Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 12 Aug 1935, p.8

General Article.

Bandingan Harga Barang Dapur.

Di Kedai Cina dan di Kedai Melayu.

Pada zaman yang akhir ini, bangsa kita telah mulai banyak membuka kedai di kampung-kampung dan tiada pula membuka kedai itu dengan bersyarikat. Tetapi kasihan, orang-orang Melayu kita terutama orang-orang kampung yang tiada berperasaan dan fikiran yang sihat sangat tertarik hati mereka membeli juga barang-barang di kedai-kedai Jaffna dan lain-lain bangsa.

Pada halnya, kedai bangsanya sendiri sudah ada terbuka di hadapan pintu rumah mereka sendiri, apakah sebabnya jika kita tanya mereka itu?

Nescaya jawab mereka, harga barang-barang di kedai Cina ada murah daripada kepada Melayu. Maka oleh sangka mereka yang tiada berfikiran panjang itu di atas harga murah itu, jadi terlompat-lompatlah dan terkejar-kejarlah mereka dengan tiada berfikir lagi menyerahkan wang dan memberi pertolongan di kedai-kedai Cina itu?

Kasihan Orang Melayu!!!

Setengah itu bukannya orang itu tiada berpelajaran!!! Tetapi ya tak ya pulak!!! Jika difikirkan dengan sekali pandang sahaja, di kedai Melayu segantang beras Rangoon nombor tiga, 24 sen, di kedai Cina dapat 23 sen. Bukan sudah untung satu sen, dapat beli belacan!

Di kedai Melayu Melayu sekati chili kering 20 sen, di kedai Cina dapatlah 13 sen. Sebotol minyak tanah 12 sen di kedai Melayu, di kedai Cina dapat 10 sen, dan lain-lain.

Pendeknya, semua barang-barang keperluan hari-hari murah belaka di kedai Cina.

Kawan punya pasat, gua nanti kaya!

Oi! Bukan main lagi si Melayu ini memuji-muji barang-baranglah mereka, apa kedai Melayu mahal! Mahal! Mahal! Sambil berbual-bual di kedai-kedai kopi hingga larut tengah malam!

Hairan!!! Tidak sedikit jua mereka yang seperti ini memikirkan sedalam-dalamnya dengan fikiran yang sihat yang tiada kena penyakiut bodoh dan bingung.

Cubalah dibawa menungkan barang sebentar di bawah pokok getah seorang diri, mengapa kedai Cina boleh jual murah barang-barang dapur itu? Dan kedai bangsaku Melayu yang sekampung, senegeri dan seugama, dengan aku tidak dapat menjual murah, seperti harga di kedai Cina itu?

Adakah agaknya Cina itu termasuk pepatah Melayu, ada berudang di sebalik batu? Sepatutnya kedai Melayu itu boleh berjual lebih murah daripada Cina, kerana kedai Melayu itu tiada bersewa, tiada kena cukai pintu, lesen bayaran lampu letrik, jamban, air dan lain-lainnya.

Tetapi kedai-kedai Cina-Cina itu di pekan terkena mereka membayar sewa rumah sekurang-kurangnya $60 sebulan lagi sewa jamban, air, lampu, cukai pintu, lesen dan lain-lain yang mana sampai beratus ringgit sebulan. Cina itu tentulah tak akan mau rugi menjual barang-barangnya. Rugi itu kepentingan benar kepada Cina. Tetapi apa sebab mereka dapat jual murah barang-barangnya itu daripada kedai Melayu?

Jika orang yang ada tajam fikirannya, tentulah terfikir olehnya tentulah ada satu-satu tipu dan helah Cina itu.

Yang kedua: barang-barang yang dibeli oleh Cina itu sama-sama juga dibeli oleh Melayu di Kuala Lumpur misalnya, atau di kedai R.A. Muhammad Kassim, kadang-kadang sama-sama membayar dan mengambil barang-barang itu seumpama beras dengan harga yang sama. Tetapi mengapa waktu Cina menjual dikedainya dijualnya murah. Jika kita kira modal dibeli tadi, jualan seperti itu tidak memulangkan pokok, dan yang ada pula merugikan.

Ini satu perkara yang agak hairan juga, apa! Itu Cina mau tolong percuma sahajakah kepada si ramai? Fikirankanlah!!!

Yang ketiga: tauke-tauke kedai Melayu itu selalu juga sudah diajar oleh Cina-Cina kedai di mana tempat ia selalu mengambil barang-barang hingga sampai $800 sebulan akan jalan tipu daya, supaya mendapat untung dengan dijual murah. Tetapi apa boleh buat, hukum ugama Islam sangat-sangat melarang membuat tipu helah itu seolah-olahnya seperti kita memakan daging kaum muslimin, jika kita buat tipu helah itu. Dan lagi, Orang Melayu kita tentulah tiada sanggup hendak membuat tipu daya seperti Cina itu.

Di bawah ini kita terangkan sedikit nasihat Cina itu.

Kalau Mau Jual Murah dan Dapat Untung Kepada Barang-Barang Keperluan Hari-Hari.

