Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 28 Mar 1935, p.6

Editorial.

Satu daripada Kerugian Orang Melayu.

Satu daripada kerugian, kelemahan dan kedaifan kita orang-orang Melayu di dalam percaturan hidup kita kepada kemajuan ialah ketiadaan berat pada memulakan sesuatu pekerjaan yang berat pada waktunya yang mustahak baginya.

Maka di dalam kelemahan dan kedaifan itu selalulah terluput daripada kita beberapa peluang yang besar-besar yang tidak dapat dihasili melainkan apabila dikerjakan dia di dalam masanya yang tertentu baginya.

Bagi tiap-tiap satu perkara atau hal itu ada waktunya yang tertentu baginya. Dan apabila tidak, kita dapati akan dia pada waktu yang tertentu itu nescaya terlucutlah ia daripada kita dan ada pula kalanya kelucutan atau keluputan itu boleh mendatangkan kerugian kepada kita.

Tetapi sebaliknya, adakah kita sedar akan kerugian yang menimpa kita dalam kelalaian kita pada menepati waktu itu pada masanya. Barangkali jawabnya adalah kerugian yang dikatakan itu jaranglah kita ketahui, kerana selalu digodai oleh sifat kelemahan kita untuk melawan iblis-iblis yang merasuk kita supaya lalai itu, iaitu "Nantilah Dahulu" atau "Biarlah Dahulu". Maka oleh kerana ketiadaan perisai pada kita inilah, maka kita selalu tercebur ke dalam lingkungan kehendak iblis-iblis itu.

Mengikut perumpamaan orang-orang American atau Eropah di masa ((waktu)) itu, wang jadi tiap-tiap masa yang terluput daripada kita itu; bermaknalah juga wang duit yang boleh dihitung akan menjadi harta kita sudah dibawa angin.

Pepatah orang-orang Arab mengatakan waktu itu seperti pedang, jikalau tidak engkau tetak akan dia, nescaya ditetaknya engkau itu.

Siapakah suka ditetak oleh pedang, dan siapakah yang sedar bahwa kita siang malam kena tetak dengan tidak sedar sama sekali?

Sekarang kita sedang sibuk menyeru kepada kemajuan, tetapi setakat tau meniru dan tau berperasaan kemajuan sahaja itu, tidak mencukupi untuk meneguhkan perdirian kita.

Sebaliknya, maulah kita terlebih dahulu sertai seruan dan perasaan kita itu dengan amal; dan amal itu pun hendaklah dikerjakan pada waktunya. Sebab jikalau kita kehendaki kemajuan sekarang ini, kita kerjakan setengah abad lagi tentulah tidak boleh kita sampai kepada maksud kita itu.

Sepatutnya, apabila kita kehendaki satu-satu kemajuan dan ilmu kepandaian untuk sepuluh lima belas tahun lagi, maka mulalah kita dari sekarang merintis dan menebas jalannya dan dibekal persediaan dan sebagainya untuk mengejar dan mencapai apa-apa maksud dan cita-cita kita itu.