Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 19 May 1932, p.7

Surat Kiriman.

Perbezaan Anak-anak Melayu di dalam Perak.

Al-Mukarram Tuan Pengarang Majlis,

Dengan beberapa selamat kehormatannya,

Saya mendahului dengan berbanyak-banyak menerima kasih kepada Tuan yang telah redha melapangkan ruangan akhbar Tuan bilangan 32 yang amat berharga itu bagi rencana saya yang telah lalu yang tidak sepertinya itu. Maka inilah saya ulangi lagi dengan hati yang ikhlas bukan hendak mencari pertengkaran atau perbahasan, hanyalah berhajat kepada Persatuan Kaum Melayu dan sekalian Muslimin amnya.

Di dalam sedikit masa ini sahaja, tampaknya anak-anak Melayu kita baru hendak celik mata dan perasaan kebangsaan Melayu itu pun telah beransur-ansur mesra sehinggakan kanak-kanak yang masih di dalam sekolah pun sudah ada berperasaan demikian itu. Dan ada setengahnya mengeluarkan bermacam syor dan fikirannya pada menambahkan kukuh Persatuan Kaum Melayu, mempertahankan hak-hak Melayu daripada tuntutan anak-anak dagang daripada lain bangsa, lain bahasa, lain ugama dan lain adatnya itu. Tiba-tiba cita-cita itu akan terbantut dan persatuan itu akan berpecah belah semula disebabkan oleh perbezaan anak-anak Melayu seperti keputusan mesyuarat orang-orang besar dan ulama-ulama Perak itu.

Barangkali telah sampai masanya bagi anak-anak dagang yang mengaku diri mereka itu Malayans akan diterima oleh anak-anak Melayu sekalian kerana telah kelihatanlah orang-orang Melayu kita juga yang suka memperbezakan bangsa Melayu dan dengan lama-kelamaannya nama Melayu akan hilang dan harus boleh berganti dengan gelaran nama negeri masing-masing; umpama orang-orang Perak; Perakeans, dan orang-orang Selangor pula, Selangoreans; ataupun lain-lain seumpamanya.

Pada waktu itu senanglah bagi anak-anak dagang seperti Cina, India dan lain-lainnya itu menuntut hak-hak mereka itu di dalam jawatan-jawatan pemerintah dengan nama Malayan itu kerana orang-orang kita Melayu akan membawa diri dan menjaga periuk nasi masing-masing sahaja.

Mengikut perkhabaran akhbar-akhbar di dalam sedikit hari ini rupanya Decentralization; perubahan pemerintah baru yang dicadangkan oleh Tuan Yang Terutama itu belum lagi mendapat persetujuan Menteri Jajahan-Jajahan Takluk di England. Demikian juga keputusan Mesyuarat Orang-Orang Besar dan Ulama di Perak tentang perbezaan anak-anak Melayu di dalam Perak. Itu pun belumlah boleh dikatakan sah lagi. Jadi itulah lagi peluang bagi anak-anak Melayu Perak menzahirkan tiada bersetuju mereka berkenaan dengan keputusan itu. Inilah saya dengan beberapa besar hati serta menaruh berbanyak-banyak harap kepada anak-anak Melayu Perak yang tiada suka kepada perbezaan bangsa Melayu ini berikhtiar mengadakan suatu perhimpunan dalam mana-mana tempat di dalam Perak atau di mana-mana tempat yang munasabah supaya boleh kita berhimpun dan berunding perkara yang sangat-sangat besar ini, dan apa-apa kemusykilan kita yang berhubung dengan perubahannya pemerintah baru ini dipintalah kita persembahkan pada Sultan-Sultan kita dengan suara ramai.

Diiringi dengan beberapa banyak minta maaf daripada Tuan-Tuan Pembaca yang mulia dan berbanyak terima kasih kepada Tuan Pengarang kerana ruangannya. Was-salam.

Perak Jati di Perlis. 9.1.1951.