![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 15 Jul 1935, p.4
General Article.
Kandungan Suratkhabar Kita.
Kalau tak salah ingatan saya telah lebih daripada sekali yang suratkhabar kita di sebelah sini telah diusik oleh salah satunya suratkhabar saudara kita yang di sebelah Indonesia sana. Tetapi usikannya itu bukanlah pula kerana menghinakan, hanya yang sebenarnya ialah cubitan menghinakan hanya yang sebenarnya ialah cubitan kasih daripada saudara kepada saudaranya, supaya saudaranya ini sedar, bangun, berjalan dengan langkah yang lebih tangkas, pergerakan yang lebih bererti, dan perjalanan yang lebih maju bagi memimpin kaum bangsa ke medan keselamatan hidup.
Dan lagi, di dalam cubitannya itu, telah sempat pula ia memberi suatu misal perbandingan dengan katanya: adapun suratkhabar itu bolehlah diumpamakan sebagai thermometer umah, apabila kita hendak mengetahui darjah kemajuan sesuatu umat tiliklah kepada kandungan suratkhabarnya.
Sungguh pun barangkali ada jua benarnya misal perbandingan saudara kita itu, tetapi hendaklah jangan kita lupai bahwa bagi kita di sebelah sini tidak semuanya daripada penganjur-penganjur kaum dan pemimpin-pemimpin bangsa dan orang-orang bijak pandai kita yang menghalakan hujung penanya keruangan suratkhabar-suratkhabar seperti keadaan di sebelah Indonesia sanya, hanya kebanyakan daripada penganjur-penganjur dan pemimpin-pemimpin dan orang-orang pandai kita di sini menghalakan ia segala usaha tenaganya untuk practice bukannya theory, sebab itu tidaklah akan nampak bayang kelebihannya. Lamun ditilik di celah-celah suratkhabar sahaja.
Meskipun begitu tetapi tidaklah pula termasuk ke dalam jumlah patut kita membiarkan keadaan suratkhabar itu kekal pada darjatnya sekarang, walaupun practice itu terlebih awali daripada theory, tambahan pula keadaan tiap-tiap sesuatu itu mesti ia mara dan maju mengikut undang-undang kejadian alam dan menurut kehendak masa dan kemahuan zaman kemaraan daripada kecil kepada besar, daripada rendah kepada tinggi dan, dan sebagainya itu memang jalan yang akan ditempuh oleh tiap-tiap suatu.
Sebab itu suratkhabar kita wajiblah ia akan menempuh dan melalui jalan itu ((dengan tak payah diusik lagi)), asalkan ia akan melembabkan jua angin di alam Melayu ini.
Meninggikan darjat suratkhabar itu ialah suatu perkara yang hanya bergantung kepada pengarang dan penulis-penulisnya. Jika penulis-penulis itu dapat membekalkan dengan perkhabaran, seruan-seruan, makalah-makalah, yang elok, berguna, berfaedah, untuk mengasah otak dan mencapai fikiran, maka terpandanglah tinggi darjat suratkhabar itu demikian jua sebaliknya. Wal-hal, di tangan penulis-penulis itulah terletaknya elok buruknya tinggi rendahnya darjat suratkhabar itu.
Baik perkhabaran-perkhabaran maupun makalah-makalah yang ringkas lagi kemas serta dengan terang maksud dan tepat tujuannya yang segera-segera dapat menarik kesukaan pembaca kerana di dalamnya tersulam beberapa pendapatan, pengetahuan, pengenalan dan pengalaman. Itulah yang seelok-eloknya perhiasan yang membawa naik tinggi darjat suratkhabar dianjur itulah dia seelok-eloknya hadiah daripada penulis itu kepada kaum bangsanya.
Akan tetapi jika perkhabaran yang mengandungi balik-balik perkara itu juga lagi-lagi, hal itu jua dan itu jua lagi, tentulah akan menjemukan selera pembaca dan jua ialah yang merusun turun darjat suratkhabar pada pandangan orang. Tidak itu sahaja penyakitnya malah menjangkit kepada kaum bangsa kita sama sekali. Betapa tidak! Lihatlah! Jika suratkhabar itu kita-kita sahaja yang membacanya, dapatlah kita bezakan ini karangan si Zaid, bagus isinya, manis susunan katanya, elok dan berfaedah tujuannya. Dan ini karangannya si Omar umpamanya, oh ini basi sahaja. Tiada apa-apa pun tujuannya selain dari merepek. Bukankah dapat kita membezakannya. Tetapi apabila suratkhabar itu melayang keluar dari Tanah Melayu ini bila dibaca orang lain, tidaklah dikenalnya akan si Zaid dan si Omar itu hanya diburuknya sahaja dengan perkataan singkat inilah baru rupanya keadaan. Fikiran dan pengalaman orang-orang di Tanah Melayu darihal bersuratkhabar dan dari celah itulah dipandangnya darjat kemajuan kita yang mana dari celah-celah itu tentu tidak akan tertampak olehnya kemajuan yang telah dijayakan oleh penganjur dan orang-orang pandai kita yang telah berusaha bersungguh-sungguh itu, hanya dikelihatankannya semua sekali bangsa kita belum mengetahui makna kemajuan.
Seperkara lagi, pada pendapatan saya penyakit suratkhabar selalu didapati makalah-makalah di dalam suratkhabar yang berseru mengatakan dengan cacisan yang penulis-penulis itu hanya pandai berseru-seru suruh mahu buat itu, buat ini sahaja. Bercakap sahaja apa susahnya, cuba buat!
Dan lain lagi perkataan yang seumpama itu, perkataan yang semacam ini tidaklah ubahnya sebagai racun kepada kemajuan suratkhabar. Pada hal penulis itu agaknya memikirkan tulisan itu, jadi itu penawar atau pemberangsang, tidak! Tidak! Sebab itu eloklah agaknya kita ulang-kaji kita tentang ini.
Pertama. Adapun kewajipan suratkhabar itu ialah untuk memberi ingat bagi yang lupa menunjukkan jalan kepada yang sesat, memberi petunjuk kepada yang tiada tahu, memberi fikiran atas sesuatu perkara untuk kebajikan kaum bangsa. Maka sekali-kali tidaklah kewajipan orang suratkhabar itu membuat apa yang diserukannya, hanya kewajipannya berseru sahaja.
Kedua. Cacian seumpama itu nyata sekali akan melemahkan perasaan penulis-penulis pada berusaha lagi mencari jalan untuk mengingatkan kaum bangsanya kerana perusahaannya itu tidak dihargai orang dan telah mendatangkan cacian kepadanya ganti terima kasih.
Ketiga. Jika seruan-seruan yang menyuruh maju itu dicaci, adakah agaknya tujuan pencaci itu supaya penulis-penulis itu menyeru umat menyuruh mundur ke belakang kepada masa 30 tahun dahulu, yang demikian jadilah makna perbuatan pencaci itu menyuruh berhentikan segala suratkhabar-suratkhabar supaya kita semua balik ke dunia bisu dahulu. Barang dijauhkan Allah!
Sebab itu, patutlah kiranya cacian yang seumpama ini tidak akan kita jumpai lagi terbentang di dalam ruangan suratkhabar dan patutlah dibenamkan ke laut kalzum supaya ia jangan timbul-timbul lagi.
Buat penutup makalah ini, saya petikkan sepatah kata pendita dari Kitab Mansah al-Qulub, jika adalah kamu bukannya daripada jenis garam yang membaikkan, maka janganlah kamu jadi sebagai lalat yang membinasakan. Was-salam.
top |