![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 21 Apr 1932, p.5
Editorial.
Pintu Ekonomi Negeri-Negeri Melayu.
Tidak tersembunyi lagi bahwa kerajaan kita pada masa ini sedang menentang suatu ekonomi yang barangkali belum pernah dimimpikan atau berkata terus hatta oleh penasihat wang sekalipun.
Jika kita perhatikan jarum terajunya beraja yang menimbang hasil dengan perbelanjaan negeri itu, nescaya kita akan melihat bahwa jarum terajunya sedang cenderung ke sebelah bahana perbelanjaan sahaja. Tak syak lagi ialah kerana hasil negeri telah berkurangan atau tak cukup berat lagi boleh menarik jarum teraju itu naik tentang perenggan bebas. Di sebelah lagi, iaitu bahana perbelanjaan negeri itu belum dapat disusunkan meski kerajaan sedang berkira hendak menguiskan setengah daripada bungkusan perbelanjaan itu keluar supaya bahana perbelanjaan itu ringan sekira-kira boleh direntap oleh bahana hasil yang di sebelah kerana kepada kerajaan itu, bahwa jarum teraju neraca itu sekurang-kurangnya sama tengah selama-lamanya.
Dan sebab itulah kerajaan kita menambah cukai barang-barang masuk negeri supaya bahana hasil itu jangan sampai begitu ringan.
Kita belum berpendapatan tentang menambah berat bahana hasil yang telah nyata susut oleh berkurangan barang-barang masuk dan oleh kejatuhan harga getah dan timah.
Yang keduanya hasil yang terbanyak itu tetapi kita berpendapatan sekiranya kerajaan suka maka tidaklah ada baginya halangan yang mengurangkan pegawai-pegawainya di dalam satu-satu pejabat-pejabat yang sememang berkurangan pekerjaannya daripada ukuran biasa. Tetapi ialah juga mengurangkan kerani-kerani di dalam satu-satu pejabat sekalipun pejabat-pejabat itu tidak berkurangan pekerjaannya dengan syarat hendaklah ditunggangkan pekerjaan itu kepada pegawai-pegawai yang tertinggal dan tidak ada halangan bagi kerajaan itu menambah tempoh atau jam yang biasa atau dengan berterang terus menjadikan tempoh bekerja yang enam jam sahaja itu tujuh jam sehari supaya pekerjaan tujuh orang itu disudahkan dengan enam orang sahaja.
Apabila tempoh bekerja itu ditambah sejam lagi, pada fikiran kita belumlah patut bagi pegawai-pegawai kerajaan itu bersungut kerana saudara-saudara mereka yang bekerja di luar pejabat kerajaan itu biasa bekerja tujuh dan setengahnya hingga delapan jam sehari dengan gaji yang lebih kurang. Dan tidak bertunang dengan pension atau bakshish atau harus memperoleh rumah yang cantik dengan sewa yang murah.
Jika satu pejabat itu menggunakan tujuh kerani, pekerjaan mereka di dalam sehari dikira jam semuanya 42 jam. Jika seorang daripadanya ditolak, tetapi tempoh bekerja telah ditambah sejam lagi. Maka kerani-kerani yang enam orang itu mesti bekerja sehari 42 jam juga, tentulah pekerjaan pejabat itu tidak sekali-kali akan tergendala.
Menilik kepada berkurangan pekerjaan satu-satu pejabat itu diruntun oleh meleset ini, kita berani berkata lebih dalam bahwa pekerjaan tujuh orang kerani itu harus sahaja disempurnakan dengan lima orang. Kecuali barangkali pejabat Mahkamah Polis sahaja.
Bahkan, kita berani berkata lebih dalam lagi bahwa pejabat-pejabat yang menggunakan lima dan enam orang kerani itu harus ditolak seorang daripadanya.
Penolakkan itu janganlah dipandang sebagai aniaya baik pun oleh yang tertolak kerana kehilangan jawatannya mau pun oleh yang tertinggal kerana memikul sedikit keberatan. Tetapi mereka harus memandang yang demikian itu kewajipan mereka sendiri terhadap kepada ekonomi negeri yang mesti menjadi kewajipan di atas semua orang.
Atas bandingan di atas, pejabat yang menolak satu kerani itu jika gaji kerani itu seratus ringgit sahaja, artinya pejabat itu telah mengurangkan belanja pejabatnya seratus ringgit sebulan.
Jika Pejabat Pekerja Raya ((PWD)) itu menggunakan 700 kerani tentu sahaja 100 orang boleh ditolak dengan pension. Dan jika dipukul rata gaji kerani itu $100 seorang, artinya Pejabat Pekerja Raya itu dapat meringankan belanjanya $10,000 sebulan. Apa lagi jika Persekutuan Negeri-Negeri Melayu ini menggunakan kerani 7,000 orang, tentu sahaja kerajaan dapat keinginannya $100,000 sebulan.
Begitulah dikiaskan kepada segala pejabat.
top |