Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 25 Aug 1935, p.7

Editorial.

Bangkitlah Melayu.

Akhbar Kalam yang berusaha Tuan O.T. Dussek dalam ucapannya di perjumpaan agung guru-guru Melayu di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini, yang telah diadakan di Sultan Idris Training College, Tanjung Malim, pada akhir minggu yang lalu, itu kita jadikan kepala rencana kita hari ini, kerana pada fikiran kita itu, yang dua pepatah itu sangat-sangat luas dan sangat-sangat besar makna kepada terbit hasad kehidupan kita kaum Melayu Raya, sama ada di kampung-kampung maupun yang di pekan-pekannya.

Dalam perjumpaan guru-guru Melayu Malaya yang pertama kali diadakan di dalam tahun 1935, Tuan Dussek mengakhiri kalamnya dengan "Bangkitlah Melayu!" dan dalam perjumpaan yang kedua kalinya pun, iaitu pada 10 dan 11 August 1935, Tuan itu menyudahkan ucapannya yang sangat-sangat menggirangkan itu dengan ayat yang dua patah itu jua, iaitu "Bangkitlah Melayu!!!".

Nampaklah kepada kita di dalam buah butir ucapan Tuan yang ikhlas itu bahwa sungguh pun kaum guru Melayu itu telah bersungguh-sungguh dan bertekun serta membanting tulang uratnya melatih mengasuh dan menganjur kaum bangsanya kepada kemajuan dan kemauan dan sungguh pun hasilnya telah nyata dipandang oleh mata ramai. Tetapi bolehlah lagi sampai kepada had yang dikehendaki oleh Tuan yang suci dan ikhlas hati itu. Maka itulah sebabnya maka perkataan yang dua patah yang diucapkan tahun yang lalu itu diulanginya kembali dengan hati yang ikhlas dan bersih, iaitu "Bangkitlah Melayu!!!".

Kaum guru-guru Melayu itu sebagaimana kita sebut di dalam rencana kita yang lalu, ialah pemimpin, penganjur dan pendidik kaum bangsa Melayu dan dengan menunjukkan contoh-contoh yang elok dan tauladan-tauladan yang baik daripada pelajaran, pertukangan, perkebunan dan lainnya. Dapatlah kaum bangsa kita meniru dan menauladaninya dan lama-kelamaan dengan berkata sepakat dan seia-sekata. Mudah-mudahan beralih haluan daripada cara kehidupan yang elok kepada bertambah-tambah elok dan baik.

Tuan Dussek berkata bahwa ia boleh menunjukkan beberapa contoh hal kehidupan di dalam beberapa kampung. Maka keadaannya itu sangatlah daif dan meruntun jantung hati barang siapa yang mengambil insaf atas nasib Melayu.

Dan lagi, katanya, ia yakin bahwa penyakit itu akan sampai kepada satu had. Dan jika penyakit itu tidak dapat diubat pada masa ini, maka haruslah penyakit itu akan menjadi tuan yang akan memutus hak milik serta harta pesaka kaum Melayu di dalam negerinya sendiri ((akhirnya mencari kuli kontrak)).

Oleh itu, "Bangkitlah Melayu!!!", kepada mendidik, mengasuh, melatih dan menganjur kaum bangsa kita kepada yang bersyarikat, tolong menolong, ajar mengajar dan nasihat-menasihat.

"Bangkitlah Melayu" kepada seia-sekata, dan sepakat di dalam apa-apa suatu hal yang membawa kebajikan dan hasil yang baik kepada kaum bangsa.

"Bangkitlah Melayu" kepada mendirikan syarikat, berkedai, berniaga, berusaha, berladang luas dan berkebun-kebun besar.

"Bangkitlah Melayu" menolong memajukan tenaga dan usaha kaum bangsa kita.

"Bangkitlah Melayu" pada mengelokkan tadbir kehidupan kita di dalam serba-serbinya.

"Bangkitlah Melayu" menyingsing tangan merebut kemakmuran dunia ini, dengan usaha dan amal.

Allah Taala cinta ialah kepada orang yang tinggi perasaan dan amalnya.