Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 22 Apr 1935, p.7

Editorial.

Taraf dan Kebesaran Raja-Raja Melayu.

Rakan kita Lembaga Malaya telah menulis di dalam Rencana Pengarangnya, atas menyambung yang berkenaan dengan taraf dan kebesaran Raja-Raja Melayu kita, yang mana katanya mustahak sangat-sangat mendapat pandangan yang berat daripada Orang Melayu daripada apa-apa yang difikirkan menjadi membawa kekurangan kebesaran dan taraf Raja-Raja kita itu. Kita siarkan rencananya dengan penuh di muka 12 keluaran hari ini.

Rakan kita menyatakan bahwa susunan siaran Warta Kerajaan itu dengan mendahulukan lain-lain pegawai-pegawai, kecuali Tuan Yang Terutama High Commissioner, daripada Raja-Raja Melayu itu, suatu peraturan yang boleh dimaknakan oleh orang-orang Melayu dengan kurang adab kepada Raja-Raja Melayu.

Tiap-tiap seorang Raja bagi tiap-tiap Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu ini ialah yang besar dan yang tinggi sekali pangkat serta tarafnya di dalam negerinya sendiri, itu tidak dianggarkan lagi. Dan taraf tiap-tiap seseorang daripadanya di dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu pula sama yang mana tidak boleh dibandingkan atau disamakan dengan taraf lain-lain pegawai-pegawai.

Adapun perkara ini telah terbit daripada suatu siaran Warta Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu berkenaan dengan peraturan menembak bedil selamat dan mengadakan pasukan kawalan kehormatan bagi menghormati Raja-Raja dan pegawai-pegawai kerajaan. Maka Warta Kerajaan itu dengan sengaja atau tidak sahaja telah menyiarkan susunan wartanya dengan menurut tertib:

Tuan Yang Terutama, Tuan Chief Secretary, Pemerintah Besar Tentera Laut dan Darat, Raja-Raja Melayu, Resident dan lain-lain pegawai-pegawai cukup aturannya dengan beberapa pucuk tembak bedil ini seberapa orang kawalan kehormatan baginya.

Warta Kerajaan itu ialah pindaan atau ubahan daripada Warta Kerajaan nombor 30 yang tersiar pada 20 Januari 1897, yang kita tatap dalam buku tahunan 1932 ialah:

Tuan Yang Terutama disambut dengan 17 pucuk meriam dan 50 orang kawalan kehormatan.

Raja-Raja Melayu disambut dengan 17 pucuk meriam dan 50 orang kawalan kehormatan.

Chief Secretary disambut dengan 15 pucuk meriam dan 50 orang kawalan kehormatan.

Pemerintah Besar Tentera Laut dan Darat disambut dengan 50 orang kawalan kehormatan.

Resident disambut dengan 13 pucuk meriam dan 50 orang kawalan kehormatan.

Demikianlah Warta Kerajaan yang telah dimansuhkan itu dan salinan itu menurut aturan kita pula.

Kita tidak berhajat hendak bertanya adakah Warta yang disiarkan itu sudah dipersidangkan lebih dahulu di dalam persidangan satu-satu negeri atau persidangan negeri persekutuan itu.

Tetapi kita tidak menampak mengapa tidak dirundingkan lebih dahulu dengan yang berhak supaya satu-satu yang diperbuat itu tidak melampaui had dan hak satu-satu Raja yang memerintah di dalam negeri masing-masing.

Negeri-Negeri Melayu ini betul terletak di bawah perkawalan kerajaan British dan Tuan Yang Terutama High Commissioner itu wakil kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda King di dalam Negeri-Negeri Melayu ini, tetapi taraf dan kebesaran Raja-Raja Melayu tetap termustahak bagi mereka itu.