Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 27 Jun 1935, p.12

General Article.

Sebab-Sebab Keburukan Kedai-Kedai Melayu Di Bandar Kecil dan di Kampung-Kampung.

Oleh Jasin.

Apakala saya telah membaca Majlis Bilangan 353 muka 9, saya telah jumpa suatu karangan yang berkepalakan, "Keburukan Kedai-Kedai Melayu" di bandar-bandar kecil dan di kampung-kampung dengan bertanda tangan "Sahabat". Jika saya perhatikan betul-betul perkataan itu mengertilah saya sememang membawa kepada kebaikan.

Tetapi sebaliknya pula, perkataan itu memang memukul kepalanya kerana apa? Ianyalah pekerjaan berkedai itu bukannya senang; cubalah Tuan yang bertanda tangan "Sahabat" pula mengadakan sepintu rumah kedai cukup dengan perkakas dapur dan sebagainya.

Kemudian cubalah Tuan Sahabat tengok barang sebulan dua buat menjalankan perniagaan itu. Kemudian, apa rasanya senang atau payah, barulah Tuan Sahabat tau bagaimana kesusahan dan bagaimana kesenangannya.

Dan jua Tuan Sahabat berkata menyebabkan orang-orang pembeli tak suka datang ke kedai Melayu buat membeli barang-barang disebabkan oleh penjaganya tak peramah dan tak sikap pekerjaannya dan tak bersih pakaiannya. Tambahan pula, tak kemas peraturan bangunannya. Maklumlah orang M.E.L.A.Y.U. Tuan Sahabat sama taulah keadaan di kampung atau di bandar-bandar kecil, jika penjaganya kedai itu bersih cergas tampaknya, terkadang-kadang boleh mendatangkan segan pula orang datang membeli ke kedai itu.

Dikatakannya pula penjaga kedai itu tinggi hidung atau macam kerani-kerani, maklumlah dalam kampung berbagai percakapan orang-orang kampung yang keluar dari mulutnya masing-masing, disebabkan ada perasaannya begitu, jangan kita samakan gula putih dengan garam halus!!!

Cubalah Tuan Sahabat fikirkan lebih dahulu siapa tak mahu hendak melakukan baranganya. Siapa tak mau hendak mengelokkan barangan. Dan siapa tak mau menyuruh orang datang ke kedainya?

Tentu sekali tidak bagi diri saya, khasnya dan kami sekalian yang berkedai amnya, tentu sekali tidak semacam yang tersebut di atas ini, tentu lain ialah yang kesukaan orang berkedai itu. Banyak orang datang ke kedainya, elok aturan barangnya dan bersih pakaiannya.

Sama taulah barang-barangnya sendiri bagaimana kita membeli barang kita, begitulah dia membeli barangnya, tak gunalah kita mencicir-cicir lagi.

Saya sendiri telah mencuba hal berkedai ini, bukan saya pandai bercakap sahaja, tetapi malahan, saya telah cuba lebih dahulu. Barangkali jua Tuan bertanda tangan Sahabat belum lagi mencuba hal berkedai itu. Sebab itu, Tuan Sahabat berani bercakap di ruangan Majlis yang permai ini, tampaknya serupa jugalah Tuan dengan burung tiong, cakap sahaja tak membuatnya, tak tau, maaf!!!

Barangkali jua Tuan sudah lupa karangan burung tiong tempoh hari, baik Tuan ingati semula. Jangan disebabkan Tuan, penulis yang lain nanti terkena miangnya. Fikirkanlah!

Tiap-tiap kedai Melayu kampung atau di bandar kecil itu betapa jua kedai syarikat atau sendiri boleh menjadi barangnya tidak kemas.

Yang pertama, penjaga itu tidak ada pelajaran, maklumlah orang tua sahaja yang ada menjaganya sebuah-sebuah kedai itu.

