru itu sedang mara ke hadapan dan berkata bahwa perjalanan pemerintahannya akan berdasar atas policy itu, bukannya kerajaan Inggeris, tetapi ialah kerana Tuan Yang Terutama itu cenderung ke sebelah asas policy itu.

Policy baru itu berkait dan meliputi serata Tanah Melayu, tetapi yang terbanyaknya ialah bagi Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu, sedang maksudnya sebagaimana yang telah terhurai ialah akan memulangkan setengah daripada kuasa Raja-Raja Melayu Yang Bersekutu, yang telah lucut ke Pejabat Federal Secretarynya itu.

Ada pun ucapan Tuan Yang Terutama tatakala menyebut policy baru itu, sebagaimana yang tersebut di atas, sudah tentu membawa makna dan pengertian yang boleh mengukuhkan kepercayaan orang-orang Melayu kepada kerajaan Inggeris, teristimewa pula jika dibanding kepada pengelolaan kerajaan pada memberi peluang kepada pegawai-pegawai Melayu memegang jawatan-jawatan yang agak tertinggi. Semenjak perubahan baru itu dimulakan, kita yakin bahwa pintu peluang-peluang itu akan terbuka lagi dari setingkat ke setingkat, sehingga tidak akan memberi sebab kepada kita bersungut atau syak kepada peluang yang tersebut.

Begitu pun kita wajib cemburu kalau-kalau kadar pengetahuan yang sampai kepada anak-anak bangsa kita tidak memadai untuk mengelolakan pejabat yang diamanahkan kepadanya.

Ada pun pelajaran Senior Cambridge dengan berlatih satu atau dua tahun di Malay College Kuala Kangsar itu ditakuti umpama besar bahan pada penimpa nisbah jabatannya yang akan dipegangnya seperti ADO, apa lagi DO.

Umumnya, meskipun mudah-mudahan pegawai-pegawai Melayu itu telah mendatangkan riwayat yang menyenangkan semenjak cawangan jabatan pegawai-pegawai Melayu itu dibuka hingga hari ini, tetapi sudah tentu dengan berbagai-bagai kepayahan dan keberatan. Kita tidak runsing jika pegawai-pegawai Melayu itu merasa payah dan berat pada menjalankan pekerjaannya. Tetapi kita takut jika keberatan itu membawa kepada kesudahan kurang cekap yang mana tidak dapat tiada akan mencederakan nama kecekapan dan kelayakan orang-orang Melayu; kerana musuh ((musuh dalam selimut)) orang-orang Melayu itu senantiasa menanti-nanti peluang ini. Sekaligus supaya mereka dapat mencelah, jikalau pun tidak dapat tiada mencelah masuk bekerja, mencelah mencacat pun jadilah.

Salah seorang daripada Member Federal Council sedikit masa dahulu pernah mengesyorkan supaya diadakan satu aturan memberi pelajaran perkara undang-undang kepada pegawai-pegawai Melayu. Dan telah kedengaran pula fikiran-fikiran suratkhabar-suratkhabar tentang perlunya mengadakan sebuah College Pegawai-pegawai Melayu yang akan memegang jawatan memerintah ((Administration)).

Sungguh pun fikiran-fikiran itu hanya mengatakan perlu diadakan sebuah College, tetapi jika fikiran itu tidak didengar sama sekali, sudah tentu alasan-alasan yang lain akan dicari orang. Sehampir-hampir alasan dan sekuat-kuatnya tidak lain lagi dari membawa keterangan menunjukkan pegawai-pegawai Melayu itu kurang cakap pada menjalankan kewajipan sehingga wajib diadakan College.

Barangkali juga akan diketengahkan orang itu dan ini akan jadi dalilnya.

Kita belum berfikir telah sampai masanya diadakan sebuah College, kerana angka anak-anak Melayu yang akan diterima tiap-tiap tahun itu belum melebihi empat orang, begitu pun kita sangat-sangat bersetuju jika pengetahuan mereka itu dapat ditokoh lagi dari pengetahuan-pengetahuan yang telah lalu hingga tak dapat dicacatkan orang.