malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 2 Sep 1935, p.5
General Article.
Bagaimana Kemajuan Melayu Semenanjung.
Selalu saya terbaca di dalam suratkhabar-suratkhabar Melayu; Maju! Maju!
Tetapi tampaknya sekarang belum juga boleh dibilangkan maju, kerana kalau diperhatikan kebanyakan orang-orang Melayu sekarang terutama di dalam kampung-kampung ada kedai yang kecil-kecil. Di situlah kita tampk kebanyakan orang-orang Melayu duduk di kedai-kedai kopi dengan berbual-bual kosong membuang masa dengan sia-sia. Mana yang pandai bertemberang lekalah bertemberang lepas satu satu dikeluarkannya. Yang lain mendengarkan dengan gelak ketawanya sehingga gamak bunyinya dari pagi hingga petang. Sungguh pun pekerjaan ini baik juga kerana dengan jalan berbual-bual ramai-ramai itu, dapat bertukar-tukar fikiran yang boleh menambahkan akal dan pengetahuan tetapi pilihlah masanya yang agak bersetujuan dengan pekerjaan itu, iaitu tentang-tentang hari kerana dari pagi-pagi hari membawa ke pukul satu itu, lebih baiklah kita membuat pekerjaan di rumah masing-masing memenuhkan kewajipan sendiri.
Janganlah leka berbual-bual kosong sahaja mengatakan hal orang itu dan hal orang ini baik juga hal sendiri sahaja. Pendeknya satu daripada sebab yang besar Melayu lambat bergerak kepada kemajuan ialah sebab tak pandai menggunakan masa kepada pekerjaan yang kebajikan.
Sungguh pun sekarang kerajaan itu telah mengurniai hasil bagi mereka yang berkebun getah, iaitu dengan berkupon mengikut kadar masing-masing, tetapi janganlah jadi bual-bual kosong sahaja pada kedai-kedai tentang kupon-kupon itu, carilah lagi tambahannya dengan bermacam-macam jalan. Jangan suka bergantung kepada memadai sahaja kerana kalau selalu bergantung kepada memadai itu, selalu akhirnya tak dapat kesenangan. Dicuba perhatikan bangsa-bangsa asing yang sudah maju itu, mereka berlumba-lumba mencari wang dengan bermacam-macam jalan dan ikhtiarnya mereka, banyak menyimpan wang daripada kita yang bertanahair di sini.
Kalau kita perhatikan pula sekolah-sekolah kampung sekarang tentang pakaian, susah benar hendak dapat bersih seperti kehendak ketua sekolah. Apa sebab ialah kekurangan asuhan di rumahnya. Kadang-kadang betul ibu bapa budak itu tiada daya upaya hendak mengadakan pakaian anaknya dengan cukup bersih. Yang separuhnya memang tak mengambil berat fasal kebersihan anaknya hingga penuh dengan kekotoran dan daki-daki.
Guru-Guru sekolah itu tiada daya hendak memindakan dan membersihkan pakaian budak-budak itu pada tiap-tiap hari, hanya boleh menasihatkan sahaja berkenaan dengan kebersihan itu. Tetapi ada juga tampaknya guru-guru sekolah itu memindakan murid-muridnya yang terlampau kotor itu, kerana difikirkannya kalau tidak dibuat begitu, melaratlah pada pekerjaannya. Ini semuanya tak patut disiarkan di dalam suratkhabar-suratkhabar, tetapi apa bolehlah buat!! Guru-Guru sudah letih dan sepuas-puasnya memberi nasihat tentang perkara ini.
