![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 27 May 1935, p.5
General Article.
Ingat Sebelum Kena, Jimat Sebelum Habis Mata Pencarian.
Pencarian yang besar sekali orang-orang Melayu negeri ini ialah daripada khazanah tanam-tanaman bagi peladang-peladang, istimewa sekali mereka-mereka yang mempunyai tanam-tanaman yang bermusim-musim keluar khazanahnya. Mereka itu berkehendakan modal kerana bayaran kepada kerajaan belanja menjadikan tanah, upah-upah, harga perkakas-perkakas, seperti pengisar parang, dan sebagainya. Dan bagi belanja makan dan membeli pakaian sebelum dapat khazanah daripada tanah itu.
Kerana fasal-fasal yang tersebut, jarang-jarang sangat ada orang-orang kita bersedia. Oleh itu kerapkalilah kita dapati apakala beras sudah duduk sudah berumbi, ataupun getah berumur sedikit, tetapi belum dapat dipotong, orang-orang kita terpaksa berhutang kerana sudah habis modal.
Lain daripada itu, beberapa perkara boleh berlaku seperti nikah kahwin, kenduri kendara, sakit dan bersalin. Bagi tiap-tiap satu ini semuanya berkehendakan belanja belaka. Pada olehnya barangkali boleh kita berjual ayam itik atau bergadai barang-barang emas mana-mana yang ada, tetapi akhirnya fasal yang berkehendakan wang ini akan melarat sampai harta benda kita boleh jadi terlelong.
Sungguh jua ada setengah orang-orang kita yang berbelanja dengan cukup jimat cermat dan usahanya lebih; tetapi bagi mereka ini pun ada jua kadang-kadang masanya yang mereka itu tiada cukup wang dan berkehendakan pertolongan, sebab kawan-kawannya tiada upaya hendak menolong. Terpaksalah ia pergi meminjam pada chetty dan seumpamanya. Bagi orang-orang di kampung, barangkali dia akan pinjam daripada tauke kedai di dalam kampung itu. Oleh tauke-tauke ini kurang modalnya barangkali ia pun terpaksa pinjam pada orang lain pula. Oleh itu ia terpaksa pinjamkan wang kepada orang-orang kampung dengan bunga yang tinggi ataupun memperbuat perjanjian seperti pajak dan seumpamanya, yang akan menjadi rugi besar bagi orang-orang kampung.
Inilah sebabnya banyak orang-orang kita seumpama peladang-peladang di Kerian dan orang-orang Kebun Baur yang terkena buruan hutang yang payah sangat boleh diselesaikan.
Kita telah lihat yang keadaan orang-orang kita pada masa ini tiada memuaskan hati dan makin setahun makin kurang hartanya. Jika dibiarkan begitu jua akhirnya bertambah mereka itu, benar jua tanah di dalam Malay Reserve tiada boleh dilelong kerana hutang, tetapi hukumannya yang hutang itu akan dibayar jua.
Dan lagi, apakala kita dapat mencari wang masa kesusahan, tentulah perkara ini menjadi susah kepada kita jua.
Oleh itu apakah jalannya yang boleh orang-orang kampung mendapat pertolongan masa susah dan dengan mendapat pertolongan ini tiada pula keadaannya seperti ia mendapat pinjaman daripada chetty dan Cina seperti masa sekarang ini.
Jalannya ialah satu sahaja, iaitu orang-orang kampung itu sendiri mesti menghimpunkan modal yang boleh dipakai masa kesusahan. Adalah wang itu dipunyai orang. Kampung itu jua tidak dapat tiada apakala seseorang itu sesak, kawan-kawannya tau atas kesusahannya dan berapa dengan sebenarnya yang cukup bagi melepaskan desakan itu, dan jua kawan-kawannya tau berapa yang boleh diberi pinjam pada seorang itu, mengikut tarafnya dan berapa yang ia boleh bayar pada sebulan sekali, turun beratur sekali menanam padi.
Dengan hal ini, tiadalah seorang itu mendapat pinjaman lebih daripada yang patut diberi padanya. Ini satu beza yang besar daripada chetty atau Cina sebab pinjam daripada orang-orang ini yang dikira-kira ialah kalau hutang tiada dibayar, adakah hartanya mencukupi apabila dilelong.
Maka jalan yang boleh orang-orang kampung menghimpunkan modal yang tersebut di atas tadi ialah dengan mendirikan syarikat kampung bekerja-kerjasama kerana mengadakan kumpulan wang kampung. Masa makmur ahli-ahlinya sekalian boleh menyimpan wang di dalam syarikat itu. Dan pada masa kesusahan, ia boleh meminjam wang mengikut tarafnya masing-masing. Atau pun jika ia ada wang simpanan khas, di dalam syarikat itu, wang itu boleh dikembalikan kepadanya mengikut pergunaan yang ditentukannya bagi wang simpanannya itu bagi modal; kerana pinjaman ialah wang yuran bahagian yang tiap-tiap ahli itu akan dikehendaki membayar iaitu mengikut bilangan bahagian yang diambilnya yang berharga $100 atau $60 satu bahagian, dan akan dibayar $10 atau $5 setahun di dalam tempoh 10 tahun ataupun dengan peraturan lain yang munasabah.
Sekiranya sesuatu syarikat itu dijalankan dengan taatnya, mengikut peraturan tentulah akan menjadi pertolongan besar pada orang-orang kita bagaimana syarikat-syarikat ini telah memberi pertolongan pada peladang-peladang di seluruh dunia ini.
Sekiranya tiada kita berikhtiar mengadakan pertolongan bagi diri kita sendiri, tentulah kita terpaksa meminta pertolongan orang-orang bangsa lain. Jika begini tentulah harta benda kita akhirnya akan terpulang kepada bangsa lain seperti yang berlaku pada masa ini. Kalau kita sayang akan harta benda kita dan tanahair kita, terpaksalah kita jangan bertangguh lagi menghimpunkan modal bagi pergunaan kita sendiri pada masa kesusahan, jalannya ialah bersyarikat.
Jika berkehendakan keterangan lagi atas peraturan mendirikan syarikat ini, silalah bertanya pada pegawai-pegawai syarikat di dalam jajahan masing-masing adanya.
top |