Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 3 Apr 1935, p.9

Editorial.

Di Mana Bekas Kemajuan?

Zaman yang akhir ini orang-orang memerhatikan gerak-gerak kemajuan umat Melayu ialah dari gerak-gerak kemajuan di dalam kampungnya. Tetapi, di manakah bekas kemajuannya? Yang ada terpandang hari ini? itulah satu suluhan yang patut disemah balik.

Oleh Pemuda Melayu.

Umat-umat Melayu yang berhidup di dalam serata-rata ceruk dan kampung di dalam Tanah Melayu, tentu ia akan berasa timbul senyum-senyum dan rupa-rupa kesukaan sahaja bila mendengarkan berita-berita kemajuan dan kejayaan yang diperolehi oleh umat Melayu di satu-satu tempat. Tetapi alangkah hiba hatinya bila mengingatkan yang tampaknya sendiri tidak begitu teratur dan tidak ada apa-apa kemajuan yang boleh disebut dan boleh diketengahkan!

Ruangan Pengarang Majlis 23 September yang lalu adalah memberitakan kemajuan kedai syarikat di dalam wilayah daerah Ulu Langat. Perhatikanlah angka-angka modalnya itu! Siapakah yang mau mengata: bahwa Orang Melayu tidak begitu tahu berniaga. Bahkan sebenar-benarnya hal itu sepatutnya akan memberi sedikit tauladan kepada lain-lain tempat.

Akan tetapi di sini saya mengambil peluang sedikit berkata: kemajuan kedai-kedai syarikat tergantung kepada muafakatnya dan juga kepandaian kerajinan dan keusahaan ketua atau kepala pada siapa-siapa juga yang telah mengambil jerih di dalam tiap-tiap bahagian kemajuan-kemajuan yang patut sangat-sangat dipuji itu!

Itulah sebabnya nampak bekas-bekas usaha mereka-mereka di mana pada hari ini mereka ada berasa riang dan teratur sempurna kehidupannya.

Syabaslah mana-mana kampung yang telah maju itu!

Berbalik pula pemandangan saya kepada suatu rencana "Perusahaan-Perusahaan Kecil Orang-orang Melayu Kampung", satu rencana oleh penulis khas Tanjung Malim dalam Warta Ahad 22 September, ia menceritakan bagaimanakah kesusahan Orang Melayu kampung yang tidak betul urusan kampungnya! Sehingga apa juga jalan-jalan kehidupannya ditali-tali dan diikal-ikalkan sahaja oleh Si Tongsua.

Saya percaya! Ada banyak juga kampung-kampung di dalam negeri ini seperti yang diceritakan oleh penulis khas Tanjung Malim itu, tetapi adakah ketua-ketua di situ ambil hirau? Harap dapat pemerhatian juga!

Cubalah bagi ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kampung mengambil dan mencari sedikit ikhtiar bagi memperbaiki kehidupan anak-anak kampungnya, mudah-mudahan sempat pula membuat bekas-bekas kemajuan seperti mana yang telah ada dan boleh dibuat tauladan itu!

Perkara-perkara yang hendak dan patut dimajukan di dalam sesuatu kampung itu tersangatlah banyak setengah daripadanya bolehlah saya tuliskan:

((Barangkali juga Tuan-Tuan Pembaca lebih tahu!)).

Yang Pertama: memajukan perusahaan lain dari itu,

Memajukan Perniagaan. Mengaturkan Kehidupan. Memajukan Hidup-hidupan.

Dan ada banyak lagi, tak payah saya sebutkan, memadai Tuan-Tuan berfikir sebentar sahaja, nescaya mendapat tahu apa itu kemajuan kampung yang patut diperbuat?

Kalau hendak dihitung-hitung betul-betul, banyaknya kampung Melayu, dengan mana kemajuan yang sudah ada, nescaya kita dapati peransuran itu belum memadai kalau diperhatikan ada banyak lagi kampung-kampung Melayu yang belum teratur!!

Sekarang kita hairan sekali kepada setengah-setengah kampung yang mana saya ada juga mendengar-dengar yang isi-isi kampung itu tahulah Kemajuan; akan tetapi kalau disemah balik kepada apa yang ada di dalam kampungnya, didapati semuanya kosong sahaja. Apalah gunanya tahu berkata-kata yang lemak manis sahaja, tetapi tidak mau beransur dan bergerak?

Kalau didalamkan pemerhatian lagi, tengok pula keadaan orang-orang kampungnya, ceh! Kalau yang besar leka dek besarnya, bilalah masanya kaum kita di kampung yang lemah-lemah itu akan teratur hidupnya!

Sekarang patutlah kita umat Melayu ini sama-sama ingat mengingati. Janganlah setengah-setengah hanya leka dengan kebesaran dan kemegahan diri masing-masing diri masing-masing sahaja. Kalau begitu hal keadaannya, bilalah harinya yang kaum kita berubah coraknya kepada yang lebih sempurna?

Di sini bukan saya tujuan mengejek, tetapi hendak mencari kesempurnaan hal kehidupan Melayu kampung!

Barangkali juga bekas-bekas kemajuan dan cahaya-cahaya kesempurnaan hidup orang kita di kampung itu sudah mendapat sokongan di setengah-setengah tempat! Tetapi tidak berasa tersilap saya katakan belum boleh disaingi kemajuan Tongsua dan Si Manggis itu!

Di sini, besarlah harapan saya kepada Orang Melayu di kampung-kampung serta pengelola-pengelola kampung akan menimbang-nimbangkan sudahkah teratur kehidupan Melayu kampungnya, kalau belum .... Ayuh!!! Segeralah Mulai!!!!

Ada satu fikiran yang ganjil sekali ada di setengah-setengah orang kita, iaitulah di dalam perkara pekan sehari, misalnya pekan sehari di situ tidak bercampur dengan bangsa-bangsa lain. Ada setengah-setengah mengesyorkan elok bercampur dengan bangsa lain daripada sama-sama bangsa sendiri dengan alasan kalau bercampur dengan bangsa lain tentu pekan sehari itu semakin ramai dan semakin maju!

Saya percaya kalau bercampur dengan bangsa lain, umpamanya dibenarkan Cina berniaga di pekan sehari itu, ya -- pekan itu akan ramai. Tetapi ke manakah terpulangnya faedah diadakan pekan sehari itu? Tuan-Tuan Pembaca boleh berfikir.

Satu lagi. Kalau pun tidak dibenarkan bangsa lain berniaga di dalam kawasan pekan sehari, ada bangsa lain cuba-cuba berniaga di luar kawasan itu. Tiba-tiba di sana ramai orang daripada di dalam kawasan pekan sehari itu tampak kaumnya berniaga! Bukankah perbuatan itu akan menumpulkan hati ahli-ahli perniagaan kaum Melayu ...? Walaupun perbuatan masing-masing itu tidak ada larangan, tetapi berfikirlah mengapa dinampakkan benar di hari pekan itu, seolah-olah bencikan perniagaan Melayu.

Kalau begitulah keadaannya, bilakah dan di mana akan timbul bekas kemajuan Melayu?

Was-salam Yang Ikhlas,

Pemuda Melayu, Selatan Malaya.

April 1935.