malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 23 Jul 1935, p.5
General Article.
Kemajuan Cara Baru Bagi Anak-anak Melayu yang Sedang Bergerak Kehadapan.
Jika kita perhatikan dengan kecermatan di mana sahaja negeri di Malaya ini, semakin hari semakinlah terkhabar darihal kemajuan sekolah dan kanak-kanak dan guru-gurunya yang terbantu oleh pembesar-pembesar Inggeris dan Melayunya, terutama sedang heboh beberapa tahun yang sudah ialah darihal pertunjukan senaman dan sport serta pertunjukan pertukangan tangan kanak-kanak sekolah Melayu itu, di satu-satu jajahan atau kumpulan; maksud-maksudnya ialah akan menarik kemaraan kepada kaum bangsa kita yang akan disamakan kemajuan bangsa dan diharapkan kepada masa yang akan datang murid-murid sekolah Melayu itulah anak negeri yang berdarah kepada kemajuan negerinya iaitu kuat pantas tidak berhanyut-hanyut di dalam padang perlumbaan dengan bangsa-bangsa lain itu, perbuatan dan kehendak-kehendak itu sangat-sangat elok kepada sifat kemajuan negeri kita ini. Sungguh pun banyak fikiran-fikiran berbunyi-bunyi di balik bukit atau di ulu-ulu sungai mengatakan itulah suatu tanda kerusuhan, di dalam beberapa keborosan yang telah mengenai di seluruh anggota orang Melayu itu. Kita sendiri ((penulis rencana ini)) belum dapat mempersetujukan kata-kata itu melainkan beramai-ramai barulah boleh diakui betul atau tidaknya?
Kata "Ya", betul kita ada di dalam kemajuan sekarang, tetapi bunga-bunga atau kulit-kulit luar sahaja lagi, lihatlah aturannya di bawah ini:
1. Kain baju yang dipakai masa sport dan senaman pertunjukan itu ditukangi oleh orang-orang Cina belaka, tak usah disebut tentang di mana dibeli kain-kain itu.
2. Barang-barang hadiah kesemuanya dibeli daripada kedai-kedai Cina, begitulah juga mangkuk Perak atau medal itu, tiada mengenai ke saku baju kaum kita.
3. Kad-kad jemputan itulah sahaja barang kali masuk ke Press Melayu. Jika setiausaha sport orang berhajat kepada menyokong bangsanya kalau tidak tentulah juga.
4. Yang ajak jamuan teh sudah tentulah orang Cina yang lebih lazat daripada lain-lain bangsa.
5. Pemborong makan nasi sahaja kalau dapat ke tangan Melayu.
Adakah ubatnya semasa akan datang penyakit-penyakit yang tersebut itu?
Oleh penganjur bangsa atau ahli perjambatan?
Runsinglah fikirannya terutama orang-orang yang di dalam kesusahan dan singkat pelajarannya dan masih gemar di dalam hal tahun lalu juga. Tetapi orang yang tahun sekarang adalah menarik ke persetujuan dan mengerti akan perubahan masa dan kemahuan zaman, apakala sekali setahun terkena anaknya membuat pakaian senaman pertunjukan dan sedikit-sedikit perbelanjaan makan yang dikatakan kepada kanak-kanak itu.
Pada halnya, tidak mereka itu berfikir di atas kemajuan bagi anak-anaknya. Ketahui olehmu! bukan sahaja ibu bapa yang kena belanja, atau sengsara duit, iaitu daripada kerajaan, guru-guru sendiri, persekutuan guru-guru pula. Kerani-kerani Melayu sehingga yang berpangkat ke atas sekali ada menolong kemajuan sport itu, serta beberapa tauke-tauke bangsa-bangsa lain pun ada memberi buah tangan kerana kemajuan pihak kita Melayu.
Oleh itu sepatutnyalah ibu bapa kita di kampung-kampung bersama-sama menolong bagi pihak anaknya.
