![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 2 Sep 1935, p.12
Feature Article.
Anak Negeri Dengan Munshi Abdullah.
Saya tidak hendak mengata-ngata Munsyi Abdullah melampau-lampau sangat hingga menyebut-nyebut bangsa anak negeri. Sungguh pun banyak jua yang saya tidak bersetuju dengan karangan-karangannya itu, dan saya pun tidak bersetuju jua dengan perkataan anak negeri, banyak tentangnya.
Seorang pembaca yang insaf tentu banyak yang mengatakan Munsyi Abdullah itu seorang yang lurus dan berani, tulisan-tulisannya itu dimaksudkannya semata-mata kepada siapa sahaja yang berbuat zalim dan aniaya. Lihat bagaimana ia menuliskan darihal pemerintah Belanda di Melaka, baca tentang tulisannya memperihalkan orang-orang besar, askar Inggeris, yang berkumpul, di Melaka. Seorang pembaca yang adil akan menyaksikan kebenaran perkataan saya ini, bukan kerana hendak menyokong Munsyi Abdullah, dan bukan hendak berlawan dengan anak negeri.
Anak negeri patut insaf dan bercermat, kalau anak negeri bersungut mengeji-ngeji Munsyi Abdullah, oleh tidak menyebutkan kebagusan Orang Melayu Kelantan pada zaman itu, hanya mengata-ngata sahaja. Mengapa pula anak negeri teringatkan ia mengata-ngata Kelantan sahaja. Mengapa anak negeri tidak menyebutkan tentang beraninya dan lurus hatinya hingga pemerintah-pemerintah Belanda yang ada pada zaman itu pun tidak lepas daripada nista Munsyi Abdullah itu, dan orang besar-besar askar Inggeris itu pun tidak lepas jua daripada kritiknya.
Dan lagi, cuba anak negeri insaf sedikit kalau tentang tidak bagus berjoget sahaja sudah orang zaman ini mencerca dengan berbagai-bagai cerca, menunjukkan bencinya. Apatah lagi tentang yang berpuluh-puluh kali kepada lebih besar daripada itu, seperti didengar oleh Munsyi Abdullah di Kelantan itu, dia membandingkan orang-orang Melayu Melaka dengan Melayu-Melayu di Kelantan.
Tidaklah munasabah pada anak negeri kalau dibandingkan kebersihan dan kerajinan orang-orang Melayu Melaka pada masa itu, ada lebih jauh daripada usaha orang-orang Kelantan, dan lagi bukankah masa ia pergi itu, Kelantan tengah berperang dia tidak dapat peluang hendak mengetahui semuanya apa yang dikatakan oleh anak negeri ((kalau ya)).
Apakah anak negeri akan usaha Munsyi Abdullah hendak mengambil tahu hal Thean Thou di Singapura, kerana faedah orang ramai, adakah diberi upah akan dia? Lupakah anak negeri bagaimana Munsyi Abdullah mengkeritik Paderi Thomsen, kalau ia seorang pengampu-ampu sahaja, tentu semua orang putih diampunya, mengapa setengah dikritik, setengah dihentamnya, dan setengah dipujinya, bukankah iaitu menunjukkan ia seorang yang "Frank"?
Kalau anak negeri berfikir menjadi malu orang-orang Melayu Kelantan apabila hal-halnya dibaca oleh bangsa asing, tentulah orang-orang Belanda lebih malu lagi dan orang Inggeris pihak askar pun malu jua.
Saya mengesyorkan moleklah anak negeri baca semula Hikayat Abdullah, supaya tidak terlangsung sangat anak negeri dalam perkara ini, ya Tuan Raffles, itu pun tidak lepas daripada usik Munsyi Abdullah.
top |