![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 8 Jul 1935, p.9
General Article.
Pemandangan di atas Pencarian Anak-anak Melayu di Kampung Ulu Yam Baru.
Keuntungan yang bilangannya hingga berpuluh-puluh ringgit kerana menggunting rambut pada tiap-tiap bulan itu semata-mata terpulang kepada bangsa orang yang berkulit hitam ((Keling)) sahaja. Dan kepada loh po Cina!
Pada penglihatan penulis, di Kampung Ulu Yam Baru ini ada orang yang pandai menggunting rambut mengikut modern fashion sekarang ini. Tetapi kepandaiannya itu masih disorok-sorokkannya lagi, tidak mahu dizahirkan. Kemudian yang beramai ada tak ada keluarkannya seminggu sekali sahaja, iaitu hari Jumaat, kerana menggunting budak-budak dan mencukur Pak Haji -- Pak Haji, seperti Pak Lebai Pak Lebai di Balai Masjid itu, oleh sebab hendak Sembahyang Jumaat.
Pada pemandangan penulis, tukang gunting Melayu ini samalah juga kepandaiannya dengan tukang gunting Cina dan Keling itu tak ada apa bezanya. Dan perkakasannya pun sama juga banyaknya dengan perkakas tukang gunting bangsanya yang lain itu.
Jika sekiranya si tukang gunting Melayu ini ia berani keluar di pekan Ulu Yam Baru, cari suatu tempat yang lapang dan sediakan perkakas-perkakasnya sekali dengan modal yang murah sedikit seperti cermin besar, kerusi tempat duduk masa bergunting rambut, dan lain-lainnya.
Pada agaknya penulis, tentulah sekali orang-orang Melayu di Ulu Yam Baru banyak yang pergi menggunting rambutnya kepada bangsa sendiri tidak mahu pergi menggunting rambut lagi pada bangsa lain itu. Hal ini bersama-samalah kita berharap mudah-mudahan tak lama lagi dapatlah kita menjenguk sebuah kedai gunting rambut kepunyaan Orang Melayu sendiri di Pekan Ulu Yam Baru ini.
Pada masa sekarang telah genaplah masanya bagi mengeluarkan buah peti di Ulu Yam Baru. Diharapi pekerjaan mengeluarkan buah peti dari hutan-hutan Ulu Yam Baru itu semuanya terpulang kepada anak-anak Melayu sahaja. Dan anak-anak Melayu sendiri bawa jual di merata-rata Pekan-Pekan Mingguan dan Pekan Jumaat itu. Janganlah dibebaskan kepada bangsa lain. Mudah-mudahan keuntungan yang beringgit-ringgit pada tiap-tiap hari itu diharapi anak-anak Melayu sahajalah yang boleh memasukkan ke dalam poket bajunya.
top |