![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 1 Aug 1935, p.12
Feature Article.
Apa Sebabnya Penulis Melayu Selalu Berselisih Fikiran.
Biasanya, kalau tak salah beberapa kali keluaran Majlis yang permai ini bagi keluaran yang telah lalu, saya telah jumpai yang isi ruangan Majlis itu kebanyakan karangan berbahas-bahas, yakni berselisih fikiran, di antara sama-sama penulis jua.
Bagi diri saya, buat fikiran saya yang bodoh ini, tak lain sebab-sebabnya yang boleh mendatangkan berselisih fikiran sama-sama penulis ialah kurang jaga dan ingat di masa menggunakan fikirannya diwaktu mengarang dan di masa melecekkan penanya di atas kertas yang putih itu. Ia juga seperti pepatah orang tua, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa, sepatutnya kita mesti tidak melupakan bidalan-bidalan orang tua-tua kita. Pendeknya kita sebarang apa jua yang hendak dibuat mahulah berfikir lebih-lebih dahulu dengan sepenuh-penuh fikirannya.
Kalau sekiranya kita cukup menggunakan fikiran menjaga atas buruk baik di atas pekerjaan kita ini, mudah-mudahan terjauhlah daripada berselisih fikiran di antara kita semuanya. Yang saya mengatakan penulis-penulis itu separuhnya bukan semuanya kurang menggunakan fikiran, bukan pula saya mengatakan bodoh atau bebal, tidak sekali-kali! Kerana orang-orang yang jadi penulis akhbar itu orang yang panjang dan luas fikirannya, tetapi sungguh pun fikirannya panjang, selalu jua kita jumpai yang karangannya itu tersalah dan jua boleh mendatangkan berbahas, di manakah di atasnya perkara itu tak lain kurang luas atas pekerjaannya, dan jua fikiran kita itu tidak sekali keluar.
Ialah beransur dengan sebab fikiran kita tidak sekali keluar itu, mahulah kita menjaganya, kalau fikiran kita itu sekali terbit sahaja, tak payah kita menggunakan fikiran-fikiran lagi yang bercabang-cabang itu. Hanya padalah kita memakai apa yang terasa sahaja, harap difikirkan.
Sebagai satu perselisihan di ruangan Majlis yang lalu ini, yang telah jadi, hingga si membahas ingat, mengatakan yang kena bahas itu pas sekolah Tanjung Rambutan! Alangkah lain bunyinya, kasihan! Jangan dua kali pisang berbuah, padalah sekali sahaja buat pelajaran.
Dengan perkataan yang sedikit itu, satu maruah yang jatuh atas seorang kaum kita Islam bagi hukum kita orang Islam, kalau menjatuhkan maruah seseorang itu, di atas khalayak yang ramai, bukankah besar dosanya? Harap ditinggalkan perkara itu supaya jangan mendatangkan dosa bagi kita umat Islam lagi, jauhilah kita daripada mengikut Syaitan Iblis itu kerana itu seteru selama-lamanya.
Jika penulis-penulis Majlis ini sudah selalu menggunakan fikiran bahas membahas sahaja, yang teratur diruangan Majlis itu, tentu juga barangkali mendatangkan jemu bagi si pembaca kalau orang-orang pembahasnya sudah jemu. Siapa lagi harapan hendak membelinya Majlis kita yang permai ini barangkali juga kena oleh penyakit itu boleh mendatangkan mundur kepada perjalanan Majlis kita. Sebaliknya pula, tidak ditegah benar-benar tentang berbahas itu. Tetapi janganlah selalu-selalu sekali-kali bolehlah buat penyedap sahaja.
Yang tentu, penulis-penulis yang lain itu lebih panjang fikirannya kerana tentang kaum kita Melayu kebanyakan hatinya menyimpan bosan dan jemu kalau suatu karangan itu berturut-turut itu juga yang keluar, patut kita berfikiran bersama-sama.
Wahai penulis-penulis yang bijaksana patut penulis-penulis Melayu bagi kena bahas; haraplah saya kepadanya, janganlah dibuat juga karangan yang boleh dibahas oleh sahabat-sahabat kita yang lain, carilah jalan sebagainya karangan kita itu.
Sebaliknya, bagi pihak pembahas hendaklah diselidiki karangan itu dengan sehalus selidik. Barangkali juga perkataan itu "Ter" langsung, yakni tak sengaja! Kalau difikirkan perkataan-perkataan itu, tidak membagi atau mendatangkan berbahaya kepada amnya, rasanya tak guna kita membahas, lain karangan itu mencaci atau mengada-ada dengan tidak ketahuan tujuannya itu, agaknya patut kerana pekerjaan mencaci-caci itu, suatu pekerjaan tak baik tak usah pekerjaannya, hinggakan perkataannya sahaja yang kita dengar pun tak berapa sedap rasanya.
Disudahi dengan berbanyak-banyak minta maaf kepada ahli pembaca dan terutama menerima kasih kepada Tuan Pengarang Majlis kerana ruangannya.
top |