Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 10 Jun 1935, p.9

General Article.

Keburukan Kedai-Kedai Orang Melayu.

Di Kampung-Kampung dan di Bandar-Bandar Kecil.

Lebih dahulu tentulah pembaca telah faham apa itu kedai Melayu! iaitulah kedai Orang Melayu yang berjual segala macam perkakas dapur keperluan hari-hari yang dipunyai oleh Orang Melayu dengan keseorangan dan bersyarikat yang mana pengharapan itu Orang Melayu juga akan banyak serta bersatu hati membeli ke kedai Melayu yang telah dilihat kesiapan di kedai Melayu itu serupa juga dengan keadaan kesiapan di kedai Cina sekadar babi panggang, ayam panggang, dan itik panggang; iaitu secara kedai-kedai orang Cina yang kita Melayu telah melihat dengan mata kepalanya sendiri yang tiada berkehendak disiapkan di kedai Orang Melayu.

Dengan bertatih Orang Melayu sudahlah mengadakan kedai-kedai untuk kaum bangsanya dengan keadaan mengikut taraf modalnya melihat kepada gayanya ada harapan yang kedai Orang Melayu akan bertambah-tambah majunya; apatah lagi jika penghulu-penghulu sesuatu mukim dan ketua-ketua kampungnya orang bijak dan mempunyai pengetahuan dan sedikit usaha, munasabah di atas perkara kemajuan Melayu tidak seperti setengah daripada setengahnya, yang telah dilihat penghulu-penghulu itu menghabiskan masa dengan berjual-jual dan berborak-borak sahaja mencakapkan perkara-perkara yang telah lepas di tangan dan telah hilang dari mata.

Maka sekarang ini saya hadapkan rencana ini kepada saudara-saudara saya yang jadi kaki tangan sebuah kedai itu. Patutlah mereka itu ramah mesra mulutnya kepada murid-muridnya yang berhajat hendak membeli ke kedainya. Jangan sekali dua kali mereka yang hendak membeli itu memanggil kerana berkehendak sesuatu barang buat-buat atau tak ambil tahu sahaja, leka di dalam bekerja bercerita perkara yang lain.

Dengan keadaan ini menjadikan tumpul hati kita Orang Melayu masuk menjengah ke dalam kedainya ((bangsanya)). Pada hal, tiap-tiap pelayan kedai itu, maulah ia cergas dan pintar. Pakaian pelayan itu hendaklah bersih dan kemas, jangan sekali-kali diambil pelayan kedai itu orang baru lepas sakit atau demam atau orang yang buncit perutnya.

Kerana kepada kedai-kedai yang begini keadaannya selalu kedai itu tak maju dan lembab. Kemajuan dan kecantikan kedai itu ialah pada mereka-mereka yang jadi pelayannya. Ikan-ikan kering yang di dalam tempatnya itu hendaklah dua tiga hari sekali dijemur, jangan dibiarkan sahaja, hinggakan telah keluar air garamnya menjadikan lembab dan basah sahaja. Tempat gulanya penuh dengan semut berkeliling.

Bukankah boleh disapukan tatakala semut pada gula itu? Dan jika ada mempunyai satu dua almari barang-barang yang berisi di dalamnya dan jadi perhiasan, patutlah barang-barang yang di dalam almari itu selalu teratur dan diubah-ubah bangunannya; kerana maka dengan peraturannya bolehlah menambahkan seri kedai itu. Tetapi telah banyak juga kita pergi melihat dan memperhatikan kedai-kedai bangsa kita di dalam bandar-bandar kecil dan kampung, apa yang kita jumpai; tak lain ialah barang-barang jualannya tidak beratur, ikan keringnya tak pernah dijemur, biar seekor sekali pun tak pernah bergosok seperti yang selalu dibuat oleh orang Cina kerana membuang selaput garamnya dan ulat-ulat ikan kering itu tak pernah berkesat. Tiba-tibakan kotor dan moyok sahaja. Dan juga pelayannya tidak pantas selalu dijumpai lewa dan lembab sahaja.

Maka diharap kepada ahli pekedai orang Melayu itu hendaklah ia memerhati dan mencontoh bagaimana ahli pelayan kedai Cina itu ringan-ringan tulangnya dan badannya, bahkan boleh disaksikan pada kedai, orang Cina yang malas dan tiada cergas. Tambahan pula barang-barang jualannya jarang-jarang dijemur dan dibersihkannya, tak siapa pun yang suka hendak membeli dan masuk ke dalam itu.

Bahwa maka inilah satu daripadanya rahsia-rahsia ahli pekedai akan mengambil pengajaran dengan fikirannya sendiri. Kita berharap dan berdoa mudah-mudahan kedai-kedai Melayu yang telah zahir di merata-rata Malaya dan ceruk kampung Melayu itu, patutlah mengambil sempena dan misal bagaimana supaya boleh jadi kemas dan tertarik hati-hati kaum bangsanya datang membeli ke kedainya dengan tak payah berkehendakan nasihat-nasihat dan pujuk-pujuk lagi.

Sahabat.