Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 2 May 1932, p.6

Editorial.

Adakah Lagu; Semenanjung Tanah Melayu bagi Anak-Anak Melayu itu Mengandung Racun?

Tamil Nesan Main Caklempong.

Suratkhabar Keling Tamil Nesan yang terbit di bandar ini juga rupanya telah melompat main caklempong kerana radang atas fikiran-fikiran dan jerit kita menyanyikan lagi kebangsaan kita yang terkarang dari huruf-huruf Semenanjung Tanah Melayu bagi Anak-anak Melayu.

Menurut Lidah Pengarang yang diterjemahkan oleh Daily Express, iaitu suratkhabar Inggeris di bandar ini juga pada 26 April, bahwa Tamil Nesan itu telah dirasuk oleh fikirannya sendiri yang membantai runsing mendengarkan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh orang-orang Melayu zaman ini.

Kita tahu Tamil Nesan itu dan juga lain-lain seumpamanya tak akan suka mendengarkan nyanyi kebangsaan Melayu itu. Tetapi apa boleh buat, kita tak dapat hendak menahan diri kita daripada membanyakkan lagu yang sememang mesti dilagukan oleh orang-orang yang berbangsa kepada satu bangsa dan satu negeri di dalam dunia ini.

Kita tahu juga bahwa segala fikiran kita menolak tuntutan-tuntutan bangsa asing itu mesti dibenci dan dicemburui, tetapi kita tidak dapat menahan diri kita dari menunaikan kewajipan kita.

Katanya, Tamil Nesan, bahwa perkataan kita itu menyalah seperti perkataan kanak-kanak. Kita berkata bahwa sesungguhnya barang siapa yang memandang akan orang-orang yang bekerja membela tanahair dan bangsanya itu kanak-kanak, maka tak syak lagi merekalah yang sebenar kanak-kanak.

Lebih jauh Tamil Nesan berkata yang ia hairan mengapa orang-orang Melayu pada masa ini berubah perasannya kepada bangsa dagang; pada hal orang-orang Melayu itu katanya selamanya baik budi bahasanya.

Maka apakah yang akan dikatakan oleh Tamil Nesan itu, yang baik, baiklah diam. Jikalau bangsa asing meminta masuk ke dalam seluruh alam Melayu, mesti ada lain-lain hak lagi hendaknya Melayu kita tutup mulut sahaja. Itulah yang akan dipercayanya dan akan dikatakan Melayu ini suatu bangsa yang amat baik di dalam dunia dan juga gentlemen.

Lain daripada Tamil Nesan yang petah itu, Melaka Guardian, pula telah mengangkat suaranya dari Melaka, sambil mengemukakan segala jasa bangsa-bangsa dagang itu membuka dan menjadikan negeri ini yang katanya wajib dibalasnya dengan memberikan hak kepada mereka itu atau dengan lain-lain perkataan mesti disamakan dengan hak orang-orang Melayu di dalam negeri.

Tuntutan hak yang semacam itu bukanlah baru, tetapi mempertahankan orang-orang Melayu itu bukanlah daripada suatu perkara yang telah biasa. Bahkan kerajaan berkewajipan memelihara hak-hak orang-orang Melayu selama-lamanya. Maka a yang orang-orang Melayu menjerit pada masa ini, ialah meminta supaya hak mereka dipelihara oleh kerajaan menurut harusnya kerana telah sampai kepada telinga mereka itu bahwa bangsa-bangsa lain sedang menuntut hak!