Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 12 Sep 1935, p.7

Editorial.

Tanah Kawasan Melayu.

Penduduk-penduduk dalam Ampang Pecah dan Mukim Buluh Telur, Kuala Kubu Baru, wajib menerima syukur kepada Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor yang telah mengemukakan satu cadangan dalam Mesyuarat State Council, yang telah diadakan pada hari Isnin, yang baru lalu ini, bahwa sekeping tanah luasnya lebih kurang 191 ekar dijadikan kawasan Melayu mengikut fasal dalam undang-undang 35 tahun 1933.

Adapun tanah yang dicadangkan itu separuh termasuk dalam mukim Ampang Pecah dan separuh ke dalam Mukim Buluh Telur dalam jajahan Ulu Selangor. Tanah-tanah itu bersempadan pula dengan kawasan Sanitary Board Kuala Kubu.

Tanah itu, selain daripada sekeras keping yang dipunyai oleh bangsa asing, kesemuanya dimiliki oleh Orang Melayu. Adapun tujuan Yang Amat Mulia Tengku Laksamana mencadangkan perkara itu ke dalam Council ialah kerana hendak pelihara hak orang-orang Melayu dalam lingkungan itu.

Kita mengetahui bahwa orang-orang Melayu kita masih lagi amat tipis imannya berkenaan dengan memelihara hak milik pesaka sendiri, kerana desakkan atau pengaruh wang dan adalah cadangan yang terbit daripada hati yang insaf dan cinta kepada kaum itu sudah betul pada tempatnya.

Sungguh pun mendapat rintangan, tetapi dengan suka hati kita menyatakan bahwa cadangan itu telah mendapat persetujuan kerajaan.

Rumah Penghulu dan Qadhi.

Berkenaan dengan cadangan Yang Mulia Raja Haji Abdullah untuk menyediakan rumah-rumah bagi penghulu-penghulu dan qadhi-qadhi Yang Berhormat Tuan Resident telah berkata bahwa hal itu ada di dalam timbangan kerajaan dan telah ada di dalam timbangan Permanent Committee daripada Majlis Mesyuarat State Council.

Sungguh pun penghulu dan qadhi itu ialah kakitangan kerajaan, tetapi biasanya mereka itu terpaksa tinggal di rumah-rumah sendiri. Kerajaan tidak menyediakan rumah untuk mereka itu. hal itu tidak merunsingkan kerana mereka tinggal di mukim atau kampung mereka sendiri. Tetapi manakala penghulu-penghulu dan qadhi-qadhi itu sudah ditukar-tukarkan ke tempat yang lain.

Maka terpaksalah mereka menyewa rumah atau kadang-kadang terpaksa menumpang di rumah-rumah orang iaitu satu kerunsingan atau kesusahan bagi mereka menjalankan urusan atau pekerjaannya masing-masing.

Eloklah kiranya hal yang semacam ini jangan tinggal di dalam timbangan-timbangan sahaja.

Lesen Menjual Arak.

Berkenaan dengan permintaan Sahibul-Qadhi-lah Chief Qadhi Selangor supaya kerajaan jangan mengeluarkan lesen menjual arak bagi orang-orang Islam itu kerajaan akan berunding dengan negeri-negeri yang lain bagi Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu ini kerana adalah undang-undang itu ialah undang-undang Negeri Persekutuan. Dan apakala dapat fikiran daripada negeri-negeri yang tiga lagi, barulah undang-undang itu dipinda.

Pembaca-pembaca kita masih ingat bahwa Majlis dan Warta Malaya Singapura telah menunaikan kewajipannya sebagai suratkhabar pada memberi fikirannya berkenaan dengan hal itu.

Kita sukacita yang hal itu telah mendapat hatinya kerajaan dan kita berharap bukan hal menjual arak itu sahaja yang akan dijadikan soal bahkan apa-apa undang-undang syariah didapati bersalahan dengan undang-undang Islam yang tersebut itu wajiblah dipinda!