Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 2 Jun 1932, p.6

Editorial.

Mata Penghidupan Orang-Orang Melayu; Pertanian dan Perniagaan.

Tidak bertengkar lagi bahwa pertanian dan perniagaan itu adalah dua daripada punca mata penghidupan kaum manusia di dunia pada zaman dahulu sebelum umat Melayu Semenanjung ini berhaluan makan gaji direntap oleh peraturan belajar paksa di dalam sekolah-sekolah Melayu itu. Sebahagian besar dari umat Melayu itu hidup dengan pertanian dan perniagaan.

Gembira kepada pertanian semakin malap apabila anak-anak muda Melayu itu gembira kepada makan gaji.

Tetapi mata penghidupan muka anak-anak Melayu oleh kerana mutu pelajaran kerani itu semakin berganjak ke atas, sedang desakkan anak-anak dagang semakin keras dan pelajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah Melayu itu tidak berharga pula.

Sebahagian besar dari anak-anak muda Melayu itu boleh dikata telah kecewa, pelajaran mereka hanya umpama pinang merah ekor, pinang layu, sekerat merah, tua belum muda terlampau. Hatinya kepada pertanian tumpat dan buat makan gaji tidak diterima orang kerana kepandaian tak dapat tak salah lagi jika dikatakan yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.

Barangkali juga kerana nasib anak-anak muda Melayu itu akan bertambah malang. Sebab inilah diadakan pula bahagian bertanam sayur di dalam sekolah-sekolah Melayu semenjak dari masa kira-kira sepuluh tahun dahulu, supaya dapat digembirakan anak-anak Melayu itu kepada pertanian.

Lebih jauh diajarkan pula ilmu pertukangan tangan, tetapi tidak berhasil. Barangkali juga pada masa menyemai benih sayur-sayuran itu benih perasaan tidak tersemai sama atau pun oleh kerana sepah ditutup oleh hasil kebun getah bapanya dan benih perasaan makan gaji telah bercambah dengan suburnya.

Di dalam masa yang akhir yang sememang digoda oleh zaman meleset yang tak pernah dimimpikan itu dengan perantaraan pejabat pelajaran dan usaha pegawai-pegawai bekerjasama Melayu di kota Kuala Lumpur ini serentak pula dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Kebanyakan sekolah-sekolah Melayu telah berkira hendak menyemaikan perasaan gembira kepada pertanian.

Menilik kepada beberapa banyak mesyuarat dan menilik kepada sokongan penghulu-penghulu serta ketua-ketua satu-satu mukim sebagaimana selalu kita siarkan di dalam Majlis ini, kita boleh berharap bahwa benih gembira kepada pertanian itu akan bercambah dengan suburnya. Dan akan diiringi pula dengan perasaan gembira kepada berniaga, iaitu satu daripada mata pencarian yang mulia di dunia, asal sokongan daripada penghulu-penghulu dan ketua-ketua satu-satu mukim itu bukannya hanya menunaikan kewajipan jawatannya atau terangnya kerana menyelamatkan gaji. Tetapi hendaklah dengan ikhlas yakni bukannya tergagah oleh kerana perintah dari Tuan Controller ataupun dari Tuan Inspector Sekolah sahaja.

Menilik kepada jayanya Pekan Ahad Kampung Baru, kita boleh meneka bahwa Pekan Ahad itu akan kekal dan lebih jaya. Tidak ada halangannya selain daripada sayur-sayuran mengadakan pasar pertukangan tangan, murid-murid sekolah Melayu seperti sadur, lakar, tapisan, bakul, raga, dan lain-lain yang memang diajar di dalam sekolah-sekolah Melayu itu; bahkan tidak pula ada halangannya jahitan-jahitan yang diajar di dalam sekolah-sekolah gadis itu menumpang berpasar di dalam Pekan Ahad itu.

Majlis, bagi pihak kaumnya, sanggup menyiarkan apa-apa juga iklan pertukangan tangan murid-murid sekolah Melayu dengan percuma kerana kita sememang berniat akan mengembirakan hati anak-anak bangsa kita kepada pertanian, pertukangan dan perniagaan.

Sungguh pun hari Ahad itu bukannya kelepasan sekolah, tetapi kita percaya jika satu sekolah di dalam jajahan Kuala Lumpur ini sedia barang-barang jualan daripada pertukangan murid-murid sekolahnya. Jika diminta kepada Inspector Sekolah, nescaya permintaan guru-guru atas kebebasan satu guru dengan dua tiga murid-murid sekolah bakal menjadi penjual pada Hari Ahad di situ, tidak akan tertolak.

Kita boleh berkata lebih jauh jika sekolah-sekolah Melayu itu boleh mengeluarkan barang-barang pertukangan dan tanaman sendiri dengan cukup untuk jualan tidak ada halangannya membuka pasar khas kira-kira satu atau dua buah bangku di dalam Market Kuala Lumpur supaya perasaan gembira kepada pertanian dan perniagaan itu dapat dihidupkan semula.

Kita tak dapat mengembirakan hati murid-murid itu kepada perasaan ini dengan mulut dan rotan, tetapi jika murid-murid itu dapat menerima hasil bekas tangannya, tak syak lagi perasaan itu tertanam sendiri dan bahawasanya yang tertanam sendiri itu ghalibnya subur.

Telah tersiar khabar bahwa Sekolah Melayu Setapak dan Gombak telah berkira akan mengadakan Pekan Murid-murid Am bagi jajahan Kuala Lumpur. Pada fikiran kita satu Pekan Am bagi Sekolah-Sekolah Jajahan Kuala Lumpur, lebih sepuluh buah, itu lebih bererti jika diadakan pada satu tempat khas.