Ada dua jalan:

1. Satu pada dacing dan sukatan.

2. Kedua, campuran dengan barang-barang yang lebih murah.

Pada dacing itu, tentulah semua orang Cina sudah masyhur pada mencuri menimbang dengan dacing itu. Tiap-tiap kali menimbang, mestilah ada sahaja katanya sudah lebih setahil atau dua tahil, tetapi yang sebenarnya kurang dua tahil dacing itu. Senang sahaja jika hendak mengurangkannya. Upah sahaja Cina penjual dacing itu 50 sen, nah! Dapatlah dikerjakannya dacing itu sudah kurang dua tahil sekati. Walau macam mana diuji pun dia mesti tetap kurang jua.

Sukatan pun akan-akan seperti itu juga, sudah banyak bangsa kita terkena membeli beras seguni, kerana berharapkan harga murah tetapi isinya kopi itu cuma 27 gantang sahaja. Walhalnya, seguni beras itu 30 gantang di kedai. Mereka mengurangkan itu!! Bila sudah putus harga dan kita sudah tandakan guni itu, pada waktu itu tak akan terpaling atau terpecah sedikit sambil dilawan-lawannya berbual di hadapan pula. Seorang kulinya sudah sedia berjalan di belakang kedai itu membawa pencucuk besi bersaluran dikeluarkannya beras kita tadi hingga sampai tiga empat gantang. Ini satu jalan maka dapat dijualnya murah harga beras seguni.

Penulis berharap kepada Encik Abdullah yang akan jadi pemeriksa dacing dan sukatan di Selangor menyiasat dan menyelidik segala dacing-dacing yang palsu itu supaya terselamat seramai daripada terkena tipu lagi.

Campuran. Ini satu perkara yang boleh juga dapat menjual murah, beras Rangoon nombor tiga, dicampur dengan suku guni beras halus murah atau beras yang berharga murah sekali. Tentu orang ramai tak boleh kata: orang lain jual beras Rangoon nombor tiga 25 sen segantang, kita sudah campur boleh jual 23 sen segantang. Itu pun sudah lebih untung. Demikianlah dibuat beras yang lain-lain nombor satu dan nombor dua.

Tepung gandum yang baik iaitu Cap Kunci dicampur setengah karung dengan tepung yang murah harganya, siapa pun tak akan ketara. Kita boleh jual 5 sen sekati, jika orang lain jual 6 sen.

Minyak tanah, minyak kelapa, dicampur dengan minyak yang kurang harganya. Orang jual minyak tanah sebotol 17 sen, kita jual 10 sen. Masih ada untung lagi.

Demikianlah dibuat lain-lain barang yang boleh dicampur-campurkan dengan harga yang murah.

Maka pada tempat barang-barang yang sudah dicampur-campur dengan harga yang murah itu pada tentang timbangan mesti dibuat cukup sekati 16 tahil. Dan sukatan gantangnya pun demikian jua.

Tetapi jika barang itu tidak dapat ditipu dengan jalan campur dipusing pula pertimbangan, iaitu dikurangkan pada tiap-tiap sekati, 14 tahil sahaja. Pendeknya pada segenap pihak, mengena belaka, iaitu dengan jalan ini tak dapat dengan jalan lain pula dikenalkan.

Bangsaku, cubalah fikiran dalam-dalam, bagaimana Cina boleh jual sebotol minyak gas 10 sen, pada halnya harga satu tin minyak itu sama-sama dibeli $2.50, isinya satu tin 24 botol besar sahaja. Jika dijual 10 sen sebotol, baru dapat $2.40 satu tin.

Katalah tin dijual 10 sen, baru pulang pokok. Apa orang kedai tak mau untungkah? Dan sewa rumah tak mau bayarkah? Maka seperti yang tersebut di atas itulah dijalankan.

Diharap janganlah lagi orang-orang Melayu terpedaya oleh harga murah di kedai Cina itu.

Yang keempat: jika lebih satu sen juga, tidak kepada Cina.

Jika kita Melayu sudah berada sekurang-kurangnya 10 sen, mau juga ia masuk menolong minyak lampu masjid, tetapi kalau orang Cina kaya, apa dapat?

Dan lagi, jika tolong bersama-sama membeli di kedai bangsa kita sendiri, diharap lama-lama tentulah besar kedai itu, dan banyak pula terdiri cawangannya. Waktu itu tentulah banyak memakai kaki tangan. Dan orang tentulah Orang Melayu juga akan dipanggil bekerja di kedai itu. Jika banyak pula Melayu-Melayu berkedai di pekan besar-besar, tentulah banyak pula orang-orang Melayu inginkan bekerja di kedai-kedai Melayu. Janganlah ingat kita sendiri hendak bekerja. Ingatlah barangkali anak cucu kita di belakang kelak bekerja di kedai itu.

Oh! Janganlah ingat umur sudah 50 tahun bertanam pokok duku, berkehendakan sendiri juga memakan buahnya. Hal fikiran seperti ini semuanya kepada orang yang ada berfikir sihat yang tiada bercampur demam kepialu.

Sekarang bagaimana fikiran pembaca-pembaca bolehkah kami kedai-kedai Melayu membuat seperti tipu helah seperti Cina supaya dapat kami menjual murah pula supaya orang kampung tidak bersungut lagi?

A.Th.