Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 16 May 1932, p.5

Surat Kiriman.

Perniagaan Melayu.

Ke hadrat al-Mukarram Tuan Pengarang,

Majlis yang budiman,

Dengan sepenuh-penuh harapan saya kepada Tuan, rendah gunung tinggi harapan, supaya Tuan bermurah hati kiranya menerangkan dengan seterang-terangnya seperti yang berikut di bawah ini. Mudah-mudahan berfaedah di atas bangsa kita Melayu dan begitulah jua bagi Tuan-Tuan yang berperasaan akan kemajuan Melayu dan yang kasih sayang akan kaum bangsa dan tanahairnya. Supaya bersama-sama menerangkan hal ini kerana termaklum di sisi kita sekalian, iaitu perniagaan kita Melayu sangat-sangatlah kekurangan di dalam kumpulan kita masa ini.

1. Apakah sebab-sebabnya jadi sangat kekurangan perniagaan bangsa kita dalam masa ini?

2. Apakah kegunaan atas tiap-tiap orang yang berniaga itu?

3. Siapakah yang lain lagi patut mengadakan perniagaan itu?

4. Apa-apakah syarat atas orang yang berniaga itu? Sudilah Tuan Pengarang menerangkan dengan sehabis-habis terangnya atas perkara ini.

5. Bagaimanakah hendak memajukan sesuatu perniagaan itu.

Had inilah saya maklumkan menuntut maaf kepada Tuan-Tuan Pembaca yang arifin atas kekhilafan dalam tulisan saya ini serta terima kasih yang berganda-ganda kepada Tuan Pengarang kerana kesudiannya atas memenuhi sekalian permohonan saya, apa lagi kerana ruangan yang sangat-sangat berharga masa ini. Was-salam.

Dengan Ikhlas Dari Yang Rendah.

Alias.