Yang kedua, si pembeli tak ada datang, biarlah kedai itu penjaganya bersih dan sikap badannya dan barangannya elok teratur. Tetapi si pembeli itu mau jua datang membeli ke kedai lain bangsa, kenapa agaknya separuhnya pula kedai itu bersyarikat membuatnya. Kemudian apabila telah terdiri datanglah dia membeli sekali dua, lepas itu langsung tak datang-datang lagi. Ini pun di mana pula salahnya, bukan sebab apa!

Sebab-sebabnya ialah orang-orang kampung itu belum lagi sekata, bukannya salah penjaganya. Cubalah Tuan Sahabat fikir lebih lanjut lagi jadinya disebabkan tak datang membeli ke kedai yang sebangsa dengannya; langsunglah barang-barang kedai bangsa kita berulat, bercendawan, disebabkan jemu hendak membetulkannya, sama taulah kita Orang Melayu kebanyakan hati seorang menaruh bosan sahaja apa kata si penjaganya elok barang kita peramah kita murah jualan pun tak juga datang. Malahan, dekat Cina juga yang banyak membeli, sudahlah kawan yang berkedai itu barangnya busuk, berulat dengan serta rugi sampai masanya hingga melarat-larat pula ke dalam akhbar.

Bagi diberi saya khasnya, dan kami yang berkedai amnya belum rasanya kami berharap sangat kepada nasihat yang semacam itu. Kerana nasihat yang semacam itu sememang sudah terpaku di dalam hati kami yang berkedai kesemuanya. Bukannya pula kami ahli-ahli berkedai tidak mau menerima nasihat daripada orang yang berfikiran tinggi, tentu sekali mau ialah nasihat yang mana nasihat yang lebih penting dan berguna dari ini.

Serta jua Tuan Sahabat gaduh tentang pelayan kedai-kedai Melayu itu tidak ramah dan kencang sebagaimana pelayan-pelayan yang di kedai-kedai lain. Itu pun Tuan Sahabat boleh perhatikan yang kedai Cina itu siapakah yang banyak jadi pelayannya; orang muda atau orang tua? Cuba Tuan bandingkan dengan kedai Melayu orang muda atau orang tua banyak di situ? Agaknya kita boleh tau.

Tentang itu, pandangan saya tentulah yang di kedai Cina itu orang muda yang banyak pelayannya, kerana orang muda-muda itu boleh ia mengeluarkan cakap gurau sendanya seperti bangsa lain itu tak berapa suka kerana satu maruah yang jatuh atas dirinya dengan jalan itu orang kita Melayu tak tau yang mulut kita disuapnya dengan pisang buntut kita dikait dengan duri, hinggakan Tuan Sahabat yang ada perasaan pernah mahu juga mengambil misal kepada Cina betapa lagi orang-orang kampung yang tak ada berperasaan.

Jikalau seorang itu suka mengambil contoh di kedai-kedai Cina menunjukkan diri kita suka berjual beli dengan Cina. Jika sekiranya bangsa kita itu tidak elok peraturannya, atau lainnnya. Janganlah kita mengambil contoh daripada Cina juga lagi. Hendaklah kita mengambil contoh dengan bangsa kita sendiri yang telah beransur-ansur sedikit-sedikit tentang hal perniagaan atau lainnya, sebabkan bangsa Cina atau lain itu tak guna kita sebut lagi kerana orang-orang itu sudah tetap.

Saya sendiri meminta sangat-sangat kepada kaum bangsaku Melayu yang muda-muda, cubalah masuk berniaga baik dengan modal sendiri atau dengan makan gaji sekalipun, kerana kita muda sememang ada pelajaran yang dibawa daripada lepas sekolah tempoh hari, kerana berniaga itu satu pekerjaan yang patut kita tidak tinggalkan hinggakan Nabi kita pada masa dahulu pun berniaga juga, betapa lagi kita?

Disudahi dengan berbanyak maaf dan ampun kepada Tuan Sahabat atas perkataan saya yang terlanjur lebih-lebih pula lagi kepada Tuan Pengarang Majlis kerana ruangannya.

Salam dan Hormat. 20 Jun, Selangor.