![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 9 Sep 1935, p.5
General Article.
Singapura dengan Melayunya.
Kalau Rukun dan Damai Dapat Sebarangnya.
Jikalau kita perhatikan pergerakan bangsa kita Melayu yang mendiami kota Singapura, besarlah rasanya hati kita. Kerana bangsa-bangsa kita banyak bilangannya yang masuk menceburkan dirinya ke dalam dunia perniagaan dengan tiada pula berhati tawar-tawaran. Berapa banyak yang sudah merasa jatuh tapi tak pula jemu-jemunya daripada bangun semula. Membuat pekerjaan Sheikh-sheikh, Encik-Encik, Commission Agent, Trading Agency, dan rupa-rupa yang lain bukan sedikit.
Tetapi tentang persatuan bagi mengadakan syarikat yang besar-besarnya seperti Syarikat Khairiat Limited di Kajang itu, ya, tak dikecualikan. Jua syarikat kecil-kecil seperti di Kuala Pilah dan lain-lain tempat jarang bersua. Perniagaan-perniagaan di market diperbuat bangsa kita, hanyalah daging ke daging sahaja.
Di agak-agak dari jauh sahaja jikalau bangsa-bangsa kita di situ rukun dan damai dengan bangsanya selalu-lalu, kita katakanlah Melayu mesti dapat menjalankan perniagaan yang berbagai-bagai dan besar-besar. Sebagaimana yang diketahui perniagaan di Singapura itu ribu macamnya, dan jarang yang mundurnya, lebih maklum nafkah tumpuan, teluk tambatan segala jenis perniagaan, segala rupa bangsa, segala-galanya ada di situ. Tetapi sayang! Semuanya di dalam genggaman bangsa-bangsa asing sahaja.
Di pihak saya tak salah sebagai seorang yang selalu menahankan tangan mudah-mudahan bermurah hatilah bapa-bapa dan mamak-mamak kita di Singapura itu pada mendirikan perniagaan yang termasuk bilangannya ke dalam bahagian perniagaan besar. Sama ada berjalannya dengan bersyarikat ataupun berkependirian.
Sebab nampak difikirkan jikalau perniagaan kecil itu samalah seperti orang berkenduri kecil, habis tahu sekampung sahaja. Tetapi lain kenduri besar, sudah tentu mengantar card jemputan ke sana sini. Berertilah jikalau perniagaan besar terdiri menjadikan bertali-tali terus ke desa-desa dan ke kampung-kampung, misalnya dari kampung atau ke pekan atau dari pekan atau ke Kuala Lumpur, dari situ ke Singapura, sedang di Singapura mengarah kepada beberapa banyak percaturan barang-barang yang diperbuat oleh bangsa sendiri.
Ada diagak kurang kelihatan sedang yang sedikit-sedikit itu tampaknya tidak pula terutama sebagaimana di negeri persekutuan. Yang demikian meneruskanlah akan perkataan bangsa tak berapa mengutamakan barang perbuatan bangsanya penyakitnya bersabun. Cubalah kita kesabunan bangsa lain. Berkicap jualah kita ke kicap Cina, bersirap jualah ke sirap Keling, dan bagai-bagai macam-macam di mana perkara-perkara yang dapat segera diperbuat dan dimajukan bersama-sama di pihak saya, saya katakanlah iaitu seorang yang selalu memegang "Sen" untuk mencari barang-barang keperluan yang diperbuat oleh bangsanya, apalagi seperti kicap dan belacan.
Insan-insan yang suka menjalankan perniagaan yang paling tua sekali itu nampak jua berdirinya di tepi-tepi merata simpang. Tapi itu tak hairan kerana dunia sudah penat nak mencari jalan menghapuskan perniagaan begitu sekali, tak jua dia mahu hapus, sehingga dunia telah mendatangkan berbagai-bagai kawalan, tapi rata-rata negeri masih berjalan terus jua. Apa boleh buat! Apa lagi pula sebagai kota Singapura yang berhawa panas ini!
top |