![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 1 Apr 1935, p.12
General Article.
Orang Melayu dengan Pekerjaannya.
Kalau diperhatikan tentang anak-anak Melayu ada 70 percent yang biasa berpekerjaan sendiri, tetapi orang-orang dagang terutama Cina ada 90 percent yang ada berpekerjaan. Mana-mana mereka yang tiada bekerja itu ialah yang biasa kita lihat di pekan-pekan dengan membawa sebuah tempurung dan sebatang tongkat datang dari satu pintu ke satu pintu dengan meminta belas kasihan tauke-tauke itu, mencampakkan wang barang satu sen atau nasi sejuk ke dalam pinggannya itu.
Tetapi Orang Melayu mana-mana yang tiada berpekerjaan itu ialah masing-masing dengan menghabiskan masanya menunggu di kedai kopi, berhari-harian atau berjalan ke hulu ke hilir dengan tak tahu apa yang patut hendak dikerjakannya buat keselamatan dirinya.
Pada hal, ada beratus-ratus pekerjaan yang di kelilingnya yang tiada terpandang pada matanya.
Apalah pekerjaan yang nampak olehnya seperti menoreh getah, berkuli di ladang, hendak menjadi peon, kerani, mata-mata dan lain-lain. Pada hal bukannya semuanya mahu dapat pangkat. Jikalau sekiranya satu pekerjaan peon kosong di mana-mana pejabat ada beratus-ratus orang datang meminta pekerjaan itu. Adakah semuanya itu boleh dapat kerja itu? Dia itu semualah yang hendak dibandingnya. Pada hal ada bersepah-sepah lagi pekerjaan yang boleh buat sendiri, sedikit pun tak ingin agaknya.
Cuba lihat kehidupan mereka yang ditinggal di dalam pekan sehinggakan pekerjaan yang sehabis-habis rendah dibuatnya itu pun cukup untuk makannya seperti menampal baju seluar yang sudah kobek, menampal kasut koyak, menjual kayu api, membaiki kuali-kuali masak dan lampu-lampu yang rosak, pada merata-rata kampung itu, semuanya dibuat oleh bangsa Cina jua. Mengapa Orang Melayu tak mahu buat?
Masing-masing gaduhkan duit tak ada, hendak membayar cukai pun tak dapat. Jika ditanya pada dia, mengapa tak mahu buat begitu, katanya, pekerjaan itu rendah, malu mahu buat.
Baiklah, itu pekerjaan hina konon. Ada pekerjaan yang lebih baik daripada itu seperti jadi tukang dobi, tukang cukur, menjual ikan-ikan dan daging di kampung, membuat roti dan lain-lain. Itu pun tak nampak juga olehnya semuanya itu terpulang kepada bangsa-bangsa Cina jua, tetapi kecualinya ada yang sudah buat seperti di pekan-pekan kebanyakan kampung-kampung belum lagi!
Kebanyakan orang-orang kampung yang berwang sedikit ia memerapkan wangnya; tak akan mahu ia bertambah kalau tidak diperniagakan. Maka perniagaan yang ia nampak; kedai kopi berjual barang-barang makanan, urusan dapur, tak nampak olehnya perniagaan yang besar seperti membuat batu bata, masuk share-share kebun atau syarikat yang besar. Kalau dikatakan hal itu padanya, jawabnya ia takut rugi atau haram memakan bunga wang. Jadi segala wang taruhannya itu makin lama makin susut, akhirnya balik miskin.
Dengan sebab itu, jikalau orang Melayu tidak memandang lebih lanjut hal ini, tak tahukan pekerjaan; beginilah kehidupan orang-orang Melayu adanya.
top |