Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 31 Jan 1935, p.9

General Article.

Pemandangan atas Anak-anak Kampung Tengah, Tengkera, Melaka.

Anak-anak Kampung dengan Pencariannya.

Pencarian anak-anak kampung di sini ialah kebanyakan menjadi saudagar kain dan sedikit sahaja yang memakan gaji, ada juga yang bekerja kuli, tetapi kerja kuli ini ada terlampau sedikit bilangannya melainkan kerja kuli ini dipenuhi oleh bangsa Cina bukannya kerana tidak boleh kerja ialah oleh sebab "Malu" konon dikait kawan-kawan.

Pada hal perut kita kosong. Adakah siapa-siapa yang mengusik itu boleh mengenyangkan kita? Ingatlah sedikit kita perumpamaan Melayu didengar cakap enggang makan buah belulu, dengar cakap orang terjun masuk lubuk. Fahamkanlah makna perumpamaan itu, wahai pemuda-pemudaku yang berhati "Malu"!!!!

Biasanya kita lihat anak-anak kampung ini ((orang yang berjual kain)) itu meninggalkan kampungnya ialah pada 13 haribulan membawa hingga habis bulan pergi berdagang ke Singapura hingga bulan Ramadhan pertengahan barulah mereka balik ke kampung dengan menghabiskan apa-apa yang ada di tangan mereka dengan tidak berkira akan hari belakang lagi. Bila habis wang baru hendak mencari ((inilah satu daripada perkara yang tidak bagus bagi diri ahli-ahli berniaga. Itu pun setengah daripada setengahnya juga!)).

Insaflah sedikit!

Sementara ada baik dijimatnya!

Jangan habiskan seberapa cepat!!! Ingatkanlah!!!

Kanak-kanak di Kampung ini.

Tentang pakaian kanak-kanak kampung ini tampaknya banyak yang bersih, tetapi sedikit sahaja cacatnya, iaitu kanak-kanak di sini ada kurang sopan ((itu pun setengah daripada setengahnya juga)) sebab apa kita berani kata begitu? Ialah kerana kanak-kanak itu tidak mengambil endah atas apa-apa teguran orang-orang tua kampung, walau ibu bapanya sekalipun; dilawannya di hadapan orang ramai.

Kita tidak boleh menyalahkan kanak-kanak itu melainkan kita harap kepada ibu bapa kanak-kanak itu boleh mengajar anak-anaknya dengan berperaturan yang sempurna.

Supaya jangan orang lain kampung atau orang-orang lain negeri datang melawat ke kampung kita mengatakan kanak-kanak di kampung ini terlampau biadabnya. Ingatlah pepatah orang tua-tua sebelum terhantuk baik terngadah, fikirkanlah!!!!

Kanak-kanak di sini ada juga yang selalu kena pukul kerana malas hendak pergi ke sekolah. Asyik dengan permainan sahaja, tidak putus-putus siang dan malam.

Kelakuan Anak-anak Muda di Kampung.

Kita selalu memperhatikan atas kelakuan anak-anak muda di kampung ini iaitu selalu suka berjaga malam-malam hingga pukul 8 malam, kadang-kadang membawa pagi pun ada juga. Di segenap-genap simpang jalan dan segenap-genap tepi pantai dengar membedar sahaja.

Dan ada pula setengahnya itu menjadi "kutu berembun", kata orang Singapura.

Dengan tersorak-sorak di dalam kampung dan di tengah jalan juga, hingga kadang-kadang menjadi susah bagi orang di kampung hendak tidur. Dan yang adanya pula suka mengakah-akah anak-anak perawan bangsa asing yang ada duduk di dalam kampung ini.

Dengan sebab itu kita harap Datuk Penghulu baru kita di kampung ini dan juga ibu bapa anak-anak muda kita ini boleh memberi nasihat pada anak-anak buahnya ((yang muda-muda)) dengan nasihat yang baik supaya jangan mereka itu menghabiskan masa dengan percuma serta pula boleh merosakkan badan sendiri dan membusukkan nama kampung sendiri. Harap kita Datuk Penghulu kita boleh menungkan perkara ini!!! Sama-sama kita dengar apa akan jadi!!!

Membaca Suratkhabar.

Anak-anak kampung di sini tampaknya tidak begitu gemar membaca akhbar-akhbar Melayu. Selain daripada mereka menghabiskan masa berbual di kedai-kedai kopi dan di tepi-tepi pantai sahaja.

Kita tau benar yang Datuk Penghulu baru di kampung ini ialah seorang Penghulu yang suka membaca suratkhabar oleh itu berbesarlah hati kita atas Datuk ini jikalau suka mengajak dan melatihkan anak-anak buahnya bersama membaca akhbar yang dibacanya itu.

Mudah-mudahan apabila selalu-selalu mereka membaca akhbar-akhbar yang di rumah Datuk, tentulah mereka tertarik pula suka berdampingkan kepada bersuratkhabar. Ketika itu barulah kita percaya yang anak-anak kampung ini akan berusaha dengan secukup-cukupnya tenaga di dalam apa-apa pekerjaan dengan tidak sedikit pun mahu menaruh fikiran "Malu" dan ... lagi seperti yang telah-telah lalu masanya.

Diharapkan Datuk boleh permenungkan perkara ini!! Sama-sama kita lihat!!!

Kita harap Datuk Penghulu dan anak-anak kampung ini jangan mengambil kecil hati apa-apa yang telah kita khabarkan di dalam ruangan Majlis yang cemerlang ini. Melainkan kita sedia meminta maaf jikalau ada apa-apa perkataan kita yang agak terkasar bunyinya. Kita ucapkan selamat atas diri Datuk Penghulu baru kita!!!

Kita sudahi dengan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sekalian Tuan-Tuan Pembaca Majlis dan Tuan Pengarang sekali, bil-kashira assalamualaikum!

Dari Anak Kampung. Melaka.

24.1.35.