Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 6 Jun 1935, p.4

General Article.

Kasihkan Bangsa dan Tanahair Sudah Biasa Didengar.

Perkataan ini sudah biasa benar kita pembaca-pembaca mendengarnya dalam suratkhabar-suratkhabar sejak dari sudah bertahun-tahun dahulu lagi. Maka sekarang masih disebut-sebut betapa cara semestinya hidup berkaum berbangsa dan bertanah air itu. Macam-macam buah fikiran terjangka-jangka kita yang sudah dikeluarkan, tetapi jika barang jualan sudah penat si penjual menunjukkan contoh-contoh jualan belum juga laku-lakunya lagi.

Dalam seratus kalau-kalaulah laku satu atau dua macam yang lain percuma membuat letih sahaja.

Siapakah orang-orang berperasaan hendakkan keselamatan dan persebutan kaumnya tidak merasa sebagai mengeluh di dalam fikirannya? Sebanyak itu buah-buah yang lazat itu sudah diserakkan oleh kaum yang tidak menghiraukan tolong penat dan duitnya terbang kerana menghormati kaumnya dengan jalan suratkhabar-suratkhabar, walhasil percuma sahaja, "Emas Habis Palembang Tak Alah".

Sekarang marilah kita peliharakan pencelikan mata kita mendapatkan ke sisi kaum atas cawangan pergerakan kita di zaman ini. Apa yakinnya yang sudah didapati selama penerbitan suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah Melayu sudah banyak di Semenanjung ini. Bagi pandangan saya seorang cumanya satu perkara sahaja. Itu pun sebutan-sebutan jua, yang lebihnya di hati belum begitu rapi lagi. Iaitulah di tentang memajukan perniagaan kebangsaan. Sudah biasa kita dengar anak-anak Melayu yang muda-muda berkata "Dimajukan Perusahaan Kaum". Tetapi betul-betul mahu kepada kemajuan kaumnya itu. Dan yang separuh lagi cuma cakap sahajalah, itu pun jadi jugalah dahulu?

Akan halnya, perkara kasihkan kaum bangsa sendiri dan tanahair sendiri dan yang sebenar-benarnya itu belum bayang sedikit pun lagi masih jauh panggang dari api.

Bukan kita tidak tahu, bukan kerana tidak ada tempat yang hendak ditauladan, bukan tidak memandang dan bukan tidak mendengar; bahkan kebanyakan pemuda-pemuda kita sekarang sudah terpelajar itu, satu alamat yang lebih terang mengatakan yang kita mesti sudah tahu serba sebagainya pergerakan orang. Tetapi apakah sebabnya kita belum boleh bergerak dan belum tahu memilih apa yang baik akan dipakai dan atau pun buruk yang akan dibuang.

Supaya semangat Melayu besar dan supaya kaum Melayu lebih-lebih terselamat hidupnya.

Yang ianya kemahuan belum begitu pun lekat di hati sanubari anak-anak Melayu tersebab oleh pergerakan cara semula jadi yang macam-macam rupa dan gaya semata-mata jalan bertopi-topi itu belum dapat dimusnahkan dari batang tubuh orang kita sedikit jua lepaskan pohon sudah bertunjang yang panjang sekali dan banyak berjeratan akar-akarnya di dalam tanah menyebabkan tanah itu payah jadi baik bagi tanaman baru.

Sekianlah minta difikirkan bersama.

Salam Hormat Dari Saya.

Si Buyung Kini.