Barangkali juga kesusahan dan kepayahan setengah-setengah ibu bapa kita di kampung-kampung itu istimewa pula mereka itu belum mengetahui lagi jalan berdikit-dikit pengharapan pendapatan di dalam sebulan atau sehari. Bagaimana petua-petua yang dimaksudkan oleh pegawai syarikat kecermatan itu, apakala mereka telah beroleh pelajaran kecermatan, disyarahkan oleh orang yang pandai-pandai tidaklah lagi mendatangkan kepiluan ke hatinya kelak.
Kecermatan orang kampung dengan anak sekolah.
Apakala seseorang telah menzahirkan anak baik laki-laki atau perempuan, hendaklah ia menaruh simpanan kerana anaknya bersekolah kelak, iaitu katakanlah 10 sen sebulan, masuk ke dalam "peti pekak" setahun sudah ada $1.20. Tatakala anak kamu berumur 6 tahun, sudah berangka $7.20, tentulah ada belanja di dalam tahun yang pertama itu teruskan juga sehingga kanak-kanak itu berkhatam dari sekolahnya barulah diberhentikan.
Bahwa kanak-kanak itu dimasukkan ke sekolah sudah pula di simpan oleh guru besarnya dengan nama "School Fund", 4 sen sebulan ((satu sen seminggu)), sekarang sudah bererti yang anak kamu itu sudah ada mencukupkan wangnya pada tiap-tiap bulan 14 sen ((jika lebih lagi, itulah yang paling baik)), semasa itu tentulah fikiran di kepala kita orang-orang kehidupan ada beras dingin daripada tahun yang sudah sekarang ((1935)) ini.
Jika siapa-siapa yang tetap menurutnya!! Fikiran semacam ini nasihat dan pengajaran yang terlintas ini, sudah berbuat terlebih dahulu daripada ini, tetapi disebabkan dunia sekarang sedang berubah ke dalam perkara kecermatan, fikiran pun timbullah pula dari sehari ke sehari ini, insha Allah Taala kita bekerja-kerjasama akan datang!! Sudah tibalah masanya kita patut bercermat jimat supaya kaum kita tidak ditimpa kesusahan dan kemunduran di dalam sebarang pergerakan akan datang.
Kita telah mendapat tahu yang kerajaan Pahang telah mengadakan Majlis Anggota Islam Pahang, iaitu akan mentadbirkan urusan zakat fitrah di masa akan datang dan tiap-tiap mukim akan diangkat jawatankuasa mukim yang akan diketuai oleh penghulu mukim. Apakala berkejayaan maksud di Majlis Anggota Islam Pahang ini, mudah-mudahan besarlah faedahnya bagi rakyat negeri akan mendapat kebajikan yang sempurna, tidak seperti masa yang sudah-sudah itu, menurut kehendak-kehendak Pak-Pak Lebai dan Pak-Pak Haji-Haji sahaja, siapa-siapa yang kuat meminta, banyaklah dapatnya, atau beroleh zakat. Biarlah masjidnya buruk dan tak senonoh, tiada mengapa, serta tiada mendengar syarah-syarah orang alim datang ke masjidnya, kerana keberatan hendak beryuran.
Pada halnya zakat padi tiap-tiap tahun ada beratus-ratus boleh menolong kemajuan ugama itu. Semasa akan datang urusan zakat fitrah itu dapat dilihat oleh anak negeri dengan berjalan berperaturan yang khas sekurang-kurangnya boleh menghantar anak-anak Pahang menuntut ke Mesir pada tiap-tiap tahun seorang, atau dua tiga tahun seorang. Dan boleh menolong membaiki masjid-masjid yang lapuk, di dalam kampung-kampung itu, ataupun menambahkan guru-guru ugama di sekolah-sekolah Melayu itu. Sukacitalah kita dan hamba rakyat Pahang mendengarkan berbangsa yang maha baik itu terpulanglah kebajikannya kepada penganjur-penganjur ugama di dalam negeri ini, melainkan diucapkan berpanjangan umurnya.
top |