Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 5 Aug 1935, p.7

Editorial.

Padi, Kelapa dan Getah.

Ibu mata pencarian anak-anak Melayu kita pada masa ini ialah padi, kelapa dan getah. Di dalam yang tiga-tiga benda yang kita cantumkan di atas ini ketiga-tiganya itu nyawa pencarian orang-orang Melayu pada masa ini. Kita orang Melayu mengerti apakah dianya padi. Apakah gunanya kelapa dan apa yang didapati oleh mereka daripada hasil getah. Maka oleh sebab mengira adalah tiap-tiap satu daripada ketiga-tiga mata benda itu nyawa pencarian hidup kita orang-orang Melayu.

Maka seelok-eloknyalah ketiga-tiga mata benda itu diusahakan mengikut aliran kehendak masa sekarang ini.

Tiap-tiap seseorang daripada bangsa kita Melayu yang telah melawat dan memperhatikan mata benda yang tiga-tiga itu di dalam pertunjukan besar ((Malayan Exhibition)) yang diadakan pada tiga hari ini, akan sekurang-kurangnyanya dapat memperhatikan keadaan mata benda itu serta mana, yang elok pada pandangan mata mereka itu.

Sungguh pun pada orang kota keelokan itu akan mendapat seelok-eloknya pujian sahaja tetapi bagi pihak penduduk-penduduk kita di kampung-kampung yang ada mempunyai serba sedikit sawah, kampung dan kebun ada tersebut di hati mereka akan satu-satu contoh benda-benda yang baik, dan elok itu.

Usaha dan tadbir yang elok itu boleh menerbitkan benda-benda yang elok dan barang-barang yang elok itu akan menggemar hati bukan sahaja hati orang-orang ramai yang melihatnya tetapi rakan-rakan si pembuat itu juga.

Untuk melanjutkan kaji kita ini maka kita ringkaskan kepada Tuan-Tuan pekebun kita akan cakap-cakap yang terutama Tuan High Commissioner Tuan Douglas, President MAHA dan Tuan Scott, Pemangku Penasihat Tanaman Negeri Melayu ini berkenaan dengan mata benda yang tiga-tiga itu untuk pengetahuan Tuan-Tuan.

Padi.

Berkenaan dengan padi, Tuan Douglas telah berkata, kita selalu pada kesusahan kita yang sudah-sudah 13 tahun yang sudah Tuan Penjaga Makanan di Singapura itulah berkata bahwa makanan yang ada di dalam simpanan cuma cukup buat makanan dalam dua minggu itu pun buat Singapura sahaja. Orang-orang di kampung-kampung yang telah perbantuan daripada sayogianya, perkataan-perkataan itu, kata Tuan Douglas menunjukkan bahwa persawahan padi di dalam negeri ini mesti diluaskan.

Yang Terutama Tuan High Commissioner, telah berkata bahwa Pejabat Tanaman Negeri ini menasihatkan supaya penduduk-penduduk negeri ini membuat sawah lebar-lebar dengan satu jenis benih yang munasabah sahaja.

Dalam peraduan padi yang telah diadakan dipertunjukkan besar itu menunjukkan akan keelokan dan kebagusan padi kita di sisi dan waktunya telah tiba mewajibkan diri kita masing-masing meluaskan sawah-sawahnya dan mengusahakannya menurut nasihat Pejabat Tanaman supaya pada satu masa kelak dapat Malaya kita ini bergantung kepada berasnya sendiri.

Kelapa.

Berhubung dengan kelapa, iaitu satu daripada pesaka datuk nenek kita menurut perkataan Tuan Yang Terutama Tuan High Commissioner, adalah kopra itu tidak ada sekatan baginya seperti getah musuh-musuh yang besar tidak ada sebagaimana yang ada di dalam negeri lain-lain seperti di Filipina baru-baru ini, ada angin taufan lautan Cina, di Ceylon ada malaria dan di Amerika, kemarau.

Tetapi sungguh pun begitu, kopra akan menderita penyakit perlumbaan. Satu Lembaga Pengurus Kelapa akan dilantik tujuannya untuk membaiki dan menaikkan harga kelapa, United Planters Association, telah mengurus pekerjaan itu.

Kelapa satu mata benda nikmat pohon yang boleh dikatakan banyak gunanya itu, maulah diusahakan oleh penduduk-penduduk kampung dengan menggunakan segala gunanya. Mulai dari tempurung hingga ke segala-galanya.

Getah.

Menurut kata Tuan Scott, Pemangku Penasihat Tanaman Malay, telah menyambut bahwa untuk memperbaiki keadaan getah-getah anak negeri RRI menasihatkan untuk menggunakan sebuah rumah asap yang murah modalnya dan elok hasilnya. Adapun contoh rumah asap itu telah diambilnya daripada contoh rumah asap yang di Amerika oleh seorang Melayu Perak.

Sungguh pun getah satu perusahaan yang baru kepada penduduk negeri kita ini, tetapi kita Melayu telah tahu sedikit sebanyak akan keadaannya. Tetapi tiap-tiap satu benda mahulah menurut kemauan zaman yang beredar ini.

Orang-orang Melayu kampung mahulah memperbaiki keadaan getahnya jikalau mereka mahu bahwa getahnya itu sama tarafnya dengan getah lain-lain bangsa.

Pertama-tamanya. Menurut kata Tuan High Commissioner, mahulah getah-getah itu bersih dan elok keringnya kerana getah yang banyak air dan kotor itu mendatangkan rugi kepada tuan punya getah itu. Dan juga kepada saudagar-saudagar orang-orang kampung mahulah ingat.

Demikianlah lebih kurang katanya berkenaan dengan getah yang mana sewajibnya mendapat perhatian daripada kaum Melayu kita serta menunaikan kehendak-kehendak itu kerana mesin yang elok dan gaya rumah asap yang murah-murah harganya, ada semuanya ditunjukkan contoh-contohnya kepada ramai.

Jikalau kita berkehendakan taraf getah kita sama dengan getah lain-lain bangsa, hendaklah kita usahakan seboleh-bolehnya menurut nasihat Tuan Yang Terutama itu.