Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 1 Apr 1935, p.12

Feature Article.

Haluan Kemajuan itu Kepandaian.

Oleh Abdul Majid Salleh al-Latiff.

Separuh Pun Jadilah.

Tiap-tiap negeri orang yang berkemajuan, anak buminya itu mestilah dididik dengan kepandaian yang banyak jalan mereka itu, sebab usaha dan rajin mereka itu belajar, jalan yang mendapatkan kepada pintu pelajaran itu tergenggamlah di tangan tiga orang.

Pertamanya, ahli fikiran, keduanya ahli hartawan, dan ketiga pemerintah negeri. Kalau yang tiga ini ketinggalan memang tak akan jadi, atau jika salah satunya alamat kuranglah juga suburnya, laksana sayur yang ditanam tidak dibela atau dibaja.

Kemajuan sungguh pun luas maknanya, tetapi yang satu jua yang lebih dikehendaki iaitu kepandaian. Kalau kita pandai membuat mata benda pergunaan hari-hari bagi kaum kita tak usah pun semua sekalinya. Tetapi separuh pun jadilah.

Dengan perbuatan yang terbilang sebagaimana yang ada kita selalu ketahui itu, dan kaum kita yang pandai-pandai membuatnya itu tidak pula menghilangkan jerihnya berpuluh-puluh jam kerana mencari keuntungan 10 sen misalnya, barangkali tak akan siap jika dikatakan pada masa itu kita akan gemuk-gemuk kerana putaran wang sudah berjalan setengah daripadanya di sekeliling kita-kita sahaja.

Sekarang satu kerugian pada sisi umat kita; kerugian mana tidak pula kecil-kecil atau yang besar-besar bertambah kecil. Tetapi ialah kerugian itu kelak yang kecil bertambah besar dan yang besar bertambah lagi besar. Mana dia? Nah, cuba kita fikirkan. Sekarang kita katalah kaum kita telah sedar, sekurang-kurangnya mesti bercita-cita supaya anak-anaknya belajar di sekolah itu sekolah ini. Iaitu bagi yang beranak-pinak dan bagi saudara-saudara kita yang muda-muda yang masih di dalam bangku sekolah bercita-cita hendak pass atau lulus dalam ujian yang tinggi-tinggi dan ingin hendak mendapat sijil ((certificate)) besar.

Kemudiannya akan memperoleh pekerjaan yang berpendapatan besar ... dan ... dan ...dan! Tetapi bila berlaku kehendak ini, bila kaum kita telah banyak yang tinggi-tinggi pengetahuannya dan besar-besar gajinya, pada masa itu ke mana pergi gaji besar itu kelak? Kepada siapa dia membeli barang? Kehendak orang bergaji besar memanglah biasanya barang-barang besar pula hendak dibelinya. Oleh itu, semasa itu orang asing juga yang maju pertukangannya dan bertambah besar perusahaannya. Maka orang asing jugalah yang akan gemuk. Tetapi kalau orang-orang Melayu pula sudah pandai, sebagaimana orang-orang asing yang pandai-pandai itu juga, ada haraplah sedikit wang Melayu akan merasa juga ke kantung Melayu balik. Sekalipun tidak semuanya.

Marilah sama-sama fikirkan. Maaf! Was-salam.