Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 31 Jan 1935, p.9

General Article.

Kemajuan Anak-anak Melayu Pahang.

Harap Mendapat Pemandangan Dari Ramai.

Dahulu kelmarin suara daripada setengah-setengah suara anak negeri bagi jajahan teluk rantau Pahang boleh berkesal ketiadaan penganjur kaumnya untuk memimpin ke medan kemajuan tamadun sebagaimana di negeri-negeri luar, sekurang-kurangnya tertinggal di belakang suara-suaranya seperti di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan kerana di sana sudah lama ada kaum penganjur seperti bapa atau saudara tua syarikat bekerja-kerja sama atau darihal jimat cermat.

Tetapi di Pahang ditunggu beberapa musim tiada juga zahir, bahkan pernah juga menghantar anak negeri berlatih di dalam hal persyarikatan itu di Kuala Lumpur kira-kira tahun 1927 dan 1922. Tetapi manakala kembalinya anak kandungan itu didapati umat-umat Melayu kita di sebelah sini masih keliaran lagi daripada mendengar syarah-syarah syarikat bekerja-kerja sama itu. Sedikit pun tidak mengena kepada anak negeri yang di luar jawatan atau orang-orang kampung.

Maka oleh kerana tiada nampak gerak geri anak-anak kampung berkehendakan syarikat seumpama itu atau apa-apa penasihat jalan kemajuan sebuah kampung atau mukim anak kemendungan itu pun berundurlah balik ke jawatannya yang lama. Maka dari semenjak itu, tertinggallah anak-anak kampung dengan tiada penasihat dan ahli pensyarahnya di atas jalan kemajuan sesuatu kampung melainkan ada sekali-kali seruan atau terkejut di dalam suratkhabar-suratkhabar di setengah-setengah kampung atau tempat ialah sebagai suara berkehendakan itu ini seolah-olah berteriak seperti anjing menyalak bukit konon.

Tetapi mutiara kemajuan kampung itu tidak juga runtuh!!!

Sekarang! Tahun 1934 sudah lepas dan tahun 1935 telah tiba. Maka tahun inilah tahun boleh dikatakan tahun berbuat sebab adanya pegawai-pegawai syarikat-syarikat bekerja-kerjasama, zahir ke dalam negeri ini.

Maka oleh kezahiran seorang penganjur kebangsaan yang sangat-sangat dicintai oleh orang-orang Melayu di sebelah kita ini. Maka pada fikiran kita sepatutnyalah ketua-ketua kampung menurut dan mempersetujukan apa-apa syarahan dan syor Encik Pegawai-Pegawai Syarikat-Syarikat Bekerja-kerjasama itu; janganlah kiranya pendiam-pendiam kampung hilir dan hulu tiada mengambil hirau atau tidak mengambil berat apa-apa yang disertakan oleh pegawai syarikat sekerja itu. Inilah masa dan ketikanya kita membuka langkah atau membaca alif bangsa asing tanahair di dalam ilmu persyarikatan; seumpama itu pada tiap-tiap mukim atau dusun-dusun Melayu itu.

Kita mencadangkan suatu syarikat yang hendak dinamakan "syarikat" mengelokkan kehidupan orang-orang kampung Melayu ataupun apa juga yang baik namanya bagi mempersetujukan kemahuan dan kesempurnaan kehidupan orang-orang kita kampung itu.

Maka kita telah dapati nasib anak-anak kampung di mana juga kita duduk atau jalan bahwa kehidupan dan peraturan kampung itu tidak begitu kesempurnaan secara orang bertamadun, baik secara pergaulan mahu pun aturan memelihara hidup-hidupan serta berkasihan dan kesihatan kampung.

Oleh kerana itulah tiap-tiap kampung atau mukim eloklah mengadakan suatu syarikat atau persatuan buat membaiki untung nasib anak-anak kampung atau puak dan kaum kita dengan pertolongan dan bantuan pegawai-pegawai syarikat-syarikat bekerja-kerjasama itu. Oleh yang demikian percadangan yang disebut ini ialah permulaan sambut dan syor kepada penganjur syarikat yang baru itu.

Ada pun syor atau percawangan seperti ini patutlah banyak didapati di merata-rata kehidupan atau mukim untuk membantu berkerana kaum kita di kampung-kampung itu yang mana ragu-ragu hatinya hendak mengadakan sesuatu syarikat atau persatuan yang menepati kemahuan dan kesukaan ketua-ketua di dalam sebuah kampung itu. Maka sekarang patutlah kita boleh sedar dengan tiada dipukul gendang raya dekat pintu rumah kita serta jangan ternanti-nanti rezeki datang ke lutut semata-mata sahaja.