![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 25 Apr 1935, p.12
Feature Article.
Mengapa Orang Melayu Lemah Pada Pelajaran Ugamanya.
Salahkah apa yang penulis sebutkan hari ini? Tentulah tidak! Seribu kali tidak! Kerana tentulah telah senantiasa terpandang atas kebenaran apa yang penulis katakan itu. Maka siapakah yang patut atau menanggung kasihan itu; kepada diri sendirikah atau orang lain?
Pada menjawabnya, tentulah masing-masing yang menanggungnya dan apakah sebab mereka itu tidak hendak berhenti daripada melakukan kesalahan itu?
Tentulah kerana mereka itu tiada menguatkan pada pelajaran ugamanya dari asalnya.
Maka segala kesalahan pada membiarkan tiap-tiap seseorang yang tidak menguatkan pelajaran ugamanya dari awalnya itu kepada siapakah mesti ditanggungkan? Pada menjawabnya tentulah terpaksa menggali kepada wajibnya sekali pada hendak meletakkan kemalasan itu.
Sekarang siapakah yang hendak kita salahkan; kepada Raja atau Pemerintah kitakah? Maka tentulah tidak. Kerana mereka itu sekalian tidak sunyi pada mengerahkan dan menyediakan tempat bagi hendak membuat pada yang demikian. Jika demikian, kepada siapakah mesti kita letakkan kesalahan itu, tidak dapat tiada tentulah kepada ibu bapa, kerana mereka semua lemah pada mengerahkan anaknya, pada mengerjakan perbuatan yang seumpama itu dari kecilnya.
Dengan sebab itulah kita dapati beberapa banyak orang-orang Melayu tiada berapa menghiraukan pada pekerjaan ugamanya kerana tiada mendapat latihan dari awalnya.
Dan dengan sebab itu telah jadi suatu kerja pula kepada kerajaan pada memerintah dan menghukumkan mereka-mereka yang tiada menghiraukan pekerjaan ugamanya itu. Tetapi sungguh pun demikian kebanyakan terlalu susah pada hendak membuatnya. Dan jika menurut pun, ialah kerana tak gunakan hukuman sahaja, baiklah sekarang apa kata ibu bapa semua tidaklah juga hendak mengerahkan anak kita pada menujukan haluannya pada pelajaran ugamanya itu?
Dan padakah kita membiarkan ianya pada pelajaran pergunaan di dunia sahaja, pada hal kita telah mengetahui adalah pekerjaan melemahkan anak-anak pada pelajaran ugama itu kelak tertanggung kepada kita juga. Dan lagi, telah diketahui bahwa adalah kerana kerajaan kita yang maha adil pada setiap masa membukakan peluang kepada semua anak negerinya pada meminta pertolongan.
Pada yang demikian itu, tidakkah patut kita semua mesti bermohonan kepadanya jika nampak pada suatu kumpulan kanak-kanak yang banyak itu dengan tiada menaruh seorang guru ugama dan padakah dibiarkan sahaja dengan apa pelajaran yang telah dikurniakan oleh kerajaan gurunya pada mengajar dengan beberapa tahun.
Perkara ini tak gunalah dibincangkan panjang di sini, melainkan penulis serahkan kepada pemandangan ibu bapa dan juga ketua-ketua di tempat-tempat itu yang terutamanya.
top |