![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 5 Sep 1935, p.12
Leader Article.
Kemajuan Orang Tua-Tua Dahulu.
Pada zaman sekarang tidak ada apa yang tersebut di ruangan Majlis-Majlis atau akhbar-akhbar kita yang ada hari ini ialah perkataan yang berkehendakan maju pada serba-serbinya perkara dengan mengatakan: lihat bangsa anu itu, telah berkemajuan perkara itu dan ini.
Seruan itu bukanlah pula tidak guna, bahkan ialah suatu daripada ajaran dan ingatan yang sangat-sangat berfaedah kepada sekalian orang yang lupa dan malas, serta pula seruan itu dengan mencontohkan sedikit sebanyak jalan kepada yang membawakan maju itu.
Segala contoh-contohnya itu tak payah lagi hendak disiarkan di sini satu persatunya, melainkan Tuan-Tuan Pembaca sedia maklum. Tinggal lagi siapa-siapa yang bermaksud, silalah siasat dengan dihalusi dan sedalam-dalamnya perkara itu.
Adapun yang dimaksudkan di sini ialah melihatkan dan mengenangkan bagaimana kemajuan orang tua-tua kita zaman 30 tahun dahulu itu atau lebihnya zaman kita yang ada ini. Jarang-jaranglah kita boleh berjumpa seorang anak muda itu yang tiada tahu tulis menulis, dan baca membaca, tidak pun tahu bahasa Barat, sekurang-kurangnya bahasa sendiri. Dan sebegitu pula khatam daripada school-school, sekolah-sekolah Melayu jangan dikira-kira, malah sekolah Barat pun tak lebih kurang pula banyaknya yang khatam. Di sekolah Barat itu, bukanlah pula sedikit-sedikit darjahnya, melainkan tujuh lapan dan sembilan. Dan perkataan maju itu sudah cukup biasa dan jadi amalannya pula pada kita. Tetapi bagaimanakah yang dikatakan maju itu, wallahualam.
Maka bagi pihak orang kita tua-tua dahulu, tidak sekali-kali begitu. Di dalam sepuluh orang katalah seratus, kok ada satu yang tahu menulis dan membaca. Itu pun bahasa sendiri pula, yang selain itu, buta sahaja. Perkataan maju itu agaknya haruslah pula mereka tidak mengerti sama sekali. Kok pejam mata yang dikatakan maju itu. Wal-hal kemajuan mereka itu boleh dikatakan ada berlipat-ganda lebihnya daripada zaman kita ini.
Mereka-mereka dahulu satu sahaja benda-benda atau khazanah yang diperolehinya, seperti kayu-kayu, pinang, rotan, dan seumpamanya. Maka dengan hal-hal itu sahaja mereka-mereka boleh berulang-alik atau berulang mandi, kepada Pulau Pinang dan ke Singapura, dan boleh pula mereka membuka tanah untuk berkebun dengan beberapa luasnya.
Pada hal, mereka-mereka itu haram tak ada kepandaian barang setengah daripada kepandaian orang zaman ini. Apa sebabnya mereka boleh jadi begitu?
Agak-agaknya tentulah mereka-mereka itu yakin dan kuat berusaha dengan tugasnya, kita sekarang tidak begitu, semua perkara hendak kita buat dan usahakan. Tetapi satu pun tak jadi.
Dan penulis ada jua mendengar cerita orang-orang zaman dahulu. Jika hendak berkerawang, terpaksalah pula menggunakan biji jagung dan yang sebagainya. Kira-kira itu lebih betul dan kuat ingatannya daripada yang pakai tulisan di dalam buku-buku sekarang. Tidak lagi pakai perihal itu semuanya, melainkan pakai tulisan dan congkak sahaja. Tetapi apakah yang hendak dikira dan dicongkak? Ada tak adanya ialah angin! Dan kerapkali jua didapati percakapan di antara pemuda-pemuda zaman ini mengatakan orang tua-tua dahulu bodoh dan tidak ada kemajuan seperti mana zaman orang-orang sekarang. Jika dipandang dengan sekali lintas, atau pakai kata sahaja, sebenarnyalah begitu. Akan tetapi cuba disiasat dan diselidik dengan sehabis-habis halus dan dalam barulah kita dapat ketahui bagaimana isinya.
Kemajuan kita zaman ini yang ada nampak dengan terangnya ialah pandai menulis dan membaca dan beberapa perkara yang lain lagi dari pun bahasa sendiri hingga ke lain itu pun sebab kepandaian kita itu dengan alasan orang tua-tua yang sudah itu jua, bukan pula dengan kita sendiri.
Dalilnya ialah kita boleh lihat tiap kanak-kanak yang ada belajar di sekolah atau di bahagian-bahagian pelajaran apa pun, jarang-jaranglah yang kita dengar mereka itu dengan kemahuannya sendiri, melainkan semuanya dengan sebab orang tua-tuanya.
Maka dengan sebab itu sepatutnyalah kita berfikir orang-orang tua-tua kita dahulu itu lebih pandai dan cerdik dan lebih luat usahanya daripada kita yang ada ini. Had inilah dikhatamkan kalam dengan berbanyak-banyak ampun yang mengandungi maaf kepada sekalian Tuan-Tuan Pembaca yang bijaksana di atas kepadatan rencana yang kasar, lebih-lebih lagi yang kurang elok serta dengan berganda-ganda ucapan terima kasih kepada Tuan Pengarang adanya.
top |