Lagi pula, kebanyakan orang-orang kampung sekarang perasaannya ringan pada sekolah-sekolah tandanya; kalau anaknya tak ada buku-buku dan kelengkapan suratkhabar, diam sahaja. Anaknya tak hadir sekolah sebab malas atau demam, jarang-jarang yang memberi kenyataan kepada guru-guru. Di bilik-bilik guru bertanyakan anaknya itu baru dijawab. Kelakuan seperti ini patutlah ubah cepat kalau berkehendakan maju. Dan juga, tentang keadaan anak-anaknya yang mengaji sekolah itu, sungguh pun di sekolah sudah diasuh oleh guru-guru dengan bermacam-macam hal berkenaan dengan kemajuan, seperti berperangai baik, menjaga kebersihan, taat kepada ketua-ketua dan lain-lain, bila sampai ke rumah, jarang-jarang diikut. Kadang-kadang si bapa itu menyuruh anaknya pada kerja yang patut diperbuat oleh anaknya itu yang anaknya itu tidak mahu buat, dan melawan pula dengan perkataan yang tak patut!
Jadi seolah-olahnya bila di sekolah guru sudah sapu sepuluh kali putih pada anak-anak itu, kemudian bila balik ke rumah disapu pula oleh ibu bapanya sekali hitam. Tentulah sepuluh kali putih itu sudah jadi hitam sama sekali jadinya.
Ini semua ketua-ketua kampung patut memberi nasihat pada anak-anak buahnya; mudah-mudahan cepat hilangnya penyakit-penyakit yang tersebut itu. Guru-Guru tampaknya tiada juga sunyi tentang memberi nasihat itu, tetapi ada sedikit ringan pada perasaan orang kampung kalau berlebih-lebih sangat dikatakannya pula guru itu sombong dan bongkak.
Sekarang yang penulis tahu sekolah-sekolah Negeri Sembilan sudah masuk dua tahun mengadakan pertandingan membuat kebun di rumah dan kebersihan rumah tangga dan kampung halaman. Jadinya, pada tiap-tiap bulan pergilah guru-guru itu melawat kebun di rumah murid-muridnya, yang masuk berlawan itu. di sini bolehlah dijumpai beberapa perkara yang buruk tak layak dimasukkan diruangan akhbar ini.
Kadang-kadang kebun itu dibuat dengan tiada aturan; pakai buat-buat sahaja mengikut selera budak itu, dengan tiada dibantui oleh ibu bapanya. Sebab itu pekerjaan itu tak maju. Sekiranya kalau dibantui sedikit-sedikit oleh ibu bapanya, tentulah maju. Kerana dalam ramai-ramai murid-murid yang masuk berlawan itu, ada pula yang cukup baik dan memberi puas hati. Dan telah disiasat betul-betul ada bantuan pada ibu bapa budak itu.
Diadakan pertandingan kebun di rumah dan kebersihan rumah tangga diberi pula hadiah. Tidak juga berbuat. Tak usahlah harapkan hadiah itu kerana pekerjaan itu sememang-memang kewajipan yang berat sekali kalau berkehendakan kemajuan itu. Pandangan kasar sahaja bila kita buat hadiah dapat, makan sayur senang tak payah dibeli, itu sahaja. Tetapi kalau Orang Melayu sudah maju besok, tentulah dia tahu faedahnya yang lebih besar lagi.
Pendek kata, kalau kita berkehendak kemajuan pada serba serbinya, patutlah mengikut sungguh pun nasihat orang yang pandai-pandai dan yang berhemat tinggi. Katanya di punca kemajuan itu ialah yang pertama-tama sekali: kebersihan, kemudian kekuatan tubuh, kemahuan hati, kerajinan dan jauhi perkara-perkara yang berlawan dengan perkara-perkara itu. Kalau terikut seperti itu, adalah harapan boleh maju.
Segala perkataan penulis yang terlanjur di atas itu bukan pula niat hendak mengeji-ngejikan Orang Melayu, sekadarkan memberi sedikit keterangan kepada kaumku Melayu amnya, dan kepada penulis sekampung khasnya. Dan bukan pula meminta ikut seperti nasihat-nasihat itu. Fikirlah sendiri.
Setakat inilah sahaja perkataan penulis. Disudahi dengan menuntut maaf kepada Tuan Pembaca yang bijaksana atas kekasaran tutur kata dan jalan bahasanya, kerana penulis bukan ahli karang-mengarang, lebih-lebih lagi minta maaf pada Tuan Pengarang kerana ruangannya.
top |